Tuesday, May 15, 2012

Warkah Buat Ibu OLEH Ketua Pemuda Pas Malaysia

1. Penghuni dunia yang bergelar manusia ini dilahirkan oleh insan bergelar ibu kecuali Adam dan Hawa. Siapapun manusia itu dengan segala derajat dan pangkat yang dimiliki adalah lahir dari rahim seorang ibu yang telah berkorban separuh mati untuk mengandung dan melahirkannya. Tidak ralat jika syurga ter"letak" di bawah telapak kaki ibu.

2. Apa yang telah ditanggung oleh ibu berkait perasaan dan segala elemen kudratnya untuk mengandung, melahir dan membesarkan seorang insan bukan suatu yang perlu dikenang dan dihargai tetapi ia adalah ibu yang wajib ditaati, disayangi dan dijagai dengan segala ketundukan dan kepatuhan  kita kepada apa yang telah diperintah Allah swt. terhadap tanggungjawab kita kepada insan bergelar ibu.

3. Tanpa ibu, dunia ini kosong dan hilang segala fungsi serta strukturnya. Justeru itu, tidak keterlaluan jua ungkap kata bahawa tangan yang menghayun buaian mampu menggegarkan dunia.

4. Cerdik pandai, gagah perkasa, cantik menawan, bijak bistari, kaya raya, segak bergaya dan pangkat derajat semuanya bermula dari rahim ibu sebelum dilepas besar dan panjang di muka alam buana ini. Begitulah pula ibu yang menjadi madrasah pertama membekal ilmu hayat kepada kita semua yang bergelar manusia. Sebagaimana ibu jualah yang pertama menitis susu membekal kompenan sumber tenaga hayat.

5. Ibu ! sungguh istemewa kata nama itu. Tiada yang layak menyandang status kata bernama ibu melainkan ia lah yang mengandung dan melahirkan kita. Keupayaan tinggi yang dimiliki oleh ibu untuk bertahan 9 bulan kandungan dan kemudiannya bersabung nyawa untuk melahirkan kita adalah bergantung kepada nilai kasih dan sayang yang tiada tolok bandingnya.

6. Kasih dan sayang inilah pula menjadi nilai terpenting untuk manusia meneruskan hidup di dunia yang penuh cabaran dan pancaroba ini. Tanpa kasih dan sayang manusia terperangkap dalam persengketaan sengit tanpa noktah. Keamanan ternoda dengan pertempuran dan peperangan yang kejam. Kedamaian terancam dengan jenayah dan khianat yang tidak berhati perut. Hubungan silaturrahim terputus angkara fitnah dan hasad. Iklim sosial  rosak dan binasa ekoran lupa daratan dan angkuh. Pentas politik menjadi cemar dan kotor kerana benci dan marah. Segalanya berpunca dari hilangnya kasih dan sayang.

7. Sempena Hari Ibu, saya mengutus warkah mewakili seluruh  anak - anak ibu yang menjadi warga Dewan Pemuda PAS Malaysia agar institusi ibu hari ini menyemarakkan nilai kasih dan sayang ke setiap sendi dan nadi manusia untuk membina semula sebahagian struktur dunia kini yang mengalami kerosakan teruk akibat hakisnya sifat serta nilai kasih dan sayang.

8. Tiada ibu yang mahu anaknya jahat. Tiada ibu yang mahu anaknya bodoh. Tiada ibu yang mahu anaknya hina. Tiada ibu yang mahu anaknya bangsat. Tiada ibu yang mahu anaknya diperalat sebagaimana tiada ibu di dunia ini yang mahu anaknya digelar haram jadah. Maka ibulah harapan kami kini untuk menyusun semula dan membina kembali tamadun atau peradaban manusia sebelum ia rosak teruk dan musnah binasa.

9. Ibu lah yang mempunyai keupayaan untuk memastikan generasi ini terdidik dengan kasih dan sayang. Menyelamatkan mereka dari terus  hanyut dalam arus budaya songsang tanpa tunjuk ajar ibu untuk mematuhi suruhan agama dan pedoman tuhan yang Maha Mencipta. Membimbing mereka untuk mencorak masa depan yang baik, bahagia dan berjaya.

10. Terima kasih ibu! justeru air tangan ibulah menjadikan kami kenal erti rindu, kasih dan sayang lalu memungkinkan kami berjuang untuk mengembalikan semula izzah ummah yang bersendikan kasih sayang setelah sebahagiannya rosak teruk angkara perlanggaran syariat yang ketara dan pemujaan nafsu yang melampau. Tidak lupa juga buat semua ibu kepada anak-anak kami yang tekun mendidik dan membesarkan mereka sebagai generasi pewaris perjuangan yang kami dokong, meskipun mereka sering ditinggalkan kerana urusan kami di medan juang mahu pun dilapangan mencari rezeki.

Semoga semua insan bergelar ibu dirahmati dan diberkati  Allah Jalla wa A'la Tuhan yang Maha Mencipta lagi Lagi Maha Memelihara.

Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Salam Perjuangan dari ~ Aku Pejuang IsLam ~ [ API ]

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-pemuda-pas/10316-warkah-buat-ibu

No comments:

Post a Comment