Monday, May 28, 2012

Tanpa Sabah, misi Pakatan ke Putrajaya tinggal angan-angan?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Selain Kelantan, rakyat Negeri Di Bawah Bayu juga popular dengan kecenderungan siasahnya yang lebih terbuka dan berani membuat keputusan. Lama sebelum tsunami politik melanda Semenanjung, Mac 2008, bumi Sabah sudah menyaksikan perubahan kepemimpinan negeri; ada kalanya berlaku secara mengejut dan tidak dijangka.
Parti-parti yang menerajui kerajaan negeri bersilih ganti. Daripada United National Kadazan Organization (UNKO), pimpinan Donald Stephens, kepada United Sabah National Organizatin (USNO), diasaskan Datu Mustapha Datu Harun, kepada Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) diketuai Fuad Stephens dan Haris Sallah, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) diterajui Joseph Pairin Kitingan.


Penyertaan mengejut PBS bersama Gagasan Rakyat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah menjelang Pilihan Raya Umum 1990 mendorong Umno bertapak di Sabah, seterusnya menguasai negeri itu sehingga kini.

Sabah dan Sarawak menyumbangkan kerusi Parlimen yang agak besar, masing-masing 31 dan 25, menjadikannya 56 kerusi. Ia membentuk satu perempat atau 25 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam kedudukan BN buat pertama kali telah dinafikan majoriti dua pertiganya di Parlimen dalam pilihan raya 2008, dan kini banyak pihak bercakap tentang kemungkinan tampuk pemerintahan Pusat bertukar tangan,  tumpuan tidak dapat lari daripada meneliti setiap perkembangan di Sabah dan Sarawak.

Kita dapat menyaksikan bagaimana kedua-kedua negeri itu mula diberi perhatian dan layanan "istimewa", terutama selepas ura-ura ramai ahli Parlimen BN akan melompat parti, menjelang 16 September 2008.

Di atas kertas, digembar-gemburkan peruntukan pembangunan di sana ditambah, begitu juga jawatan strategik dalam kabinet dan kerajaan, juga posisi penting di Parlimen. Namun begitu, sebenarnya Sabah dan Sarawak masih tertinggal jauh, termasuk daripada segi kemudahan paling asas.

Dalam suasana setiap kerusi (malah setiap undi) begitu penting dalam PRU13 -- bagi memudahkan laluan ke Putrajaya dan  membentuk kerajaan Persekutuan -- maka Pakatan Rakyat tidak  boleh memandang ringan setiap potensi yang ada di Sabah dan Sarawak.

Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10, pada April 2011, telah menyuntik semangat dan keyakinan baru kepada aktivis Pakatan Rakyat. Kubu kebal BN di negeri yang dianggap "simpanan tetap" atau "fixed deposit" itu mulai retak. Daripada 71 kerusi Dun yang dipertandingkan, BN kalah 16 kerusi, dengan DAP menang 12 dan KeADILan, 3.

Dalam PRU12, BN Sarawak hanya kalah satu kerusi Parlimen. Diunjur daripada trend pengundian 2011 itu, sekurang-kurangnya sepuluh kerusi diramalkan dikuasai Pakatan, sebahagian besarnya di kawasan majoriti pengundi Cina. (Saya akan mengulas hal ini dalam Harakah keluaran akan datang).

Ya ... tiba-tiba Sabah yang agak muram pergolakan politiknya seperti mendapat inspirasi menakjubkan. Rakyatnya mula ghairah berbicara soal perubahan dan keperluan untuk merobah kerajaan Persekutuan, kalaupun belum bersedia menumbangkan Ketua Menteri, Musa Aman.

"Target yang lebih praktikal adalah untuk Sabah bersama-sama menyumbangkan kerusi Parlimen yang mencukupi untuk Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Pusat," kata penganalisis politik, Musli Oli.


Senario menarik negeri jiran Sarawak itu bakal merebak ke Sabah. BN dilihat tidak sehebat mana lagi, terutama berdepan pelbagai isu membabitkan salah guna kuasa, penyelewengan, korupsi, kronisme dan juga pengabaian yang begitu ketara terhadap kemudahan awam, terutama bekalan air bersih.

Apabila diminta mengisi slot dalam seminar kewartawanan dan media baru PRU13 di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sabah, 31 Mac lalu, saya dapat merasai komitmen padu penggerak parti, diketuai pesuruhjaya sendiri, Aminuddin Aling.

"Sdr perlu selalu turun ke Sabah, melaporkan aktiviti PAS yang kian meriah dan mendapat sambutan hangat, agar bukan saja kami bertambah semangat, malah aktivis parti seluruh negara dapat berkongsi sama dengannya," bisik Timbalan Pesuruhjaya Hamzah Abdullah kepada saya, selepas beliau, Aminuddin dan Setiausaha Perhubungan, Ustaz Awang Leman Ikin selesai mengadakan sidang akhbar mengenai penggunaan kalimah Allah. Hamzah merupakan Pesuruhjaya PAS Sabah pertama ketika mula bertapak pada  1986. Jika dalam pilihan raya 1986 PAS bertanding tiga kerusi Parlimen, iaitu Kota Belud, Jambongan dan Kimanis, (malah dalam pilihan raya umum empat tahun lalu, tanpa sebarang kerusi Parlimen pun) saya difahamkan  untuk PRU13, Parti Islam ini mungkin diamanahkan untuk bertanding sejumlah kerusi yang jauh lebih besar, mungkin mencatat rekod sepanjang 26 tahun berjuang dengan penuh getir di Sabah.

BN SABAH BAKAL KALAH 14 KERUSI PARLIMEN?


Dalam kunjungannya ke Kota Kinabalu, 31 Mac lalu, di sebuah restoran di bawah Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sabah, wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN sempat berbicara dengan penganalisis politik Sabah, Musli Oli, 52, yang juga Penolong Ketua Penerangan KeADILan, Sabah. Lulusan ekonomi yang banyak menulis buku-buku politik ini merupakan bekas Presiden Mahasiswa Sabah Universiti Malaya, awal tahun 80-an.


HARAKAH: Bagaimana sdr melihat situasi politik Sabah?


MUSLI OLI: Dalam pilihan raya 2008, BN menang 24 daripada 25 kerusi Parlimen. Hanya kerusi Kota Kinabalu dikuasai DAP. Sebenarnya ada empat atau lima kerusi parlimen boleh dimenangi parti pembangkang jika "satu lawan satu". Daripada 60 kerusi Dun, hanya satu dimenangi DAP, iaitu Sri Tanjung.


Waktu itu, Sabah dan Sarawak tidak mendapat isyarat yang jelas daripada negeri-negeri lain di Semenanjung. Justeru, rakyat "play safe" dan terus beri sokongan  kepada BN.

Situasi hari ini jauh berbeza. Ramai secara terbuka menyatakan perasaan tidak puas hati dengan isu-isu yang menyelubungi rakyat terutama isu pendatang tanpa izin, isu kemiskinan dan banyak lagi, yang gagal ditangani kerajaan BN.

Daripada urutan sejarah politik,   pemimpin Kadazandusun (KDM) seawal Tun Stephens amat berpengaruh dan mendapat sokongan daripada kaum mereka kerana sentimen tidak bersetuju dengan dasar kerajaan Pusat kepada Sabah.

Atas faktor sentimen marahkan dasar BN di peringkat Persekutuan itu, Sabah bertukar kerajaan beberapa kali dengan kebangkitan semangat KDM. Ia bermula pada 1976 bila USNO tumbang kepada  Berjaya pimpinan Stephens.

Diikuti kebangkitan PBS di bawah pimpinan  Joseph Pairin Kitingan pada pilihan raya 1985. Berjaya yang mendapat sokongan "sink and swim" dari Dr Mahathir  Mohamad hanya tinggal enam daripada 48 kerusi Dun!

Kerana taktik "pecah dan perintah"  Kuala Lumpur, KDM dipecahbelahkan kepada beberapa parti politik selepas pilihan raya negeri 1994. PBS, UPKO dan PBRS adalah parti-parti politik utama pimpinan KDM, di samping jumlah yang signifikan menyertai Umno.

Setelah PBS menyertai semula BN pada 2001 dan persempadanan semula kawasan pilihan raya (daripada 48 kerusi kepada 60), jumlah kerusi majoriti pengundi KDM, yang asalnya 20 menjadi 17 sahaja.

Dengan dua faktor itu sokongan KDM tidak lagi menjadi penentu politik Sabah.

Keadaan terkini pengundi KDM macam mana, ya?


Daripada 25 kerusi Parlimen Sabah, lapan kerusi majoriti KDM berada dalam situasi "tidak menentu"  berikutan isu-isu politik mutakhir terutama janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga yang begitu dekat dengan hati kaum KDM.

Antara isu-isu yang mendapat sokongan KDM ialah: Pertama, memulihkan Perjanjian 20 Perkara. Kedua, menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963. Ketiga,  menaikkan royalti minyak daripada 5 peratus kepada 20 peratus. Keempat,  menubuhkan siasatan diraja mengenai pendatang tanpa izin.

Kelima, memansuhkan dasar kabotaj yang menjadi punca harga barang keperluan di Sabah lebih mahal secara relatif dengan Semenanjung. Dan keenam, melaksanakan sepenuhnya dasar Borneonisasi.

Jika tidak ada perpecahan undi dan tercapai persetujuan "satu lawan satu parti" sesama pembangkang, lima kerusi Parlimen KDM  boleh ditawan Pakatan pada PRU13.

Janji Pakatan ini secara umum bukan sahaja menarik sokongan KDM yang terkenal dengan keberanian mereka menukar kerajaan tetapi juga mempengaruhi sokongan kaum Bumiputera Islam yang masih dibelenggu kemiskinan.

Dengan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia, di samping kadar pengangguran di Sabah yang teratas sekali,  golongan  muda mula secara terang menunjukkan protes terbuka terhadap BN dan Umno.

Jangkaan sdr ...

Saya meramalkan daripada 14 kerusi Parlimen diwakili Umno, lima hingga tujuh boleh dimenangi Pakatan, antaranya Kota Belud, Kudat dan Kimanis. Kerusi Parlimen yang sebelum ini diwakili LDP (1), SAPP (2) akan ditawan Pakatan di samping mengekalkan Kota Kinabalu.

Keseluruhannya, lima kawasan KDM, lima kerusi Melayu dan empat kerusi Cina, semuanya 14 akan jatuh kepada  Pakatan. Namun, saya kira BN masih mampu mempertahankan kerajaan negeri kerana fokus rakyat Sabah lebih kepada menawan Putrajaya.


Dalam PRU13 nanti, Umno-BN cukup mengharapkan Sabah dan Sarawak menjadi benteng terakhirnya. Tetapi dari tanggapan sdr itu, maknanya, Sabah bukan lagi "simpanan tetap" BN?

Istilah "simpanan tetap" adalah istilah Dato' Seri Najib Razak sewaktu berucap di Tuaran, Sabah pada 2008, beberapa bulan selepas  PRU12.

Rakyat Sabah hari ini mempersenda istilah itu dengan kata-kata seperti "jika ada bank yang tawarkan interest 20 peratus, buat apa simpan di bank yang bayar interest lima peratus"!

Lanskap politik Sabah berubah setelah PRU12, apatah lagi selepas melihat keputusan rakyat Sarawak pada pilihan raya negeri Sarawak, April 2011.

Apa sebenarnya isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat Sabah?

Isu pokok ialah Perkara 20 dan Perjanjian Malaysia 1963 yang tidak dihormati kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno-BN! Begitu juga isu tanah adat dan tanah warisan. Di Sabah setakat ini 485 kes pending di mahkamah berhubung  tindakan syarikat-syarikat yang merampas tanah rakyat.

Begitu juga isu royalti minyak. Dua pemimpin Sabah terkorban  kerana isu ini. Seorang korban jawatan, Tun Mustapha yang ditentang Tun Razak kerana meminta royalti lebih daripada 5 peratus  dan  Tun Fuad terkorban nyawa pada 6 Jun 1976 kerana enggan tanda tangan perjanjian dengan Petronas yang beri 5 peratus royalti.

Isu lain ialah kebanjiran pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia. Janji KLmemujuk rakyat Sabah menyertai gagasan Malaysia ialah melindungi Sabah daripada Filipina dan Indonesia ternyata tidak benar. Sebaliknya KL membiarkan Sabah dimasuki secara bebas dan Umno terlibat memberi kad pengenalan dan kerakyatan kepada mereka.

Selain itu, isu kemiskinan dan kemudahan infrastruktur yang daif. Pada tahun lalu, Penolong  Pengarah Kanan Jabatan Kebajikan Persekutuan, Asri Aziz dalam majlis "sedetik dengan media" menyatakan 68 peratus rakyat Sabah masih hidup di bawah paras garis kemiskinan.

Jika di Sarawak, Ketua Menteri, Taib Mahmud yang mentadbir lebih 30 tahun dianggap membebankan BN di negeri itu, bagaimana pula dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman? Sepanjang saya berada di sini, ramai bercakap tentang banyak projek pembangunan dikaitkan dengannya.

Seperti Harris Salleh yang tumbang dengan  Berjaya pada 1985, Musa Aman tidak mewakili kaum majoriti pribumi Sabah iaitu kaum KDM dan kaum Bajau. Musa terlalu fokus untuk memperkaya kaum keluarga dan kroninya.

Isu pengambilan tanah rakyat didalangi Musa Aman kerana kuasa meluluskan tanah adalah hak mutlak Ketua Menteri Sabah.

Suasana atau lingkungan politik mutakhir ini nampaknya memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat, tetapi sejarah di Sabah menunjukkan pembangkang juga sering berdepan masalah sesama sendiri ...


Masalah pokok ialah untuk mencapai persetujuan dan kerjasama dengan parti-parti bukan Pakatan Rakyat seperti SAPP dan STAR. Jika gagal dicapai persetujuan "satu lawan satu" agak sukar untuk menggugat kedudukan BN yang mungkin menjadi dalang di belakang parti-parti pembangkang ini.

Begitu juga dengan masalah kewangan dan logistik yang masih menjadi halangan besar kepada pembangkang kerana keadaan dan geografi di Sabah.

Source: http://mindalutfi.blogspot.com/2012/05/tanpa-sabah-misi-pakatan-ke-putrajaya.html

1 comments:

  1. selalu dengar di sabah klu belum hari membuang undi.. di tv dan radio kedengaran " BN menang tanpa bertanding"..huhuhu..

    ReplyDelete