Sunday, May 20, 2012

Nik Aziz: Terima PR jika mahu kerjasama Pas

Nik Aziz: Terima PR jika mahu kerjasama Pas
Nik Aziz (kanan) ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Terengganu di Markas Tarbiyah Pas di Kuala Ibai
KUALA TERENGGANU – Umno perlu bersedia untuk menerima parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR)  - PKR dan DAP sekiranya masih memasang niat untuk menjalin kerjasama politik dengan Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Umno wajar menerima ketiga-tiga parti dalam PR memandangkan Pas bukan lagi berseorangan ketika ini dan keputusan perlu dibuat bersama PR.

Bercakap kepada media di sini, beliau bagaimanapun tetap dengan pendiriannya supaya Umno menukar dasar parti itu terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang usaha ke arah penggabungan antara dua parti.

“Saya sebut lama dah. Kalau Umno nak bersatu, parti itu perlu menukar dasar kebangsaan kepada Islam. Ia bukan keputusan seorang tetapi kena buat secara rasmi (bersama PR). Umno (perlu) tukar dasar daripada kebangsaan kepada Islam secara rasmi.

“Kedua, Umno kena terima Pas sekali dengan pakatan kerana kami sudah ada Pakatan dan Pakatan tidak buat khianat kepada kami. Maka lepas kami (Pas) bersatu dengan Umno dan selepas Umno ubah dasar dia, barulah boleh bersama dengan pakatan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyah Pas Kuala Ibai di sini, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, timbalannya, Datuk Tengku Hasan Tengku Omar dan pimpinan Pas peringkat kawasan.

Terdahulu, Nik Aziz turut mengulangi kenyataan yang pernah dibuat beberapa kali sebelum ini bahawa mengundi Barisan Nasional (BN) tidak akan masuk syurga.

Jelasnya, BN bukan parti yang berteraskan Islam, sebaliknya membawa unsur nasionalisme yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad.

“Undi BN tidak undi Islamlah. Dasar BN dasar kebangsaan. Kebangsaan tidak boleh bawa manusia ke syurga kerana kebangsaan ini bukan ajaran Nabi Muhammad saw,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai muzakarah, Nik Aziz memberi respon positif terhadap perkara itu dan menjelaskan ia lebih baik dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Nik Aziz sebelum ini pernah melahirkan syukur terhadap respons yang baik daripada Umno khususnya Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan persetujuan mengadakan pertemuan bersama Pas.

Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/nik-aziz-terima-pr-jika-mahu-kerjasama-pas-1.49361

No comments:

Post a Comment