Wednesday, May 23, 2012

Pendidikan percuma dasar bersama Pakatan, kata Rafizi

Rafizi Ramli bersama Datuk Abd Jalil Ali
Datuk Abdul Jalil Ali menyambut kedatangan Rafizi Ramli - Gambar
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli menolak menolak dakwaan bahawa pendidikan percuma tidak ditekankan dalam Buku Jingga dan menegaskan, dasar pendidikan percuma dipersetujui bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri lebih tegas dalam hal ini dan menyokong apa yang di sebut dalam kitab tulisan Ibnu Khaldun bahawa pendidikan adalah pelaburan.

"Hasil daripada pendidikan percuma yang diberikan itu akan memberi imbuhan baik kepada negara," katan beliau ketika menjawab soalan bahawa dasar pendidikan percuma tidak ditekankan dalam buku jingga dan peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1997 ketika PTPTN mula-mula diperkenalkan.

Rafizi berkata, ketika Anwar menyokong skim itu pada 1997, beliau masih berada dalam Kabinet di mana keputusan dibuat perlu mendapat persetujuan semua.

"Ketika itu peranan dimainkan PTPTN bukan seperti sekarang, ia dilaksanakan untuk membantu pelajar layak yang tidak mampu untuk ke universiti, bukan untuk menyemarakkan pertumbuhan institusi pendidikan swasta seperti sekarang," katanya dalam Debat Sinar Harian mengenai PTPTN di sini, malam tadi.

Menjawab soalan mengenai cukai tinggi yang terpaksa dibayar oleh rakyat di negara maju yang mengamalkan  pendidikan percuma, Rafizi berkata, cukai dikenakan bagi pendapatan RM200,000 di negara ini lebih tinggi berbanding di negara berkenaan.

"Saya telah pergi ke Finland sendiri untuk mengkaji mengenainya, di Malaysia, kita kenakan cukai 26 peratus sementara di Finland mereka hanya kenakan cukai 21.5 peratus, lebih rendah lagi.

"Mereka kata cukai dikenakan di negara-negara Skandanavia ini tinggi, hakikatnya mereka tidak semak dahulu dengan negara itu sendiri," katanya.

Beliau turut menegaskan Malaysia tidak mengutamakan pendidikan sebaliknya mengutamakan pembangunan negara berbanding yang dilakukan negara-negara Skandinavia seperti Finland, Denmark dan Norway.

"Turki juga boleh beri pendidikan percuma kepada rakyat kerana mereka mengagihkan kekayaan negara untuk pendidikan.

"Masalah kita di Malaysia, keutamaan diberi kepada projek-projek besar," katanya.

Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/pendidikan-percuma-dasar-bersama-pakatan-kata-rafizi-1.50202

No comments:

Post a Comment