Tahniah Rakyat Kelantan
Semalam satu lagi kejutan politik yang saya kira serius
dilakukan oleh kerajaan Kelantan apabila Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
telah melakukan pecah tanah bagi merasmikan pembinaan lebuh raya
sepanjang kira-kira 70km dari Kota Bharu ke Kuala Krai. Majlis itu
berlangsung di Felcra Mek Nab, Machang Kelantan.TMB Ahmad Yaacob menyerahkan derma bagi pihak Ladang Sungai Terah SB. |
Kerajaan Kelantan mengambil tanggungjawab dan usaha untuk membina lebuh raya di negeri itu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim perayaan. Selain itu pembinaan itu juga bagi menunjukkan kepada rakyat terutamanya para penuduh dan pendusta Umno kononnya Pas tidak inginkan pembangunan. Pembinaan itu di samping menjawab dan menyatakan hakikat sebenar ia juga mencabar Umno yang melaungkan untuk membangun Kelantan.
Pembinaan lebuh raya itu juga membuktikan kerajaan Kelantan komited dengan amanah dan tanggungjawab untuk rakyat negeri Kelantan. Signifikennya pula ia membuktikan bahawa kerajaan Pas Kelantan sedia menghadapi apa juga kesulitan dan membuka pintu korban untuk rakyat. Dari sisi agama kaedah pembinaan lebuh raya itu ia memberi peluang kepada rakyat Kelantan khasnya dan orang ramai untuk menambahkan kebajikan.
Ada yang pesimis dengan usaha kerajaan Kelantan itu. Pihak Umno memberi gambaran negatif terhadap pembinaan lebuh raya itu yang mana tidak sepatutnya diperlakukan demikian. Baik Mustapa Mohamed atau Awang Adek Hussein patut menyokong usaha itu selepas mereka gagal untuk mempengaruhi Najib Razak supaya meneruskan projek yang telah diluluskan itu. Kalau pun tidak mahu menyokong mereka perlu mendiamkan diri tunggu dan lihat terlebih dahulu.
Malangnya beliau tidak bersikap positif dan seakan mahu mengejek usaha murni berkenaan. Tidak ada manfaat atau pun kebaikan kalau mereka berdua memandang kecil usaha berkenaan. Sekiranya kerajaan Pas Kelantan dapat menyiapkan dalam tempoh ditetapkan ia akan memberi pukulan maut kepada Umno. Saya yakin lebuh raya itu kalau dapat disiapkan ia akan menjadi mercutanda baru pemerintah Pas Kelantan.
Seperti mana saya sebut sebelum ini semua pihak hendaklah berganding bahu menjayakan projek berkenaan. Jangan melihat projek itu sebagai projek mainan individu tertentu sahaja. Ia perlu menganggap projek bernilai RM1.8 billion itu adalah projek raksasa bagi Pas Kelantan sepanjang ia memerintah selama 22 tahun. Juga jangan lihat ada udang di sebalik pembinaan itu tetapi cuba teduhkan hati dan lihat mantlamat utamanya. Udang-undang kecil di sebalik projek itu boleh diperjelaskan!
Tidak salah saya rasakan bagi mereka yang mengakui sayang, kasih dan menyanjungi Tok Guru Nik Aziz untuk sama-sama terlibat dalam pembinaan lebuh raya berkenaan. Para penyokong, peminat dan ribuan anak murid Tok Guru Nik Aziz di seantero dunia boleh menyatakan penglibatan mereka dengan pembinaan itu dengan pelbagai cara termasuklah menghulurkan sumbangan derma ikhlas.
Manakala bagi yang tidak berupaya, cukup setakat memberi tepokan dan sokongan moral, berdoa atau pun menguar-uarkan kepada rakyat mengenai pembinaannya yang dibuat atas titik peluh rakyat Kelantan sendiri. Seperti mana saya uar-uarkan dalam Fb saya malam tadi saya juga akan melancarkan kutipan derma dari kalangan rakan dan ahli Fb saya dengan syarat 100 orang menyatakan persetujuan. (Sila rujuk ke Fb saya).
Usaha ini bukan apa, bukan untuk mengenapkan RM1.8 billion itu, tetapi demi menunjukkan sokongan dan rasa bangga dengan sifat dan budaya orang Kelantan yang tidak pelahap kepada apa yang orang tidak beri dan rela berkorban untuk mengubahkan diri sendiri. Pastinya pembinaan lebuh raya rakyat (LRR) itu akan menjadi sebutan selamanya. Dan kalau boleh biarlah kita semua turut merasakan lebuh raya itu sebagai hak peribadi dengan derma yang tidak seberapa itu.
Sesungguhnya derma itu akan lebih bermakna daripada kita membayar tol setiap kali kita melalui lebuh raya di negara ini yang ada kalanya untuk satu perjalanan dari jarak tertentu kita kena korbankan sebanyak RM70.00.
Saya sangat berharap dan berdoa saya dan rakan-rakan Fb dan penjenguk blog Merah Tinta juga dapat memberi sumbangan dan menginfakkan beberapa sen duit kita untuk pembinaan lebuh raya itu. [wm.kl.9:14 am 29/05/12]
Source: http://msomelayu.blogspot.com/2012/05/pembinaan-lebuh-raya-rakyat-kb-kk.html
No comments:
Post a Comment