Saturday, May 5, 2012

PM tolak pinda perlembagaan jadikan Islam 'addin'


PM tolak pinda perlembagaan jadikan Islam 'addin'
6:23PM Mei 4 2012
Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan Persekutuan yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin, hanyalah cakap politik semata-mata.

Perdana menteri berkata Abdul Hadi hendak menjadikan Islam sebagai "way of life" (satu cara hidup) tetapi "way of life" sahaja tidak boleh menjadi undang-undang.

NONE"(Dalam perlembagaan negara) Islam adalah agama persekutuan. Daripada situ kita boleh bangunkan Islam melalui dasar dan institusi yang kita wujudkan supaya Islam jadi addin atau sebagai cara hidup. Jadi tak perlu pinda perlembagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di Gua Musang, hari ini.

Baru-baru ini, Abdul Hadi dilaporkan sebagai berkata pakatan pembangkang akan meminda perlembagaan negara yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin, iaitu yang merangkumi seluruh kehidupan manusia, jika dipilih menjadi kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan yang diguna pakai di negara ini tidak menggunakan Islam sebagai addin atau cara hidup, malah ia dirangka oleh orang bukan Islam yang mempunyai ideologi dan teori manusia yang tidak adil kepada umat Islam.

Najib berkata kenyataan Abdul Hadi itu adalah perkara baharu setelah PAS membuat pelbagai perubahan dalam dasar mereka.

"Mula-mula nak negara Islam. Atas desakan DAP tukar negara kebajikan, lepas tu timbul balik hukum hudud. Kini timbul pula nak pinda perlembagaan nak jadikan addin. Ini dah dapat tentangan DAP sekarang. Perlembagaan sekarang dah cantik... tak boleh nak pinda sewenang-wenangnya," katanya.

Menyentuh isu lain, perdana menteri melahirkan rasa gembiranya kerana kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, yang dilapor hilang minggu lepas dipercayai diculik, ditemui dalam keadaan selamat di Rawang semalam.

Najib berkata sebelum kanak-kanak itu dibebaskan beliau telah menelefon bapa kanak-kanak itu dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Saya dah tugaskan seorang pegawai di pejabat saya untuk menjadi perantara antara kerajaan, polis dan keluarga itu. Kini kanak-kanak itu selamat dan pulang ke pangkuan keluarga. Saya rasa lega dan syukur," katanya.

Nayati, 12, ditemui selamat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di Selangor pada pukul 7.55 pagi oleh orang awam yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Nayati dilapor dilarikan dua lelaki berhampiran Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara ketika berjalan berseorangan ke sekolahnya Jumaat lepas.

- Bernama

Source: http://malaysiakini.com/news/196985

No comments:

Post a Comment