Ramai
yang sangsi dengan tindakan PAS bergabung dengan DAP. Dengan PKR, tidak
timbul sangat isu. Kesangsian ini, bukan sekadar berlaku pada orang
UMNO, tetapi berlaku juga kepada orang-orang yang berkeahlian PAS, juga
dari kalangan mereka yang berada dalam gerakan Islam.
Bagi memberikan huraian perkara ini, dikupasnya seperti berikut;
SATU : SIKAP BEBERAPA PIHAK
Dalam merungkaikan perkara ini, ia terbahagi kepada dua pihak, iaitu;
1) Tidak bersetuju PAS gabung dengan DAP
Pendapat ini berhujjah seperti berikut;
[1] Firman Allah;
Maksudnya;
“Janganlah
orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan
meninggalkan orang-orang mukmin” (Surah al-Imran, ayat 28)
Dalam
ayat ini, Allah SWT melarang orang Islam menjadikan non Muslim sebagai
wali atau pemimpin. Makanya, tidak sepatutnya PAS bergabung dengan DAP,
kerana parti itu adalah parti bukan Islam.
[2] Firman Allah;
Maksudnya;
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (Surah al-Baqarah, ayat 120)
Dengan
yahudi dan nasrani, Allah SWT nyatakan bahawa mereka tidak akan redha
terhadap Islam. Jadi, bergabung dengan mereka adalah bermaksud redha
dengan mereka.
[3] Seorang Tabiin bernama Sufyan al-Sauri ada berkata;
Maksudnya;
Perkataan
Tabiin ini merupakan asas bahawa tidak boleh bergabung dengan non
Muslim. jadi, PAS tidak boleh bergabung tenaga dengan DAP.
2. PAS mesti bergabung dengan DAP
Pendapat ini berasaskan penghujahan berikut;
[1]Firman Allah;
Maksudnya;
“Dan
tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan
jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran” (Surah
Al-Maidah, ayat 2)
Tolong
menolong ini, dilarang dari melakukan permusuhan. Di kala DAP menyeru
kepada keadilan, lalu PAS melakukan permusuhan dengan DAP, menyebabkan
ia bercanggah dengan konsep ayat ini. Sedangkan dalam masa yang sama,
kita disuruh bantu membantu dalam melakukan kebaikan dan ketaqwaan.
Dalam
ayat ini, Allah SWT menyuruh kita bantu membantu dalam melakukan
“al-Bir”, sedangkan dalam ayat lain, Allah SWT guna kalimah “al-Bir”
ketika menyuruh melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang bukan
Islam.
Firman Allah;
Maksudnya;
“Allah
tidak melarang kamu untuk berbuat baik (al-Birr) dan berlaku adil
terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak
(pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai
orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)
Memandangkan
ayat ini menyuruh kita melakukan keadilan dan berbuat “al-Birr” kepada
orang bukan Islam, maka tidak salah jika PAS bersama-sama dengan DAP
dalam usaha saling bantu membantu menegakkan keadilan dan kebajikan.
[2] Firman Allah;
Maksudnya;
“Di antara Ahli kitab ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu” (Surah ali-Imran, ayat 75)
Dalam
ayat ini, Allah SWT mengiktiraf tentang amanah yang dilakukan oleh
orang bukan Islam. Ini ditambahi lagi pengiktirafan Nabi Muhammad SAW
terhadap kebaikan yang dilakukan oleh Raja Habsyah.
Jadi,
tindakan PAS bersama dengan DAP tidak menjadi kesalahan, jika dasar dan
tindakan DAP itu menjurus kepada keadilan dan kebaikan, seperti amanah
dan melawan rasuah dan sebagainya. Jika al-Quran mengiktiraf amanah
kewangan yang dilakukan yahudi, maka tidak ada sebab kita tidak mengiktiraf kebaikan DAP jika mereka menyeru kepada benda yang sama.
[3] Dari Talhah bin Abdullah bin Auf bahawa Nabi SAW berkata;
Maksudnya;
“Aku
hadir di rumah Abdullah bin Jad’ad satu pakatan yang aku lebih suka
kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat
berharga). Sekiranya aku diajak kepadanya di zaman Islam, nescaya aku
menyahutinya[2]”
Al-Qutaibi
menyatakan, “punca berlaku pakatan itu adalah Quraish telah melakukan
kezaliman di tanah haram, lalu Abdullah bin Jad’an dan Zubair bin Abd
al-Muttalib mengajak mereka kepada pakatan dalam memberi pertolongan dan
menyelamatkan orang yang dizalimi. Ajakan itu telah disahut oleh Bani
Hasyim dan sesetengah kabilah daripada Quraish[3]”
Dari
ini, amat nyata bahawa bersama dengan non Muslim dalam berusaha
menghapuskan kezaliman adalah satu perkara yang tidak bercanggah dengan
Islam, sebaliknya ia diiktiraf oleh Nabi Muhammad SAW.
[4] Firman Allah;
Maksudnya;
“Jangan kamu cenderung kepada mereka yang telah zalim, maka akan menyambar akan kamu oleh neraka” (surah Hud, ayat 113)
Kezaliman
ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk mereka beragama
Islam. Ada muslim yang zalim, dan ada non Muslim yang adil. Jika
kezaliman itu dibuat, maka pembuat itu tidak boleh disokong. Menyokong
itu satu kesalahan. Jika menyokong kezaliman sudah disambar oleh Neraka,
maka menyokong keadilan adalah satu kewajipan, tidak kira siapa sahaja
yang melakukannya.
DUA : PENILAIAN
Sebelum membuat rumusan terhadap pendapat kedua-dua perkara ini, dihuraikan seperti berikut;
[1] Dalam
fiqh politik, asasnya adalah capaian kepada maqasid, iaitu kemaslahatan
kepada rakyat. Ia merupakan definisi politik, sepertimana yang pernah
dinyatakan al-Qaradhawi.
Dalam kitab al-Siyasah al-Syariyyah, Qaradhawi mendefinisikan siyasah atau politik itu adalah;
Maksudnya;
“Melaksanakan terhadap sesuatu dengan perkara yang boleh mendatangkan kemaslahatan[4]”
Dengan
erti kata yang lain, setiap tindakan yang mencapai kepada maslahah
kepada rakyat, maka ia merupakan tuntutan kepada fiqh politik. Dengan
maksud, perkara yang boleh mendatangkan mafsadah kepada rakyat, maka
perkara itu berada diluar kerangka fiqh politik Islam.
Adapun
nas-nas yang berkait dengan politik, sifatnya adalah wasail, iaitu
elemen penghubung kepada capaian terhadap maqasid. Sesuatu ketetapan
yang termaktub dalam Nas tersebut, ia merupakan salah satu cara untuk
capaian maqasid, bukan satu-satunya cara sahaja. Dengan maksud, cara
yang termaktub dalam nas tersebut, amat sesuai dengan kondusif politik
di zaman itu, tetapi mungkin tidak sesuai dengan kondusif di zaman dan
tempat yang lain.
Antara contoh dalam perkara ini adalah seperti sabda Nabi SAW;
Maksudnya;
“pemimpin-pemimpin itu dari kalangan Quraish[5]”
Hadis
ini adalah bersifat wasail, sedangkan maqasid dalam hadis ini adalah
untuk mengelak pertembungan dan perbalahan. Ibn Khaldun dalam kitab
muqaddimah menyatakan;
Maksudnya;
“Oleh itu, nyata bahawa syarat quraish adalah untuk menolak perbalahan ekoran kewujudan asabiyyah dan penguasaan”[6].
Dengan
maksud, penguasaan dan “respek” pihak rakyat pada zaman itu terhadap
Quriash menyebabkan Nabi SAW menyatakan kepimpinan itu dari kalangan
Quriash. Dengan erti kata yang lain, jika mengelak dari perbalahan itu
tercapai dengan tidak perlantikan Quraish, tetapi tercapai dengan
perlantikan bangsa lain, maka melantik bangsa lain itu adalah satu
keperluan.
[2] Dalam
politik Islam, perkara yang paling penting adalah perlaksanaan
keadilan, dan berusaha sedaya mungkin dari tersebar kezaliman. Segala
tindakan yang menegakkan kezaliman, maka ia wajar dilawan.
Firman Allah;
Maksudnya;
“Jangan kamu cenderung kepada mereka yang telah zalim, maka akan menyambar akan kamu oleh neraka” (surah Hud, ayat 113)
Dalam hadis Qudsi, bahawa Nabi SAW berkata yang Allah SWT berfirman;
Maksudnya;
“Wahai
Hamba-Ku, Sesungguhnya Aku haramkan zalim terhadap diri-Ku, dan Aku
jadikannya haram di antara Kamu, maka Jangan kamu saling zalim menzalimi[7]”
Ibn Taimiyyah menyatakan;
Maksudnya;
“Allah SWT tolong Negara yang adil, waima ia adalah kafir, Tidak menolong Negara yang zalim, waima ia mukmin[8]”
[3]Tentang firman Allah;
Maksudnya;
“Janganlah
orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan
meninggalkan orang-orang mukmin” (Surah al-Imran, ayat 28)
Ulasan tentang ayat ini adalah seperti berikut;
-1- Ayat
ini bersifat Sad al-Zaraie, iaitu menutup segala pintu-pintu haram.
Sifat menutup pintu-pintu haram ini, tidak semestinya diharamkan secara
mutlak, tetapi dengan meletakkan syarat-syarat juga ia sudah memadai
menutup pintu-pintu haram.
Ia sama seperti Allah SWT menyatakan;
Maksudnya;
“Jangan
kamu cela mereka yang menyembah selain dari Allah, nanti mereka mencela
Allah dengan permusuhan (prejudis), dengan tanpa Ilmu” (surah al-An’am,
ayat 108)
Ibn
Kathir menyatakan bahawa Allah SWT melarang Rasulullah SAW dan
orang-orang mukmin dari memaki sembah-sembahan musyrikin, walaupun ia
boleh mencapai maslahah. Ini kerana, ia sebenarnya boleh membawa kepada mafsadah yang lebih besar, iaitu makian balas dari orang Musyrikin terhadap tuhan orang mukmin, iaitu Allah yang tiada tuhan kecuali Dia[9].
Menurut Al-Raisuni pula, hukum asal bagi celaan terhadap sembahan musyrikin
adalah harus, malahan dalam beberapa ketika ia menjadi wajib. Ini
kerana, menyembah selain Allah merupakan jenayah dan penyelewengan yang
cukup besar. Namun, melihat kepada implikasi menyebabkan tercapainya mafsadah
yang lebih besar, iaitu mereka mencela Allah dalam keadaan hati mereka
ada permusuhan, zalim dan kejahilan, menyebabkan mencela sembahan selain
Allah itu dilarang[10].
Dengan
erti kata yang lain, mencela sembah-sembahan tersebut adalah dibenarkan
DENGAN SYARAT ia tidak dilakukan dihadapan non muslim. Sekiranya
diyakini tidak mendatangkan implikasi serang balas dari non Muslim
tersebut, maka ia tidak menjadi haram.
Begitu
juga dengan ayat 28 dari surah al-Imran. Larangan orang non
Muslim menjadi pemimpin itu kerana bimbang mereka menguasai orang Islam.
Dengan maksud, tidak dibawah larangan sekiranya non Muslim itu menjadi
pemimpin DENGAN SYARAT pengamalan dan beberapa perkara prinsip bagi umat
Islam tidak diganggu gugat.
Dalam
kerangka demokrasi, sesuatu perlaksanaan dasar tertakluk kepada
undang-undang yang termaktub. Ia tidak boleh dilanggar oleh sesiapa
sahaja yang memerintah, samada mereka yang beragama Islam atau mereka
yang tidak beragama Islam. Sekiranya dalam undang-undang termaktub
menyatakan hak orang Islam tidak boleh terhalang, maka sesiapa sahaja
yang menjadi pemimpin, mereka kena akur dengan undang-undang tersebut.
Jadi,
dengan perlantikan non Muslim sebagai pemimpin politik dalam kerangka
politik demokrasi, ia tidak bercanggah dengan maksud ayat di atas.
-2- Dalam
kerangka monarki, pemimpin itu bersifat wilayah. Sedangkan dalam
kerangka demokrasi, pemerintah tidak boleh pandai-pandai menentukan
dasar kecuali mendapat persetujuan rakyat majoriti. Dengan erti kata
yang lain, pemimpin dalam sesebuah Negara demokrasi, tidak bersifat
wilayah, tetapi bersifat wakalah. Wilayah dalam kerangka demokrasi
adalah rakyat dan undang-undang yang termaktub.
Ekoran
dari itu, menjadikan hujjah ayat ini sebagai penghalang untuk mengundi
non Muslim adalah tidak tepat. Ini kerana, dalam wakalah boleh diberikan
kepada non Muslim.
[4] Mereka berhujjah dengan merujuk kepada Firman Allah;
Maksudnya;
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (Surah al-Baqarah, ayat 120)
Kata
mereka, “dengan yahudi dan nasrani, Allah SWT nyatakan bahawa mereka
tidak akan redha terhadap Islam. Jadi, bergabung dengan mereka adalah
bermaksud redha dengan mereka”.
Bagi menjawab hujjah mereka ini, diperhatikan kepada satu hadis, bahawa Nabi SAW ada menyatakan;
Maksudnya;
“Ketahuilah
bahawa mereka yang menzalimi Mu’ahid (non Muslim yang zimmi) atau
mengurangkan (kata al-Tibiy : haknya) atau membebankannya luar dari
kemampuannya, atau mengambil darinya sesuatu bukan dari cara yang baik,
maka aku akan jadi penghujjahnya pada hari akhirat[11]”
Melihat
hadis ini, Nabi SAW mempamerkan bahawa Nabi SAW akan mempertahankan non
Muslim yang dizalimi. Tindakan Nabi SAW mempertahankan non Muslim,
bukan bermakna Nabi SAW redha dengan agama mereka. Maka begitu juga
tindakan PAS bergabung dengan DAP, bukan bermakna redha dengan mereka.
Dari
sudut Islam, tidak boleh kita hendak melahirkan permusuhan politik atas
sebab berbeda agama, kerana kepercayaan agama melibatkan hidayah yang
merupakan kekuasaan Tuhan, sedangkan menghentikan kezaliman adalah
perkara ikhtiyari, iaitu dibawah kawalan kita. Maka ia hendaklah
dilawan, waima ia dilakukan oleh muslim sekalipun. Jika Muslim melakukan
kezaliman pun wajib dilawan, maka lebih-lebih lagi wajib dilawan, jika
yang melakukan kezaliman itu adalah non Muslim.
[5]Mereka berhujjah dengan merujuk perkataan Seorang Tabiin bernama Sufyan al-Sauri. Beliau berkata;
Maksudnya;
Mereka
menyatakan, “Perkataan Tabiin ini merupakan asas bahawa tidak boleh
bergabung dengan non Muslim. jadi, PAS tidak boleh bergabung tenaga
dengan DAP”
Dijawab
bahawa berbeda kepuakan adalah fitrah. Tetapi, perbedaan puak itu tidak
boleh menafikan keperluan bekerjasama dalam menjatuhkan kezaliman. Ia
dapat dirujuk dalam hadis Hilf al-Fudhul yang disebut di atas bahawa
Nabi SAW akan menyokong gerakan yang bersatu dalam menghapuskan
kezaliman, waima ia dilakukan oleh Bani Hashim yang ketika itu tidak
beragama islam lagi.
[6] Mereka
menyatakan, “Bersatu adalah satu keperluan. Dalam al-Quran, banyak
ayat-ayat al-Quran menyuruh kita bersatu. Sedangkan berpakat dalam
politik, tidak termaktub dalam nas al-Quran. Jadi, apabila bertembung
al-Quran dan tidak, maka dahulukan nas al-Quran”.
Dinyatakan
bahawa dalam al-Quran, suruhan bersatu atas asas berpegang dengan tali
Allah. Dengan erti kata lain, sekiranya dari pihak muslim ada yang tidak
berpegang dengan tali Allah, maka tidak perlu bersatu dengan mereka.
Malahan boleh jadi haram, jika bersatu itu mengukuhkan lagi pihak yang
zalim.
Tanpa
dilalaikan, bahawa al-Quran juga menyuruh kita menghindarkan diri dari
cenderung kepada kezaliman. Secara istiqra’ maknawinya, kezaliman memang
wajib dihindari. Adalah satu perkara yang mustahil bahawa al-Quran
menyuruh kita menyokong kezaliman.
Mendakwa
bahawa sesama muslim perlu bersatu adalah perkara benar. Tetapi, adalah
salah jika disuruh juga bersama dengan muslim, jika tidak berasaskan
kepada keadilan dan menolak kezaliman yang merupakan antara perkara asas
bagi tali Islam. Kita dituntut bersatu dalam melakukan keadilan dan
menolak kezaliman, tetapi kita dilarang dari bersatu dalam melakukan
kezaliman, waima sesama muslim sekalipun.
KESIMPULAN
Asas
bagi Islam, ia adalah rahmat sekelian alam. Ia tidak memberi kasih
sayang kepada muslim sahaja, tetapi kasih sayang menurut ajaran Islam
melepasi batasan bangsa, warna kulit dan agama. Soal kepercayaan agama
adalah soal hidayah, sedangkan hidayah dibawah kekuasaan Allah SWT.
Islam
tidak menghalang kita bersatu dengan non Muslim dalam usaha menegakkan
keadilan. Yang Islam halang adalah, bersatu sesama muslim dalam
menegakkan kebatilan dan kezaliman. Juga islam juga menghalang memberi
kekuatan kepada pihak batil untuk terus bertapak.
Islam
menang apabila non Muslim memeluk Islam. Ia tidak akan berlaku, kecuali
mereka menyukai Islam terlebih dahulu. Mereka tidak akan suka dengan
Islam, jika Islam dipamerkan sebagai agama perkauman, walhal Islam
adalah agama untuk semua manusia.
Ibn
Taimiyyah pernah berkata, “Allah akan tolong Negara yang adil, waima ia
kafir sekalipun. Allah tidak akan tolong Negara yang zalim, waima ia
mukmin sekalipun[13]”
Dengan
itu, bersatu kita menegakkan keadilan demi melihat Islam tersebar di
muka bumi ini. Hindarkan diri dari bergabung dengan pihak yang zalim,
kerana ia menjauhkan manusia dari Islam.
WAllahu ‘Alam
[1] Musannaf Abd al-Razzaq; no, 10234.
[2] Sunan al-Baihaqi al-Kubra, hadis no : 12859.
[3] Ibid, jld 6, hlmn 367.
[4] Al-Siyasah al-Syariyyah fi Dau’ Nusus al-Syariah wa maqasiduha, hlmn 29.
[5] Musnad Ahmad, hadis no : 11859.
[6] Al-Muqaddimah, hlmn 100.
[7] Muslim, hadis no : 4674.
[8] Al-Hisbah, hlmn 4.
[9] Ibni Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim : 3/314.
[10] Dr Ahmad al-Raisuni, Muhadharat fi Maqasid al-Syariah : 219.
[11] Sunan Abi Daud, 2654.
[12] Musannaf Abd al-Razzaq; no, 10234.
[13] Al-Hisbah, hlmn 4.
Dicatat oleh Al-Bakistani
No comments:
Post a Comment