Tuesday, May 8, 2012

Ambiga, PAS sama berjuang pilihan raya adil – Ustaz Hadi

KUALA KRAI: Biar pun ada pihak cuba mempertikaikan bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga mengetuai Bersih 3.0, namun bagi PAS persamaan perjuangan bagi membersihkan pengendalian pilihan raya di negara ini lebih penting.
Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, soal siapa yang berada di depan Bersih 3.0 tidak menjadi  isu utama, sebaliknya matlamat perjuangan memastikan proses pilihan raya telus di negara ini lebih penting.
“Tak kiralah siapa yang berada di depan Bersih 3.0 baru-baru, kerana apa yang lebih penting ialah berjuang bagi memastikan pilihan raya di negara ini benar-benar bersih dan adil,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS Kuala Krai hari ini.
Hadir sama Pengarah Pillihan raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman, Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim dan Adun Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria.
Turut hadir wakil PKR cabang Kuala Krai dan anggota-anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS kawasan berkenaan. Mesyuarat tersebut diadakan di Markaz PAS kawasan di Sungai Durian.
Sebelum ini Umno mempertikaikan kehadiran Ambiga sebagai pengerusi bersama Bersih 3.0 dan dikait dengan pelbagai tomahan negetif.
Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata,  bagi Umno semua perkara dalam kehidupan harian menjadi halal apabila dilulus lesen oleh kerajaan  termasuk kegiatan perjudian.
Pada majlis itu juga Presiden PAS memakaikan baju t-shirt bergambar Tok Guru Nik Abdul Aziz kepada Ketua Penaja PAS Cawangan Sungai Tias, Wan Nor Abdullah, 46 yang menyertai PAS bersama 50 pengikutnya baru-baru ini.
Cawangan Sungai Tias berjaya diwujudkan selepas ahli dan penyokong Umno di kampung terbabit menyertai PAS beramai-ramai sebelum ini.
Wan Nor ketika ditemui berkata, sudah sampai masanya beliau dan rakan-rakan kembali kepada perjuangan sebenar selepas sekian lama bersama dengan Umno.
“Pemimpin Umno hanya datang ketika menjelang musim pilihan raya sahaja dan selepas itu hilang. Masalah rakyat bukan menjadi keutamaan mereka. Sebab itulah wakil rakyat Umno jarang tinggal di kawasan pilihan raya.
“Penggal lalu wakil rakyat yang menang di Dabong tinggal di Tumpat dan datang ke Dabong hanya sekali sekala ketika mengharapkan undi rakyat menjelang pilihan raya,” ujarnya.
Rakannya Mohamad Omar, 40 yang kini menjadi setiausaha penaja cawangan Sungai Tias berkata, beliau begitu terharu kerana sering didatangi wakil rakyat PAS bagi membantu menyelesaikan setiap masalah yang timbul.
Sementara itu Arifabillah memberitahu program ziarah yang sering diadakan di Dun berkenaan dengan mengunjungi rumah-rumah penduduk tanpa mengira parti mana dapat mendekatkan pemimpin dengan rakyat.
“Saya diberitahu ramai di kalangan penyokong Umno terharu ketika rombongan ziarah diadakan di rumah mereka,” katanya sambil memberitahu dalam  masa terdekat ini ada lagi ahli Umno akan menyertai PAS termasuk di Kampung Lachang.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10098-ambiga-pas-sama-berjuang-pilihan-raya-adil--ustaz-hadi

No comments:

Post a Comment