Sunday, May 13, 2012

Pemuda Pas: Karpal perlu hormat hak Hadi

Naib Ketua Pemuda Pas, Dr Raja Ahmad Al Hiss
Naib Ketua Pemuda Pas, Dr Raja Ahmad Al Hiss
SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas membidas sikap Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menyatakan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan melaksanakan undang-undang hudud jika semua syarat lengkap apabila berkuasa kelak.

Naib Ketua Pemuda Pas, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, Karpal tidak wajar menyatakan pandangannya secara terbuka terhadap Presiden Pas.

"Sebagai Presiden Pas, beliau berhak mengeluarkan kenyataan berhubung dasar perjuangan Pas.

"Sebagai pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat (PR) pula, Presiden Pas berhak mengeluarkan kenyataan tersebut kerana ia tidak bercanggah dengan prinsip dalam PR," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Minggu lalu, Karpal menggesa Abdul Hadi berhenti mengeluarkan kenyataan bagi pihak PR.

Karpal berkata, Abdul Hadi tidak berhak berbuat demikian terutama ketika menyatakan pakatan itu akan melaksanakan hudud jika PR memerintah.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu juga berkata kenyataan Abdul Hadi adalah retorik semata-mata dan tanpa sebarang justifikasi.

Raja Ahmad berkata, Pas menghormati pandangan dan kenyataan pemimpin DAP dan prinsip perjuangan mereka.

"Justeru, Dewan Pemuda Pas meminta Karpal Singh turut menghormati pandangan Presiden Pas dan pandangan beliau terhadap perjuangan Pas.

"Dewan Pemuda Pas mengingatkan, kenyataan Karpal tidak menguntungkan Pakatan Rakyat. Kenyataan beliau boleh mengeruhkan hubungan dan mengikis keyakinan rakyat terhadap PR.

"Lebih dari itu, teguran Karpal mengguris hati ahli Pas serta umat Islam di negara ini umumnya," katanya.

Raja Ahmad menambah, dasar Pas sejak dahulu sehingga kini jelas iaitu untuk menegakkan Islam di negara ini.

"Pas tidak pernah menggadai prinsipnya serta membohongi rakyat tentang prinsip Islam yang diperjuangkan walau dengan siapa ia bersahabat," katanya.

Raja Ahmad juga menasihatkan Karpal supaya memberikan fokus terhadap Pilihan Raya Umum ke-13 serta isu-isu untuk kepentingan rakyat negara ini kerana ia lebih utama daripada mengkritik sesama sendiri.

Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/pemuda-pas-karpal-perlu-hormat-hak-hadi-1.47600

No comments:

Post a Comment