Sunday, May 27, 2012

Nik Aziz ajak umat Islam hadir perhimpunan 1 Jun


Nik Aziz ajak umat Islam hadir perhimpunan 1 Jun
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengajak umat Islam di negara ini hadir pada majlis himpunan besar- besaran 1 Jun ini.

Menurutnya, majlis perhimpunan penuh makna terutama yang mengharapkan keadilan dialu-alukan untuk hadir pada majlis yang akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah itu.

“Program itu penuh makna kerana ia bakal diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk majlis munajat, dan mubahalah untuk meluahkan hasrat kepada Allah,”katanya selepas merasmikan aktiviti memanah sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik), di sini semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, sebagai umatnya manusia boleh mengadu kepada ALLAH SWT tentang kezaliman yang menimpa dalam usaha memperjuangkan syariat Islam.

Menurutnya, menghalang perbuatan mungkar adalah perkara wajib tidak kira dengan apa cara sekalipun termasuk melalui himpunan Bersih.

“Bersih hanya satu daripada cara rakyat menunjukkan bantahan terhadap pengundi hantu, kekotoran sistem pendaftaran pengundi dan sebagainya,”katanya.

“Nak perjuangkan melalui Bersih itu terpulanglah, tetapi wajib menentang kezaliman, kemungkaran dan berbagai lagi,”ujarnya.

Beliau berkata, semua pendekatan itu bukan urusan parti sebaliknya merupakan ajaran Islam.

Source: http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/nik-aziz-ajak-umat-islam-hadir-perhimpunan-1-jun-1.50779?localLinksEnabled=false

No comments:

Post a Comment