Saturday, May 5, 2012

Perjanjian bank-peneroka lebih teruk dari Perjanjian Israel-Palestin


Borang pinjaman itu gagal menyatakan jumlah unit saham FGVHB dan jumlah pinjaman yang sepatutnya ditawarkan kepada peneroka.
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa perjanjian pinjaman pembelian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) antara peneroka dengan bank melanggari etika pinjaman apabila beberapa perkara penting diabaikan.
Penasihat ekonomi Anak Dr Rosli Yaakop berkata borang pinjaman itu gagal menyatakan jumlah unit saham FGVHB dan jumlah pinjaman yang sepatutnya ditawarkan kepada peneroka, sekaligus menjadikan peneroka seperti menandatangani ‘borang kosong’.
Malah, peneroka dipaksa menandatanganinya pada satu tempat yang ditetapkan dan tidak dibenarkan membawa balik borang tersebut untuk rujukan termasuk mendapatkan khidmat peguam walaupun didalamnya menasihati supaya peneroka berbuat demikian.
“Peneroka sepatutnya boleh bawa balik borang untuk dapatkan nasihat tetapi di sini tak diberi peluang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini.
Katanya, 90 peratus peneroka Felda seluruh negara telah menandatanganinya sejak borang itu mula diedarkan minggu lalu dan tarikh tutupnya pada 4 Mei depan.
Sementara itu, Pengerusi Anak Mazlan Aliman mendedahkan Surat Tanggung Kerugian bank yang juga perlu ditandatangani seperti menjerat peneroka apabila wujud klausa berbunyi:
“Saya pada bila-bila masa bertanggungjawab sepenuhnya dan bersedia menanggung segala kerugian dan bersedia menanggung kerugian terhadap semua kerugian dan sentiasa bersedia menanggung kerugian terhadap semua tindakan, guaman, prosiding, tuntutan, permintaan, kerugian, caj, penalti, fee, denda, kos yuran undang-undang (atas dasar indemniti penuh) dan apa jua perbelanjaan yang dibuat, diambil,
dibawa, dikenakan, dialami, ditanggung, didakwa atau kena bayar dalam apa jua keadaan terhadap saya atau mana-mana orang perseorangan yang berbangkit atau bersangkutan atau berhubung dengan surat ini.”
“Ayat ini lebih teruk daripada perjanjian Israel dengan Palestin.
“Bagaimana peneroka boleh terlepas dengan beban sebegini,” soalnya.
Perjanjian pinjaman itu disediakan tujuh bank komersial berlainan iaitu CIMB, Maybank, Ambank, OCBC Bank, Bank Muamalat, Bank Islam, dan
Affin Bank dengan mengenakan kadar faedah 6.5 peratus.

Sembilan dokumen
Didalamnya mengandungi sembilan jenis dokumen iaitu borang Permohonan Pinjaman Saham Terbitan Awam Permulaan (IPO) FGVHB, Akaun Berkanun, Surat Kebenaran Debit Margin Akaun, dan Notis Pengeluaran Pinjaman dan Surat Akujanji Untuk FGVHB.
Selain itu, Surat Tawaran Pembiayaan IPO: FGVHB, Memorandum Gadaian Saham Islam, Perjanjian Pembelian Saham, dan Perjanjian Penjualan Saham.
Mengulas mengenainya, Mazlan berkata perjanjian ini tidak adil kerana peneroka akan menanggung sepenuhnya kerugian jika harga pasaran saham jatuh.
“Mereka (Felda) yakin peneroka adalah masyarakat yang lebih mudah kena tipu. Setakat ini strategi mereka menjadi,” katanya sambil menyifatkan perkara ini sebagai nasib malang buat peneroka.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan kelonggaran syarat yang diberikan bank kepada peneroka yang rata-ratanya berumur 60 tahun
keatas, sedangkan kebiasaannya had umur seseorang pemohon yang dibenarkan tidak boleh melebihi 65 tahun.

Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/05/02/perjanjian-bank-peneroka-lebih-teruk-dari-perjanjian-israel-palestin/

No comments:

Post a Comment