Wednesday, February 27, 2013

Saya keluar jika PAS terpesong - Tuan Ibrahim





Post Pic
 
BANDAR JENGKA: Di sebalik dakwaan terpesong daripada prinsip Islam, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan beliau akan bertindak keluar daripada parti Islam itu sekiranya hala tuju berubah.
 
Jelas beliau, ramai pemimpin parti itu akan bertindak demikian termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat jika ia terpesong daripada konsep perjuangan asalnya.
 
Tuan Ibrahim menambah PAS perlu memastikan ia mempertahankan prinsip Islam walaupun parti itu bersifat lebih terbuka di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
PAS akan pertahan dasar dan prinsip Islam
 
Katanya, Majlis Syura Ulama selaku entiti tertinggi akan memantau pergerakan parti bagi menjamin kekuasaannya dengan peranan seperti menghuraikan, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.
 
"Saya tengok bila ramai mula sokong PAS maka timbul golongan-golongan kata PAS dah lari. Kalau PAS lari dari prinsip Islam saya keluar daripada PAS, kalau PAS lari dari dasar Islam ramai akan lari kalau PAS lari dari dasar Islam.
 
"Selagi mana kita boleh pertahankan prinsip Islam cuma pendekatan itu mengikut pendekatan suasana selagi kita pegang kepada prinsip," katanya dalam program soal jawab Maqasid Syariah anjuran Antarapos baru-baru ini.
 
Dakwaan PAS terpesong daripada perjuangan Islam tercetus selepas Datuk Dr Hasan Ali dipecat keanggotaannya daripada parti itu dan ia disusuli dengan pemecatan bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dari ahli Majlis Syura Ulama.
 
Difahamkan dakwaan itu turut berpunca daripada tindakan PAS mengubah slogan parti itu daripada 'negara Islam' kepada 'Negara Berkebajikan' pada muktamar yang lalu.
 
Kritikan terhadap PAS semakin hebat ekoran kegagalan parti itu menyelesaikan segera penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam termasuk dalam Bible versi Bahasa Melayu.
 
Namun pemimpin parti itu menafikan ia terpesong daripada perjuangan Islam dengan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menegaskan bahawa hala tuju parti itu masih sama seperti dahulu.
 
“PAS hari ini adalah PAS dahulu, perjuangan tidak lari daripada perjuangan asal. Arah tujunya tetap sama masih utuh dan masih atas perjuangan asalnya tanpa sedikit pun menyeleweng daripada apa yang terkandung di dalam perlembagaannya,” katanya pada penghujung tahun lalu.
 
PAS masih berpegang kepada prinsip dakwah
 
Menurut Tuan Ibrahim, PAS masih berpegang kepada dasar parti itu selain masih berpegang kepada prinsip dakwah dan bukan mengejar kuasa politik.
 
"Saya duduk dalam PAS lama, saya tengok dasar PAS tidak pernah berganjak atau berubah cuma kenapa orang kata begitu. Saya fikir punca orang mula melihat kemampuan dan sokongan kepada PAS bertambah.
 
"Nak kata kerana politik, politik ini benda hidup...sentiasa hidup, kalau politik tenang bukan politik kerana politik sentiasa panas. Kalau kita lihat PAS dalam konteks dakwah ada golongan yang tercicir daripada perjuangan.
 
"Saya tidak menganggap kawan-kawan yang keluar lari daripada perjuangan Islam, mungkin dia menganggap nak teroka medan baru. Tidak apa selagi mana kita menentang perjuangan Islam, menentang usaha mendaulatkan Islam sebab itu kita anggap ia ruang masing-masing," katanya.
 
PAS tidak buang ahli sesuka hati kecuali kesalahan serius
 
Mengenai dakwaan bekas pemimpin parti yang mendakwa PAS tidak lagi memperjuangkan Islam, Tuan Ibrahim yang juga ahli Majlis Syura Ulama berkata dakwaan itu tidak benar kerana  parti itu menggunakan pendekatan berbeza dalam mendekati rakyat.
 
Justeru beliau menegaskan, parti itu tidak membuang ahli sesuka hati kecuali ia melakukan perkara yang bertentangan dengan prinsip dan dasar PAS.
 
"Sebab itu dalam PAS kita tak buang ahli, bukan mudah nak buang ahli. Setakat ini tidak ramai yang kita buang, ada yang banyak kita beri amaran dan ada kita gantung...bila buang maknanya serius, tapi walaupun kita buang kita beri peluang untuk merayu.
 
"Kalau kita lihat dalam sejarah PAS, pernah setiausaha agung PAS pada waktu itu dia pernah dipecat tapi dia istiqamah kemudian merayu dan masuk semula PAS. PAS pernah buang pada waktu itu seorang ahli Parlimen kita kerana menari.
 
"Pada waktu itu kita lihat ia isu besar, dia keluar menari kemudian keluar muka depan (akhbar)...walaupun dia tidak menari dengan perempuan tapi pada waktu itu sentimennya sensitif. Macam sekarang bila kita libatkan artis dalam PAS masih ada golongan yang kata hiburan tidak boleh," katanya

Sumber : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkapViaw==

No comments:

Post a Comment