SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
3 Februari 2013
Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR - Dilihat teguh dengan pendirian bahawa Pakatan Rakyat adalah perikatan yang kukuh, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan, Pas sama sekali tidak akan mengulangi jalinan kerjasama politiknya dengan Umno.

"Kita sudah bekerjasama sebelum ini dan kita telah dikhianati. Kita tidak akan adakan sebarang kerjasama politik lagi dengan Umno.

"Kita tidak akan dipatuk melalui satu lubang yang sama sekali lagi," tegas pemimpin utama parti itu ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Perdana Ummah bersama Pas dekat sini hari ini.
Jelas Hadi, Pas sama sekali tidak akan mengkhianati janjinya kepada rakyat walaupun terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu termasuk Umno untuk memporak-perandakan Pas dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

"Bukan kita tak boleh bekerjasama. Dalam isu Palestin, kita boleh bekerjasama... Dalam isu politik tak boleh kerjasama," tegas Hadi lagi.
Bahkan ujarnya Pas sama sekali tidak akan berganjak daripada pendirian bahawa penggabungannya bersama-sama PKR dan DAP adalah satu perikatan utuh untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang diimpikan rakyat.

"Mesej Pas, kita tidak akan berganjak. Kerjasama Pakatan Rakyat, Pas menerima dengan syarat apa yang ada dalam Perlembagaan, Islam agama Persekutuan, agama lain dilayan dengan adil, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, hak adil kepada semua kaum, ini suruhan Islam.

"Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bahasa ibunda ada hak, bahasa asing boleh belajar, Raja mesti ikut Perlembagaan, ini kita terima," kata Hadi.

Pada majlis pada hari ini kira-kira 200 ahli baru Pas dari pelbagai latar belakang berkongsi impian dan harapan mereka dalam Pas khususnya dan Pakatan Rakyat amnya dalam menghadapi pilihan raya paling genting ini seterusnya membentuk kerajaan baru di Putrajaya.

Turut serta dalam majlis ini ialah ahli baru Pas daripada golongan akademik, profesional, agamawan, mahasiswa, artis dan ramai lagi.