Saturday, February 9, 2013

‘Jangan pilih bos, tapi pilih jadi bos’

Harakahdaily,09 Feb 2013
KUANTAN: “Cukuplah budaya ini. Sebelum berkuasa, mereka datang merayu undi. Lepas kita beri kuasa pada mereka, kita pula yang takut pada mereka.”

Begitulah nasihat Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) kepada para hadirin yang menghadiri ceramah di Kampung Kempadang, Kuantan malam semalam.

Di hadapan kira-kira 500-750 hadirin, Tuan Ibrahim berkata PRU13 adalah peluang terbaik rakyat untuk memperbetulkan kesilapan sistem di negara ini.

“Wakil rakyat sepatutnya pekerja untuk rakyat. Ini tidak, dia pula jadi bos rakyat. Cukuplah. Ambil peluang di PRU13, jangan pilih bos, tapi pilih jadi bos,” kata beliau ketika ditanya Harakahdaily selepas ceramah.

Dalam ceramah yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa di dalam dunia politik, segala kemungkinan akan berlaku.

“Oleh itu jangan kita sombong. Masihkah tuan-tuan dan puan-puan ingat bagaimana Khir Toyo membuat deklarasi pembangkang sifar di PRU yang lalu. Lalu apa terjadi, beliau menjadi ketua pembangkang Selangor,” kata beliau.

Kata beliau, orang politik yang menang pilihanraya seharusnya tidak sombong kepada sesiapa, dan mereka yang memilih orang politik di pilihanraya tidak sepatutnya takut pada orang politik apabila mereka berkuasa.

“Ingat tak insiden hadiah penyapu Khir Toyo? Jika anda kakitangan kerajaan tersebut, apa yang anda rasa? Kakitangan kekal, paling teruk kena transfer (dipindahkan). Tapi orang politik boleh dijatuhkan. Oleh itu, jangan sombong,” kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu menyeru rakyat menyokong mereka yang menawarkan kerajaan bermoral.

“Kerajaan bermoral hanya boleh datang daripada mereka yang mempunyai moral dan akhlak yang tinggi,” kata beliau, sambil menambah sebuah kerajaan bermoral tidak akan terjebak dengan rasuah dengan mudah mahupun menindas rakyat.

Sementara itu, Anwar berkata sudah menjadi kebiasaan Umno untuk menyalahkan beliau dalam apa-apa perkara.

“Saya ini agen macam-macam. Agen Cina, agen Yahudi, agen CIA dan sebagainya,” sindir beliau.

Bagi beliau, itu semua mainan politik Umno untuk memburukkan musuhnya tanpa sedar sebenarnya yang buruk adalah mereka yang kini tidak boleh ditutup lagi.

2 comments:

  1. Pas akan terus bermoral sebagai parti Islam sekiranya terus bersama Anwar. Islam plural ..hidup Pas ..takbir...........

    ReplyDelete
  2. aku rasa Mat Sabu dan Khalid Samad akan perlingkup PAS. tunggu dan lihat

    ReplyDelete