(Ustaz Hadi memberikan panduan kepada ahli-ahli PAS)

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta semua ahli PAS memahami tiga konsep ‘Negara Berkebajikan’ yang perlu difahami oleh semua ahli parti bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya kelak.

“Kita (ahli PAS) perlu faham tiga konsep ‘Negara Berkebajikan’. Pertama, mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kedua, ekonomi yang mencukupi dan ketiga, keamanan dalam negara dan luar negara. 

“Ini tiga konsep yang penting bila kita (PAS) hendak tegakkan negara. Barang kali kita tidak sedar kerja kita untuk menang pilihan raya, untuk mendirikan sebuah kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah. Hukum Islam yang adil adalah nombor satu yang disenaraikan oleh Allah SWT pada hari kiamat kelak,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Seminar Manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 PAS negeri Terengganu di Dewan Tok Guru Masjid Rusila, Marang.

Ustaz Abdul Hadi juga turut memberitahu PAS mempunyai ramai tokoh-tokoh kepimpinan yang boleh membantu menyelesaikan masalah negara.

Namun, katanya PAS tidak diberi peluang secara adil dan saksama kerana berada dalam sistem demokrasi yang tidak betul dalam negara ini.

Menurutnya, PAS juga mempunyai ramai tokoh-tokoh ternama yang berada di belakang ‘tabir’ parti hari ini.

“Tetamu yang diraikan untuk memberi ulasan (manifesto) Dr Mohamad Khazani Abdullah. Dia ( Dr Khazani) ini tokoh saintis negara tahun 2001.

“Banyak (ramai) di kalangan kita (rakyat) tidak sedar dalam PAS ini banyak tokoh-tokoh yang boleh menyelesaikan masalah negara tetapi PAS tidak diberi peluang kerana demokrasinya tidak betul.

“Bukan sekarang (baru) tapi sejak zaman dulu almarhum Profesor Engku Omar, Aminuddin Baki, Profesor Dr Ahmad Ibrahim, Dato’ Abdul Samad iaitu Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Pahang dan banyak lagi nama-nama yang berada di belakang tabir pimpinan PAS. Jangan kita (ahli) merasa ‘lekeh’ parti kita ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengingatkan ahli parti agar bekerja dengan bersungguh kerana urusan kemenangan itu adalah kehendak Allah SWT.

Justeru, katanya PAS Terengganu pernah menang pilihan raya sebanyak dua kali memerintah negeri pada tahun 1959 dan 1999 yang lalu.

“Yang perlu bagi kita bekerja supaya kita (PAS) boleh memerintah negara. Menang kalah itu kerja Tuhan. Jangan lintas kerja Tuhan. Orang buat kajian ini kadang-kala hendak tunjuk lebih pandai dari Tuhan.

“Negeri Terengganu sudah menang dua kali. Tahun 1959, Terengganu negeri yang pertama menang PAS selepas itu baru Kelantan menang. Tahun 1961, kita (PAS) jatuh.

“Tahun 1999, kita (PAS) boleh ambil balik dan kita paling banyak buat perkara (perubahan) dalam masa empat tahun, walau pun kita (PAS) memerintah empat tahun apa yang tidak boleh dibuat oleh Barisan Nasional dalam masa 40 atau 50 tahun memerintah.

“Ini menunjukkan tidak mustahil, Allah Ta’ala mengajar kita (manusia) kerajaan ini tidak kekal. Allah hendak uji mana kerajaan yang baik, mana kerajaan yang jahat. Kerajaan yang mana kita ikut, yang mana kita berjuang dan yang mana kita tegakkan.

“Tanggungjawab kita bekerja, berjuang dan yang memberi kemenangan itu adalah Allah Ta’ala bila tiba masanya,” jelas Dato’ Seri Abdul Hadi dihadapan 1000 hadirin. 

Sebelum itu, pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat membentangkan manifesto pilihan raya PAS Terengganu serta diulas oleh Dr Mohamad Khazani Abdullah dan bekas Pegawai Kewangan kerajaan Terengganu, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar.

Selepas itu, diadakan Dailog Manifesto bersama Ahli Jawatan Kuasa Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Hadir sama Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Anuar Tahir dan Dato’ Abu Bakar Chik serta hampir semua kepimpinan PAS negeri Terengganu.