Tuesday, February 12, 2013

Nik Zawawi: Kunci calon Pas bersih

MAJLIS Syura Ulama Pas merupakan entiti tertinggi dalam Pas. Sebelum ini, suara mereka bagai tiada kedengaran namun, sejak akhir-akhir ini Majlis Syura Ulama Pas semakin lantang menyuarakan dasar perjuangan parti itu masih sama.

Ini berdasarkan dakwaan mengatakan Pas sudah jauh tersasar daripada landasan perjuangan asal apabila mengambil langkah menjalinkan kerjasama politik bersama PKR dan DAP. Kerjasama tersebut tidak lain untuk membentuk sebuah negara berkebajikan.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian dan Sinar Harian Online, RUZY ADILA IDRIS danHASLINA KAMALUDIN bagi mendapatkan kupasan terperinci peranan Majlis Syura Ulama Pas bersama setiausahanya, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Apakah peranan Majlis Syura?
Majlis Syura Ulama ditubuhkan di dalam Pas sebagai satu badan tertinggi di dalam parti. Mengikut penstrukturannya, di bawah Majlis Syura Ulama adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat. Kemudian, ia dibahagikan pula dengan tiga Dewan iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Muslimat serta Dewan Himpunan Penyokong Pas.

Majlis Syura Ulama berfungsi sebagai memastikan perjalanan parti tidak bercanggah dengan syariat dan syarak ALLAH SWT. Apa juga tindakan politik parti mesti dirujuk dengan Majlis Syura Ulama.

Adakah Majlis Syura berperanan dalam merancang polisi?
Ya. Majlis Syura Ulama juga merancang dari sudut polisinya di mana perjalanan parti mesti mengikut lunas-lunas yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama. Sebagai contoh kami mencadangkan untuk mewujudkan tahaluf siyasi (kerjasama) bersama parti politik lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang bukan Islam.

Kita putuskan polisi. Hukumnya harus. Teknikal yang lain akan dibincangkan oleh Ahli Jawatankuasa atau Dewan dalam parti. Majlis Syura juga yang akan membuat keputusan kecuali calon pilihan raya. Majlis Syura hanya akan menapis senarai nama dan ia akan dibuat secara terperinci dan teliti. Alhamdulillah, Pas bersih daripada calon lompat parti. tidak ada dalam sejarah parti, calon lompat seperti parti lain.

Berapa lama proses tapisan seseorang calon?
Ia bergantung. Kami akan meneliti nama-nama yang diberikan. Kadang kala mesyuarat dibuat dua bulan sekali, tetapi jika ada masalah, ia akan sebulan sekali.

Bagaimana Majlis Syura Ulama melihat masa depan Pas dalam politik negara ini?
Sebelum pelaksanaan tahaluf siyasi, kami telah berbincang. Kami dapati ada dua aspek yang perlu diberikan fokus iaitu politik dan dakwah Islamiah. Kami sedar tidak mudah untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN). Jadi, satu gabungan telah berlaku iaitu bergabung dengan beberapa parti. Untuk mewujudkan sebuah kerajaan bersih dan adil, perlukan penggabungan. Kita nak lawan satu parti, kita tidak mampu menjatuhkan Umno dan BN.

Alhamdulillah, walaupun Pakatan Rakyat (PR) masih baru, tetapi ternyata boleh menggugat BN bahkan berdasarkan kajian penganalisis politik juga mengatakan Kerajaan Pusat akan bertukar pada PRU13 ini. Itu adalah fokus Majlis Syura Ulama daripada sudut politik dan kami telah membuat perbincangan dari A hingga Z.

Daripada perbincangan inilah, tercetusnya hukum sama ada boleh atau tidak, wajib atau tidak berasaskan kajian yang kita buat. Jika Pas tidak bergabung dengan masyarakat majmuk, kemudian mahu melawan BN ada parti politik yang berbagai-bagai, dan terus melawan, kita tidak akan mampu menumbangkan mereka.

Sehingga akhir-akhir ini, kami mendapat lambaian daripada beberapa parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk turut sama bergabung bagi menguatkan barisan. Keduanya, dari sudut dakwah. Pas turut menekankan dakwah Islamiah di mana masyarakat bukan Islam di negara ini ditakut-takutkan oleh orang Islam sendiri.

Ini sangat mendukacitakan kerana ia berlaku daripada golongan mereka yang ada ilmu agama, adakalanya daripada mulut mufti-mufti, kadi serta orang-orang tertentu yang memegang jawatan penting dalam kerajaan yang mengatakan Islam tidak sesuai dengan masyarakat majmuk.

Negara Islam tidak boleh diwujudkan dalam masyarakat majmuk. Ia menyebabkan masyarakat bukan Islam menjadi kabur sedangkan agama Islam seolah-olah jauh dengan mereka dan menimbulkan masalah kepada mereka. Sedangkan Islam diturunkan ALLAH untuk semua.

Sewaktu Rasulullah SAW membina Islam di Madinah, ada 40 agama, 100 bangsa dan bahasa yang dituturkan dan berlaku pertelingkahan yang parah. Tetapi, apabila Islam sampai, Alhamdulillah, Islam telah menyatukan mereka. Bukan hanya Madinah, tetapi selepas Rasulullah SAW membuka semula kota Mekah selepas meninggalkan selama lapan tahun, masalah Islam boleh selesai.

Bagaimana suasana pada negara kita ketika ini?
Inilah yang dibawa Pas. Maaf cakap, ada ulama tidak bertanggungjawab dengan agama Islam sepatutnya disebut kelebihan, kewibawaan, tetapi wujud kenyataan pemimpin Islam terkemuka negara yang sangat memalukan orang Islam hingga memperlekeh agama Islam dalam satu ucapannya dan ia sangat memalukan. Ia tidak sepatut berlaku.

Pas ingin buktikan kepada masyarakat bukan Islam, dengan itu Pas laksanakan tahaluf siyasi yang mendekatkan Islam dengan masyarakat bukan Islam. Islam berjaya selesaikan masalah majmuk. Ia dibawa oleh Pas hari ini. Pas dekat dengan masyarakat Cina, Siam, India dan kaum lain. Saya tidak menafikan ada beberapa individu yang beberapa sahaja.

Ketika Pas memperkenalkan kerajaan berkebajikan. Ia boleh diterima semua kaum. Islam membela rakyat. Ia sepatutnya perlu dinyatakan oleh semua alim ulama tidak mengira parti. Ia menyedihkan menyebabkan kami berbincang dan langkah penggabungan diambil.

Realiti yang ada hari ini, orang Islam terpedaya dengan dakyah yang batil. Bahkan ada desakan daripada Kelab Penyokong Pas, termasuk Lim Guan Eng yang mengatakan ingin membina negara selepas PRU13, diwujudkan sistem Islam.  

Ketika ini, tanpa reputasi, kredibiliti Majlis Syura dipersoalkan. Sejauh manakah kebenaran apabila beberapa pemimpin  dan bekas pemimpin Pas mendakwa Pas sudah tersasar daripada dasar perjuangan asal?

Pas berada di atas landasan Islam, tidak pernah meninggalkan polisi Islam cuma cara pendekatan dan politik boleh berbeza daripada masa ke masa. Hukum boleh berbeza iaitu bukan yang dasar iaitu kerana perubahan masa dan suasana.

Contohnya, di Jordan, pilihan raya di Jordan haram, tetapi setelah suasana berubah ia menjadi wajib. Sebelum ini, Pas tidak mengalu-alukan untuk bergabung dengan masyarakat bukan Islam, tetapi selepas melihat keadaan iaitu kematangan dan kekuatan, Pas merasakan bergabung dengan parti bukan Islam dan parti-parti lain adalah satu tuntutan dalam agama kita. Itulah keistimewaan Islam.

Bagaimana respons tahaluf siyasi ini?
Walaupun usia tahaluf siyasi ini masih baru. Tetapi ia menunjukkan perkembangan positif di mana ia diterima masyarakat Islam dan bukan Islam. Saya tidak nafikan ada beberapa individu yang masih belum boleh menerimanya, tetapi setakat ini, sudah ada gesaan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab penyokong Pas serta segolongan DAP untuk dilaksanakan sistem atau negara Islam di Malaysia kerana mereka tahu keadilan dan bersih.

Kita yakin, dengan penjelasan negara Islam untuk membentuk manusia dan mengembalikan sistem keadilan dalam negara. Kita berharap tidak ada pihak yang akan mengeruhkan perkara ini kerana tidak ada satu kaedah yang boleh menyatukan semua kaum kecuali dengan Islam termasuklah 1Malaysia. Hanya ALLAH yang berjaya membentuk manusia. Negara maju seperti Amerika Syarikat tidak berjaya menyatukan orang kulit hitam dan putih, inikan pula negara belum maju seperti Malaysia.

Sejauh mana keyakinan untuk pelaksanaan perkara ini?
Lebih daripada yakin. Kerana itu, kita tidak boleh lari daripada dasar perjuangan kerana ia datang daripada al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qia.

Menjelang PRU13, bagaimana pula tugas Majlis Syura dalam PRU13 dengan penggabungan bersama DAP dan PKR?
Ia akan diteruskan. Tidak ada khilaf dan pandangan kedua. Kita sudah sebulat suara akan menentang Umno dan Barisan Nasional. Kritik adalah tanda sempurna. Apabila manusia mengkritik melihat kewibawaan Majlis Syura ulama sentiasa berada di landasan yang benar.

Apa kelebihan Majlis Syura Ulama?
Kita mempunyai hubungan baik dengan ulama daripada Mesir, Jordan, Sudan dan seluruh negara Arab hingga ke seluruh dunia termasuk negara Barat. Mereka mengatakan keistimewaan Pas kerana mempunyai Majlis Syura Ulama Pas.

Benarkah Mursyidul Am, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat didakwa berpengaruh sehingga dikatakan keputusan Pas atau Majlis Syura adalah keputusan Nik Aziz?
Mursyidul Am Pas adalah Pengerusi dan setiausahanya adalah anak saudara beliau. Mungkin yang bermata rabun sahaja yang berkata begitu. Dalam Majlis Syura Ulama, mereka sangat terbuka dan bertolak ansur. Beliau dan pemimpin yang lain bersikap terbuka dan akan bersetuju jika ada hujah yang kuat berdasarkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qia.

Apakah kesan pengguguran Nasharuddin Mat Isa ke atas penyokong Pas?
Penyokong Pas adalah yang taat kepada kepimpinan, taat kepada Majlis Syura Ulama. tidak ada menimbulkan apa-apa. Pas adalah perjuangkan dasar.  Sejarah dalam Pas, yang lari, tidak ada yang ikut. Presiden Pas, Datuk Dr Asri Muda, Datuk Nakhaie Ahmad, tiada yang akan ikut. Berbanding Umno, kalau Ku Li (Tengku Razaliegh Tengku Hamzah), jatuh Kelantan. Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dipecat, separuh lari. Inilah keistimewaan Pas.

Adakah Umno dan Pas dikatakan sebagai 'punching bag' kerana sering dilaga-lagakan?
Pertama, politik melaga-lagakan dihentikan dalam masyarakat kerana tidak memberi keuntungan. Gunakan cara yang profesional. Media dan televisyen diguna secara terbuka. Biar rakyat menilai kerana ia akan membina negara dan melahirkan pemimpin mantap dan berwibawa.

Apakah polisi dan dasar yang akan dibawa. Ramai yang cakap hakim boleh disuap, menteri boleh disogok rasuah. Jadi ada tekniknya bagaimana untuk mengelakkan perkara ini. Politik melaga-lagakan akan merugikan. Berikan peluang dalam televisyen.

Yang penting, pemerintah adalah yang benar-benar berkualiti. Cari bagaimana nak banteras, nak buat. Apakah teknik yang akan digunakan. Perdana menteri sekarang gagal dalam memerangi isu ini. Tidak guna bercakap kosong, buangkan politik laga-laga. Buangkan. zaman ini, zaman terpelajar dan orang nak menilai.

Bagaimana dasar perjuangan Pas setelah bergabung dengan Pakatan Rakyat?
Dasar dalam Islam berbalik kepada perkara yang menguntungkan Islam. Di mana ruginya Islam dalam suasana kita menerangkan Islam kepada bukan Islam. Kerana itu Pas bergabung. Paling tidak, orang bukan Islam yang tidak mahu memeluk Islam, tidak memusuhi Islam.

Tidak ada ideologi seperti hadis Rasulullah yang bermaksud 'Sesiapa yang mengkhianati orang zhimmah (bukan Islam), Aku isytihar perang'. Mana ada ideologi dunia yang sama dengan Islam. Politik Islam mesti dihayati oleh semua orang Islam yang menjaga kepentingan manusia tanpa mengira parti politik mana pun.  

Bagaimana Majlis Syura ulama melihat isu kalimah ALLAH yang sudah mencapai satu keputusan muktamad iaitu tidak boleh digunakan di dalam bible versi bahasa Melayu, namun masih ada pihak terutamanya Karpal Singh yang masih berharap isu ini diteliti semula?

Isu ini sudah selesai di dalam Pas apabila keputusan dikeluarkan Majlis Syura Ulama dan ia diterima secara sepakat. Apabila ada rayuan daripada pihak luar, bermakna mereka tidak boleh membuat apa-apa selagi tidak mendapat jawapan daripada Majlis Syura Ulama. Ini memberi gambaran bahawa itulah dia kredibiliti yang ada pada Majlis Syura Ulama.

Kita ucapkan ribuan terima kasih kerana Majlis Syura Ulama sangat terbuka. Perkara yang boleh dibincangkan, Insya-ALLAH akan dibuat. Tetapi dalam masa sama, Majlis Syura Ulama sangat tegas terutama kepada perkara yang membabitkan dasar, polisi dan umat Islam, ia tidak akan berganjak sama sekali.

Ada dua keadaan, Majlis Syura tidak akan berbincang tetapi menegaskan ia dilakukan oleh Rasulullah. Keduanya perkara biasa yang melibatkan pandangan. Isu tahaluf siyasi kami dapatkan pandangan sehingga peringkat antarabangsa yang mengikut keadaan di Malaysia. Pas berbeza dengan parti politik yang lain.

Apakah harapan Majlis Syura Ulama Pas selepas ini?
Selepas PRU13, sekiranya ditakdirkan PR dapat menguasai negara dan dapat pergi ke Putrajaya, Majlis Syura Ulama akan berperanan sebaik mungkin untuk memastikan apa yang mahu dilaksanakan ini benar-benar menjadi realiti. Pelaksanaan Islam ini menepati kehendak-kehendak yang ditetapkan di dalam al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias.

Kita yakin, cara yang akan dibuat ini mendapat sokongan besar daripada kalangan rakyat pelbagai dan kaum. Selain daripada itu, gagal yang mana tidak mendapat restu ALLAH kerana tidak berteraskan agama. Dalam firman ALLAH yang bermaksud, ALLAH akan menarik semula keamanan hasil daripada dusta itu.

Jika berbalik kepada agama, ALLAH buka pintu rahmat di pintu langit dan bumi sama dengan zaman Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Majlis Syura akan memastikan ia masih berada pada landasan dan paksi yang sama.



SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/wawancara/nik-zawawi-kunci-calon-pas-bersih-1.130242

No comments:

Post a Comment