YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 22 Feb 2013
Antara dasar penting Negara Islam, ialah memberi hak kebebasan kepada rakyat sesuai dengan fitrah manusia kerana ia merupakan keperluan hidup manusia. Semua makhluk di dunia ini mempunyai fitrahnya yang tersendiri. Islam menjamin kebebasan manusia kerana dalam Islam tiada sebarang paksaan walaupun dalam soal agama. Tidak ada paksaan ke atas manusia untuk menganut Islam walaupun telah jelas agama yang lain daripada Islam adalah agama yang tidak benar. Islam memberikan kebebasan berfikir tanpa mengganggu kepentingan orang lain, memberi kebebasan bekerja untuk keperluan manusia.

Islam melihat manusia itu dengan adil dari segi kemanusiaan dan asal-usul mereka secara menyeluruh. Iaitu daripada keturunan Adam tanpa mengira keturunan menurut kasta yang direka-reka atau warna kulit dan bangsa.

Mereka diberi hak yang sama sebagai rakyat dalam negara Islam untuk mendapat keadilan melalui kebebasan walaupun mereka tidak menganut agama Islam. Orang yang bukan Islam turut dipelihara hak peribadiriya, harta bendanya dan maruahnya dalam perkara yang tidak menjejaskan kepentingan umat Islam dan penganutnya.

Kebebasan menganut agama Islam adalah satu-satunya agama dan cara hidup yang benar. Allah menyebut perkara ini dalam al-Quran seperti firman-Nya dalam ayat 19 surah Ali Imran yang berbunyi:

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya."

Tegas Allah lagi dalam surah yang sama ayat 85 yang berbunyi:

"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi."


Islam yang sebenar adalah suatu keyakinan di dalam hati dan perkara ini tidak berlaku dengan paksaan, kerana paksaan hanyalah akan membanyakkan golongan munafik. Sebuah pemerintahan Islam tidak memaksa rakyatnya yang bukan Islam supaya menganut Islam.

Mereka dibenarkan untuk memilih agama mereka dan beramal dengan adat resam mereka. Mereka juga dibenarkan mengamalkan peraturan-peraturan yang berhubung dengan kekeluargaan seperti nikah kahwin, makan-minum dan Iain-lain selagi tidak mengganggu kepentingan umum.

Sejarah telah membuktikan bahawa orang yang bukan Islam bebas beragama ketika Islam memerintah dan berkuasa pada zaman kegemilangannya. Peperangan berlaku pada awal penaklukan kerana Islam ditentang hebat dengan kekerasan bersenjata dan kebebasan dakwahnya diganggu-gugat oleh pihak musuh.

Selepas musuh berjaya dikalahkan, negeri-negeri yang bukan Islam dibebaskan daripada kerajaan yang zalim sebelumnya. Rakyatnya yang ada di dalam negara tidak dipaksa menganut Islam, harta benda mereka tidak dirampas, gereja-gereja tidak dirobohkan, cara hidup mereka tidak diganggu, bahkan mereka dilayan dengan adil, lebih baik daripada pemerintah yang sebangsa dengan mereka.

Tidak ada sebarang paksaan walaupun pada masa itu kekuatan bala tentera boleh digunakan untuk kekerasan dan paksaan. Al-Quran, hadis-hadis Rasulullah SAW dan Para Sahabat yang memerintah pada masa itu sentiasa berpesan dalam perkara ini. Perkara ini tidak berlaku apabila orang bukan Islam menguasai mana-mana negeri di dunia ini. Hakikat ini disedari oleh orang yang mengkaji sejarahnya dengan jujur, penuh kesedaran, beretika dan berdisiplin.

Kebebasan Nasihat

Islam meletakkan nasihat sebagai perkara penting dan menjadi kewajipan semua orang dalam negara Islam. Nasihat mempunyai kaitan yang erat dengan ajaran Islam sehingga Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Agama itu nasihat, para sahabat bertanya, untuk siapa? Rasulullah SAW menjawab: Bagi Allah, bagi Rasul-Nya, bagi kitab-Nya, bagi pemimpin-pemimpin orang Islam dan orang ramai dalam kalangan mereka."

Setiap khalifah Islam dalam kalangan khalifah-khalifah ar-Rasyidin yang dilantik sentiasa memberi nasihat dan menerima nasihat. Kebiasaan nasihat menasihati sering dilaksanakan sehingga tiap-tiap orang khalifah menyebut perkara itu dalam ucapan sulung mereka apabila memegang teraju pemerintahan Islam.

Abu Bakar As Siddiq pernah menegaskan dalam ucapan sulungnya, "Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih menjadi ketua kamu, pada hal aku bukanlah orang yang paling baik dalam kalangan kamu, oleh itu sekiranya aku betul, maka tolonglah aku, dan sekiranya aku terpesong, maka perbetulkanlah aku."

Sementara Umar bin al-Khattab pula pernah menegaskan, "Apabila kamu nampak aku melakukan penyelewengan, maka perbetulkanlah aku."

Mereka tidak memarahi orang yang menegur dan memberi nasihat, malah mereka bersedia untuk mendengar nasihat walaupun daripada seorang rakyat biasa yang dhaif. Mereka tidak sombong diri apabila nasihat itu tidak menepati kebenaran, sebaliknya mereka mengemukakan cara Islam yang menjadi amalan kepada orang lain.

Kebebasan nasihat ini boleh menjalinkan hubungan yang erat antara rakyat dengan pemimpin yang menjadi salah satu daripada punca kekuatan negara.

Hanya mereka yang zalim tidak membenarkan nasihat, tidak bersedia menerima nasihat dan melakukan tekanan kepada orang yang memberi nasihat. Apabila kebebasan menyuarakan nasihat dan pandangan yang baik dibelenggu, negara akan dilanda oleh kelemahan-kelemahan yang banyak.

Pemimpinnya boleh bertindak sewenang-wenangnya pada hal perkara ini bercanggah dengan ajaran Islam. Islam tidak pernah membenarkan pemimpinnya berlagak menjadi tuan kerana mereka sebenarnya adalah hamba yang dibebankan kepadanya amanah Allah untuk menegakkan keadilan Allah kepada seluruh negara.

Kaedah-Kaedah Kebebasan

Terdapat beberapa kaedah kebebasan yang dapat diamalkan di dalam negara Islam. Antara kaedah-kaedah itu ialah:

Kebebasan dalam negara Islam itu menjadi sebahagian daripada ajaran Islam. la dibina atas dasar kewajipan mematuhi perintah agama, bukannya mengikut kemahuan hati.

Pemerintah Islam mesti sentiasa memberi perhatian kepada rakyat dalam setiap tindakan. Rakyat pula mestilah mentaati pemimpin secara mutlak selagi ia taat kepada ajaran Islam.

Kebebasan itu hendaklah seiring dengan ajaran Islam dan bukannya mengikut kemahuan. Ia mestilah dalam batas-batas sempadan ajaran Islam sama ada dari segi halal dan haram atau dari segi membawa kebaikan dan menolak keburukan. Semua ini perlu supaya kebebasan itu tidak menjadi hanyut atau disalahgunakan.

Negara hendaklah memberi galakan supaya peluang kebebasan itu direbut oleh semua pihak. Bermakna bukan dirasai oleh pihak pemimpin tetapi juga oleh pihak rakyat, upaya perkara-perkara yang membina dan membawa kebaikan dapat berkembang dan sentiasa tumbuh dengan baik dari semasa ke semasa.

Kepimpinan negara hendaklah bersifat sabar dalam menghadapi karenah rakyat yang pelbagai. Kemungkinan ada orang yang tidak beradab dan memberi pandangan dengan cara yang tidak bersopan dan kadang-kadang memberi pandangan yang tidak betul.

Kebebasan pula tidak boleh disalahgunakan sehingga menimbulkan perpecahan, tindas menindas dan tipu menipu dalam masyarakat. Islam mewajibkan ketaatan kepada pemerintah dan bersabardi atas kezaliman selagi tidak melakukan kufur yang nyata, dan mudarat yang lebih besar.
Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/16925-konsep-kebebasan-pada-kaca-mata-islam

http://blog.tarbawi.my