Friday, February 15, 2013

Sampaikan Islam dengan perdekatan berbeza





KUALA TERENGGANU: Islam membuka ruang yang lebih luas dengan pendekatan dakwah yang berbeza-beza mengikut sasaran kumpalan tertentu.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata Islam mesti disampaikan semua orang mengikut cara serta pendekatan yang berbeza.

Katanya, medan dakwah ini sangat luas daripada masyarakat asli hingga kepada pembesar-pembesar serta tokoh-tokoh dalam negara yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama yang berlainan.

“Islam juga membuka ruang yang lebih luas. Islam mesti disampaikan kepada golongan ‘Islah’ yang barang kali mereka kurang memahami Islam.

“Ada orang yang memperjuangkan Islam semangat pada namanya sahaja tapi mereka tidak minat untuk bekerja. Ada orang dia suka ‘berapi-api’ di kedai kopi tapi dalam kerja dia terkebelakang. Islam mengambil pendekatan pada golongan ini.

“Ada orang, dia bercakap berapi-rapi tetapi sesama sendiri dan bila berhadapan dengan musuh dia takut. Islam ada cara dan pendekatan yang perlu diambil untuk mendekati kumpulan ini. Ada di kalangan umat Islam yang kuat bekerja dan bersemangat tetapi kadang-kala dia ini lemah dari sudut beribadah dan mendampingi Allah SWT.

“Ada umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, kuat berjuang tetapi (solat) Subuh tidak sembahyang. Ada pula di antara umat Islam ini yang tidak faham perjuangan Islam dan mereka menentang perjuangan Islam.

“Ada juga, umat Islam yang berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak, soal parti politik diketepikan. PAS atau Umno tidak dipedulikan dan yang dia kira dia dengan keluarga dia sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Institut Itqanul Muluk atau Pusat Kajian dan Pengajian Strategi Pembangunan Terengganu, di Km 14 Kampung Tok Jiring, dekat sini, semalam. (Gambar atas)

Nik Zawawi menjelaskan, situasi tersebut bukan sahaja baru berlaku di zaman ini tetapi sejarah telah berlaku di zaman Rasulullah SAW yang diukirkan oleh Allah Ta’ala dalam beberapa surah al-Quran seperti dalam surah at-Taubah.

Katanya, Islam meletakkan cara pendekatan yang berbeza-beza antara satu sama lain mengikut tahap serta kemampuan kumpulan sasaran tersebut.

“Inilah pendekatan yang diambil oleh Rasulullah dan apa yang hendak dibentuk melalui Institut Itqanul Muluk iaitu untuk menyampaikan mesej Islam ini tepat sebagaimana yang disusun atur dalam agama," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

“Pendekatan dakwah yang sangat berbeza antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Pendekatan dakwah yang berbeza antara orang Islam dengan orang bukan Islam. Allah Ta’ala membuka kepada kita medan dakwah yang sangat luas dan hampir kita sampai kepada sasaran dakwah yang ada dalam negara,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Eksekutif Institut Itqanul Muluk, Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Ketua Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

No comments:

Post a Comment