Post Pic
 
KUALA LUMPUR: Pemimpin PAS menafikan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentang semalam tidak mengangkat martabat Melayu-Islam sebaliknya menegaskan ia meletakkan Islam sebagai keutamaan dalam menjamin rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
Selain itu, jelas Setiausaha Majlis Syura Ulama Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh, sekiranya manifesto Pakatan untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mengetepikan kepentingan Islam sudah pasti parti itu tidak menyatakan persetujuan.
 
Manifesto Pakatan mendaulatkan Islam
 
Jelas beliau, parti paling kuat memperjuangkan Islam di Malaysia adalah PAS dan ia akan sentiasa menjaga kepentingan agama itu, bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain.
 
"Di Malaysia parti yang paling kuat memperjuangkan Islam adalah PAS, kita ada Majlis Syura Ulama dan kita sentiasa menjaga kepentingan Islam, bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain kerana bila laksanakan Islam semua bangsa peroleh keuntungan.
 
"Kita tidak pernah ketepikan (bangsa lain), Islam agama yang sangat adil...perjuangan PAS ialah untuk menegakkan Islam maka semua kena faham Islam akan membela semua kaum dan menjaga kebajikan mereka," katanya kepada Antarapos.
 
Nik Muhammad Zawawi berkata demikian mengulas dakwaan Presiden JATI Datuk Dr Hasan Ali yang menyifatkan manifesto itu gagal mengangkat martabat Melayu dan Islam di negara ini.
 
Beliau mendakwa manifesto 35 halaman itu merupakan satu pendekatan tersembunyi untuk menukar imej PAS yang sebelum ini tegak dengan Islam dan kemelayuannya supaya menerima hakikat “Malaysian Malaysia”, “sama rata” dan “sama rasa”.
 
Hasan selain itu berkata janji yang ditawarkan Pakatan Rakyat mengenepikan pembangunan modal insan yang dicanang PAS justeru bakal melahirkan golongan yang menjulang sifat materialistik serta menonjolkan sifat keangkuhan dan kesombongan.
 
"Akhirnya segelintir rakyat mungkin boleh mencapai kelebihan material itu dengan menidakkan sebahagian besar masyarakat yang merupakan kelompok majoriti (Melayu) yang tidak mempunyai persediaan untuk sama-sama merebut peluang material yang ada di hadapan mereka," kata bekas pemimpin PAS ini.
 
Tawaran Pakatan untuk semua lapisan masyarakat
 
Tambah Nik Muhammad Zawawi, manifesto bertemakan "Pakatan Harapan Rakyat" itu berpegang kepada prinsip Islam dan tawaran-tawaran dikemukakan membawa kepada perubahan yang lebih baik untuk negara.
 
"Jadi apa yang didedahkan dalam manifesto menjurus ke arah itu (Islam) untuk kesejahteraan semua kaum yang ada. Kalau Hasan Ali kata perjuang Melayu dan ada pihak yang perjuangkan kaum lain ia satu perkara yang tidak baik dalam masyarakat majmuk.
 
"Islam memberi jaminan kepada semua," katanya.
 
Sementara itu Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof berkata manifesto yang melibatkan PAS-PKR-DAP itu meletakkan Islam sebagai agama yang mesti didaulatkan.
 
"Di mana kita mempunyai asas yang sangat jelas iaitu letakkan Islam seperti mana diletakkan dalam manifesto sebagai agama yang mesti didaulatkan.
 
"Banyak perkara diutamakan dalam manifesto itu cuma perincian sahaja yang perlu diperjelaskan nanti. Jelas manifesto itu adalah untuk membawa perubahan kepada masyarakat Malaysia yang hanyut dengan pelbagai budaya yang dibawa Umno," jawabnya ringkas.