KITA renungi bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan
Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hasan al-Banna di Mesir. Dalam
keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu yang amat menyedihkan, ditambah
pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang
berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk
ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam
daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun,
mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan
hina.
Tambahan pula, gerakan Kristian yang menular di kalangan
umat Islam menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk
melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya
adalah untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat
jihad, dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta
dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula
dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran
mereka untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam
masyarakat.
Jika kita melihat antara prinsip perubahan yang
diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah "As-Solah Qobla Al-Islah",
iaitu memperbaiki diri sebelum memperbaiki masyarakat. Mereka yang mampu
memperbaiki dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu memperbaiki
masyarakat di sekelilingnya. Untuk memperbaiki ummah kata Naib Mursyid
Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum'ah Amin, seseorang perlu menjadi abid
dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah subhanahu wataala dengan
membanyakkan amal yang medekatkan diri dengan Allah subhanahu wataala.
"Jadilah kamu hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah)," pesan Syeikh Jum'ah Amin.
Ikhwan
Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik
ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu wataala dengan membaca
al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail
minimum dua rakaat, berzikir secara ma'tsur supaya lidah basah dengan
mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wataala.
Mengambil kata-kata hikmah Saiyidina Abu Bakar radiallahuanhu kepada
tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu
"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak
dekat dengan Allah."
Usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hassan
Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji
cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji
pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan
pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut
membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah
yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan
oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.
Kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohammed Morsi yang
mewakili Ikhwan Muslimin menjadi topik yang hangat di bicarakan seluruh
dunia termasuk gerakan Islam di Malaysia. Kemenangan yang di peroleh
Ikhwan Muslimin setelah 83 tahun memperjuangkannya perlu menjadi
pencetus semangat buat seluruh gerakan Islam dunia yang lainnya.
Disebalik kemenangan Ikhwan Muslimin, kita melihat
kemenangan itu bukan di raih hanya disebabkan kepakaran strategi politik
semata-mata, tetapi pimpinan serta ahlinya sangat pemurah masanya
dengan Allah subhanahu wataala dalam perjuangan mereka. Melihat kepada
anggota Majlis Parlimen Mesir sekarang terhimpun di dalamnya, lebih dari
140 orang hafal al-Quran. Lebih dari 100 orang hafal dan menguasai
10.000 hadis. Lebih dari 180 orang hafal separuh al-Quran. Lebih dari
170 orang bergelar doktor pakar dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu.
Lebih dari 50 orang tidak memiliki kereta peribadi. Lebih dari 350 orang
adalah bekas tahanan politik berkisar 6-10 tahun penjara dan 4 orang
wanita yang bertudung kemas.
Jadi, apakah kekuatan atau teknologi yang Ikhwan Muslimin
gunakan? Coretan sejarah Salahudin al-Ayubi juga memilih mereka yang
bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur
musuh? Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, " Bagaimana mata ini
dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia
akan kembali di antara dua tempat.." Teknologi ini telah wujud 1400
tahun yang lalu dan telah pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan
superhuman yang mantap dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan
ialah qiamullail.
Tahniah saya ucapkan di atas kemenangan calon Ikhwan
Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir . Semoga
kemenangan Islam akan hadir di bumi Malaysia dengan kemenangan Parti
Islam pada PRU-13 akan datang.
"Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua
hambanya, tetapi Allah tidak memberi agama ini (untuk diperjuangkan)
kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya."
MOHD YUSOF HADHARI
Mantan Ketua Penerangan GAMIS Malaysia
No comments:
Post a Comment