Friday, June 15, 2012

Kehilangan besar buat rakyat Kelantan



KOTA BHARU: Kematian bekas anggota jawatankuasa Majlis Syuara Ulama PAS Pusat, Datuk Ustaz Yahya Othman petang tadi diterima dengan berita berbaul sedih seluruh rakyat Kelantan.
Beliau meninggal dunia di rumahnya di Banggol Judah, Labok akibat sakit tua. Beberapa tahun lalu Allayarham diserang angin ahmar menyebabkan pergerakannya terbatas.
Biar pun dalam keadaan keuzuran bagaimanapun beliau berjaya menyiapkan sebuah pusat latihan yang terletak di hadapan rumahnya, kini menjadi tumpuan banyak pihak.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai bapa tarbiyah PAS merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri ketika PAS menang pada 1990. Beliau menang di Dun Banggol Judah.
Berita kematiannya juga memenuhi ruang facebook di kalangan penyokong PAS.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya di atas kematian Ustaz Yahya.
“Saya dikhabarkan berita kematian alfadhil Ustaz Yahya Othman sebentar tadi. Innalillahi wainna ilaihi rajiun,” katanya.
Menurutnya Allahyarham seorang yang banyak berjasa kepada perjuangan mendaulatkan Islam terutamanya dalam aspek pentarbiahan.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, rakyat negara ini kehilangan seorang murabbi yang disegani dan sukar dicari ganti.
Katanya, Allahyarham bukan sahaja dikenali di negara ini sebaliknya mempunyai ramai sahabat di seluruh dunia terutamanya gerakan Islam sedunia.
"Tuan Guru Presiden pun ada menziarahi Allahyarham pada bulan lepas ketika menghadiri satu program anjuran PAS Machang di Madu," ujarnya yang juga anggota Exco kerajaan negeri.
Ketua Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak juga terkejut mendengar berita kematian Allahyarham yang juga merupakan gurunya.
“Allahyarham seorang yang istiqomah dan tegas dalam proses pentarbiahan ahli-ahli PAS, sebab itulah beliau menjadi penggerak utama program tarbiah dan seminar kepemimpinan yang diadakan di seluruh negara,” ujarnya.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10988-kehilangan-besar-buat-rakyat-kelantan

No comments:

Post a Comment