TERAS merumuskan
jalan untuk membawa perubahan di Putrajaya berliku tetapi tidak mustahil
asalkan semua pencinta keadilan dan kebenaran bergabung tanpa sebarang niat
lain melainkan untuk membangun masyarakat dan Negara yang berasaskan keredhaan
Allah.
Menjadi
suatu keanehan jika seorang Muslim tidak beriman kepada ketetapan Allah bahawa
Allah memberi kuasa kepada siapa yang Ia kehendaki dan merampas kuasa dari
siapa yang Ia kehendaki. Namun semua
ketetapan juga akan menuntut kepada syarat hatta untuk memenangkan Agama Allah
sekalipun.
Benar
peringatan oleh Datuk Seri Tuan Guru YB Hj Hadi Awang dalam amanatnya di Perhimpunan
Hijau ke Putrajaya semalam. Pra syarat
utama adalah mengukuhkan hubungan dengan Allah.
Dengan penuh
kesedaran bahawa segalanya akan ditentukan oleh Allah S.W.T. Bagi setiap
pejuang AgamaNya yang mengguna medan politik berdasarkan sokongan rakyat , syarat
hati yang ikhlas kepada Allah akan mampu memenangi hati rakyat yang mahukan
kemenangan Islam.
Adapun persoalan
strategi dan tektik , TERAS berpandangan sememangnya pertolongan Allah
memerlukan persiapan dan kesungguhan dalam perjuangan. Inilah
intisari dari tuntutan Allah agar kaum Muslimin mempersiapkan diri dengan
kekuatan apa sahaja bila berhadapan dengan musuh.
TERAS mengira
bahawa hampir 100,000 orang dari seluruh pelusuk Negara yang membanjiri Pehimpunan
Hijau Ke Putrajaya di Stadium Alor Star Kedah semalam adalah digerakkan oleh
hati-hati yang jernih untuk matlamat memenangkan Islam.
Tidak ada
upah dan elaun , tidak ada kemudahan kenderaaan , tidak ada saguhati , tidak
ada kemudahan penginapan , tidak ada kerahan agensi kerajaan untuk memenuhi
stadium itu.
Menggagahi
hujan yang lebat pada petangnya , berhimpit-himpit dipadang dan tangga stadium
sehingga tidak ada ruang sedikitpun untuk bergerak , tekun dan sabar serta
bersemangat untuk solat berjamaah bersama pemimpin mereka , tekun mendengar
ucapan sejumlah pemimpin dan penyokong kebenaran, menumpu perhatian kepada doa
Mursyidul Am mereka ,,semua ini adalah ciri ke arah menyiapkan syarat
kemenangan yang perlu dikekal dan dijadikan gelombang.
Inilah
perbezaan dengan mereka yang berhimpun dengan cara pacingan wang , kemudahan
pengangkutan yang ditanggung semua, acara hiburan yang mengelorakan nafsu ,
elaun poket yang dibayar tunai , peruntukan wang kerajaan yang dibelanja tetapi
berselindung disebalik justifikasi program agensi kerajaan.
Perbezaan
inilah yang menggerunkan pihak yang melihat PRU 13 sebagai “Ibu segala
Pilihanraya”.
Kami
berpendapat bahawa sementara sangat sukar untuk memperolehi kemenangan dalam
kepungan sebuah sistem yang sudah dirangka sehingga tidak membenarkan ruang
yang samarata untuk berhujah dan bersaing dalam ruang demokrasi yang adil, namun
tidak mustahil Tsunami bakal berulang lagi.
Semangat
dari kecintaaan kepada kebenaran Islam yang jitu walaupun dalam sekatan yang
dianggap maha mencabar inilah yang akan menentukan kemenangan hakiki. Ia
perkara kecil jika Allah sudah memutuskan bahawa bila kebenaran tiba ,
kebatilan pasti akan hancur.
Antara
harapan dan yakin kepada Allah dan kerja
keras inilah yang akan menjadikan perjuangan ini dirasai nikmatnya. Bagi mereka
yang berpandangan dan beranggapan para pejuang Islam itu akan lelah dan kecewa
sebenarnya akan jauh lebih kecewa kerana perjuangan Islam tidak pernah mati.
Diperlaku sezalim mana sekalipun nafas perjuangan Islam tetap terus disambung.
Ikhwan
Muslimin di Mesir sudah melalui babak yang jauh lebih pahit. Kini ruang terbuka
dan dengan penuh istiqamah mereka meniti kemenangan sedikit demi sedikit dan
selangkah demi selangkah.
Kami menyeru
agar rakyat bersiap menempa zaman dan sejarah baru dengan gagah dan penuh
bermaruah. Saatnya Putrajaya berada ditangan rakyat sudah tiba.
Mohd Azmi
Abdul Hamid
Presiden
TERAS
No comments:
Post a Comment