Sunday, June 24, 2012

Gelombang Hijau landa Perlis




(Rakyat Perlis berikrar untuk menangkan Islam di perhimpunan hijau)
ARAU:  Gelombang Hijau ke Putrajaya meneruskan momentumnya dengan himpunan yang diadakan di peringkat negeri Perlis pada 22 Jun lalu di Markas PAS Kampung Paya di DUN Santan dekat sini.

Meskipun buat julung kalinya, program besar seumpama ini diadakan di luar premis induk PAS Perlis samada Kompleks PAS Perlis di Kangar mahupun Markas Tarbiah PAS Perlis di Jejawi, sambutan orang-ramai amat membanggakan dengan lebih 5000 orang hadir membanjiri dataran di hadapan markas  PAS tersebut.

Sambutan hangat ini diceriakan lagi dengan kehadiran begitu ramai ahli dan penyokong Umno tempatan dan luar kawasan yang sama-sama ingin mendengar ucapan dari pimpinan khususnya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan undangan khas, Tamrin Ghafar.

Program himpunan dimulakan dengan majlis solat hajat dan munajat yang dipimpin oleh Dewan Ulama PAS Perlis.

Kemudiannya, program kemuncak himpunan dimulakan dengan para hadirin menyanyikan lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS dengan diikuti bacaan surah an-Nasr oleh qari jemputan yang mambacanya dalam tiga lagu tarannum.

Pengarah Program, Mohd Anuar Tahir memulakan ucapan diikuti ucapan dari Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Perlis, Khoo Yang Chong; Timbalan Ketua Muslimat PAS Perlis, Haton Osman; Timbalan Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Azmir Azizan dan Ketua Ulama PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob.
(Ustaz Hashim Jasin berucap dengan diperhatikan Mohamad Sabu dan Tamrin)

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin. Beliau menggambarkan himpunan yang diadakan pada malam tersebut adalah suatu petanda yang perlu diambil pengajaran oleh Umno/BN yang mana ianya adalah petanda kepada apa akan bakal berlaku dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.

Program himpunan ini kemudiannya diteruskan dengan majlis bacaan ikrar dan baiah oleh para peserta himpunan dengan dipimpin oleh Setiausaha Perhubungan PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman.
Semakin ramai orang Umno
Seterusnya Tamrin, tampil menyampaikan ucapan dengan memulakannnya dengan laungan 'takbir'. Ucapannya yang bersahaja menggunakan loghat utara jelas menarik minat orang ramai.

"Saya baru sama-sama dengan tuan-tuan dan Pakatan Rakyat dalam tiga bulan. Saya lihat di manapun saya pergi sambutan rakyat amat baik. Yang menariknya semakin ramai orang-orang Umno yang hadir ke program kita, jangan padang sepi lagi dengan kehadiran mereka.
(Antara orang ramia yang hadir dalam perhimpunan Hijau di Perlis)

"Inilah berkat pengorbanan dan kesabaran pimpinan PAS yang berjuang sejak dahulu lagi, ditohmah, dicaci dan dihina. Saya pun dulu ikut sama. Tapi siapa sangka hari ini, ramai orang termasuk pimpinan Umno telah meninggalkan Umno dan bersama PAS," katanya.
Tawan Johor

Majlis diakhiri dengan ucapan oleh Timbalan Presiden PAS yang menggambarkan bahawa gelombang kebangkitan rakyat yang menyokong PAS/Pakatan Rakyat kini semakin memuncak di seluruh negara.

"PAS dan pakatan Rakyat sudah diterima rakyat bukan sahaja di negeri Perlis ini, tapi sekarang ni Pakatan Rakyat sedang berusaha untuk menawan negeri Johor.

"Dulu Tun Daim Zainuddin kata negeri yang selamat untuk BN hanyalah tiga iaitu Johor, Pahang dan Melaka, tapi dengan pergolakan yang berlaku, hari ini kita lihat Pakatan Rakyta juga mampu mengambil-alih pemerintahan di Johor,"katanya.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/11205-gelombang-hijau-landa-perlis

No comments:

Post a Comment