Daripada Ibn Abbas r.a.: Bahawasanya ketika mengutuskan Mu’az bin Jabal r.a. ke Yaman, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya
engkau akan mendatangi suatu kaum yang memiliki pengetahuan tentang
al-Kitab. Maka hendaklah, yang pertama engkau seru kepada mereka agar
beribadah kepada Allah. Apabila mereka telah mengenal Allah, maka
beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka
solat lima waktu sehari semalam."
Apabila
mereka telah mengerjakannya, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa
Allah telah mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil daripada
orang-orang kaya di antara mereka dan dikembalikan kepada orang-orang
miskin di antara mereka. Apabila mereka telah mentaatinya, maka ambillah
zakat daripada mereka dan hindarilah harta benda yang paling dicintai
oleh mereka." [Riwayat Bukhari dan Muslim]
SENI DAKWAH:
1.
Secara kuantitatif, bilangan golongan intelek (bijak pandai)
dibandingkan dengan bilangan golongan awam dalam masyarakat, relatifnya
adalah kecil. Namun, secara kualitatif, peranan dan pengaruh mereka
dalam masyarakat sangat besar. Apabila mereka menyertai dakwah, maka hal
ini boleh memberikan impak besar kepada kemajuan dakwah.
Rasulullah
SAW telah mengambil beberapa langkah ketika melancarkan dakwah ke
negeri Yaman yang didominasikan oleh golongan ahli kitab yang memiliki
kefahaman yang cukup luas tentang ajaran agama yang pernah dibawa oleh
para nabi sebelum Nabi Muhammad SAW.
2.
Apabila golongan intelek menerima dakwah Islam, bererti ia satu
kemenangan besar bagi kaum muslimin. Kerana itu Rasulullah SAW memilih
seorang dai yang paling tepat untuk memikul tugas berat ini. Pilihan
baginda jatuh kepada Mu’az bin Jabal. Dalam proses pemilihan dai ini,
Rasulullah SAW telah mengambil langkah-langkah berikut:
- Baginda
melakukan pemerhatian intensif terhadap Mu’az bin Jabal. Baginda sering
berinteraksi dengannya, mengajarnya dan mengungkapkan pelbagai hal
tentang dirinya. Baginda pernah bersabda tentang diri Mu’az: "Orang yang paling mengerti halal dan haram di antara umatku adalah Mu’az bin Jabal." Dikesempatan yang lain, baginda bersabda mengenainya: "Mu’az bin Jabal akan menjadi pemimpin ulama di Hari Kiamat."
- Baginda
melakukan ujian untuk menentukan kelayakan dan kesesuaian, sebelum
memandatkan Mu’az sebagai utusan atau dai baginda ke Yaman. Baginda
bertanya kepadanya: Dengan apakah engkau memutuskan hukum wahai Mu’az? Mu’az menjawab: Dengan kitab Allah. Baginda bertanya lagi: Jika engkau tidak mendapatkannya dalam kitab Allah? Mu’az menjawab: Aku akan memutuskan hukum dengan sunnah Rasul-Nya. Baginda terus bertanya: Jika engkau tidak mendapatkannya dalam sunnah Rasul-Nya? Mu’az menjawab: Aku akan berijtihad dengan menggunakan kemampuan pemikiranku dan aku tidak akan melampaui batas. Maka berseri-serilah wajah Rasulullah SAW, seraya bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufik kepada utusan Rasulullah menuju apa yang diredhai Rasulullah.
(Udhama’ul Islam: 110)
3. Di
samping melakukan pemerhatian dan ujian, baginda juga mengambil
langkah-langkah untuk membangunkan kepercayaan (ketsiqahan) di pihak
sasaran dakwah (golongan intelek di kalangan ahli kitab) kepada Mu’az
sebagai seorang dai. Di antara langkah baginda:
- Menulis surat kepada penduduk Yaman yang menerangkan tentang diri dai utusan baginda. Disebutkan dalam riwayat bahawa di dalam surat itu Rasulullah SAW menyatakan: Sesungguhnya aku telah utuskan kepada kamu orang yang terbaik dari keluargaku. Surat baginda ini sudah tentu dapat memberikan pengaruh besar dan membangunkan kepercayaan yang tinggi pada diri penduduk Yaman terhadap Mu’az bin Jabal. Pertama, kerana Mu’az adalah orang terbaik. Kedua, kerana Mu’az dianggap bahagian daripada ahlu bait Nabi SAW. Apa yang dapat difahami di sini, seorang dai harus dapat membangunkan kepercayaan sasaran dakwah kepada diri dai, terutama bagi sasaran dakwah yang berupa golongan intelek.
- Memberi pesanan secara khusus agar memelihara kualiti diri dengan sentiasa bertakwa kepada Allah, memperbanyak zikir dan bertaubat kepada-Nya apabila terlanjur melakukan sesuatu kesalahan. Atha’ bin Yasar menyatakan bahawa Nabi SAW mengutuskan Mu’az ke Yaman, lalu Mu’az berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah aku wasiat. Baginda bersabda: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dengan semaksima kemampuan. Sebutlah nama Allah Azza wa Jalla setiap kali engkau melintasi batu-batuan dan pohon-pohonan. Apabila engkau melakukan kesalahan, maka iringilah dengan taubat - kesalahan yang tersembunyi dengan taubat yang tersembunyi, kesalahan yang terang-terangan dengan taubat yang terang-terangan. (Ash-Shahihah : 3662)
Ketika
berhadapan dengan golongan intelek, seringkali dai tertanya-tanya –
apakah isi dakwah yang pertama untuk didakwahkan kepada mereka?.
Berkaitan hal ini, Rasulullah SAW berpesan kepada Mu’az: Maka hendaklah,
yang pertama engkau seru kepada mereka agar beribadah kepada Allah.
Pesanan baginda kepada Mu’az agar mengawali isi dakwah dengan seruan
untuk beribadah kepada Allah, memiliki beberapa nilai da’awiyah, iaitu:
a.
Dai disarankan memulakan dakwah dengan hal-hal yang dipersetujui oleh
sasaran dakwah. Ketika berhadapan dengan golongan intelek, hendaklah dai
memulai dakwahnya dengan hal-hal yang disepakati. Dalam konteks ahli
kitab, beribadah kepada Allah Taala adalah ajaran yang telah diakui oleh
semua ahli kitab dan pengikut mereka. Allah Taala berfirman:
"Katakanlah:
Wahai ahli kitab marilah berpegang kepada suatu kalimat (ketetapan)
yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita
sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun
dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai
tuhan selain Allah."
(Ali Imran : 64)
Maka,
membatasi isi dakwah dengan hal-hal yang disepakati akan membawa dai
kepada kejayaan dakwah. Sasaran dakwah akan terdorong untuk menerima
dakwah dengan baik, InsyaAllah.
b.
Dai disarankan memulakan dakwah dengan perkara yang penting dan
prinsip, yakni beribadah kepada Allah Taala sebagai tujuan asasi
penciptaan jin dan manusia. Firman Allah Taala:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku." (Adz-Dzariyat: 56)
c.
Dai disarankan memulakan dakwah dengan perkara yang pokok dan usul
sebelum perkara yang cabang, ranting dan furuk. Ini kerana, lazimnya,
golongan intelek memiliki kecenderungan untuk terlebih dahulu melihat
perkara-perkara yang pokok, usul dan komprenhensif sebelum
perkara-perkara bersifat detail, cabang dan furuk. Kerana itu Rasulullah
SAW memerintahkan Mu’az agar menyeru kepada konsep ibadah dalam Islam
yakni beribadah kepada Allah sahaja. Setelah itu, barulah dijelaskan
bentuk-bentuk ibadah lain yang perlu mereka kerjakan, terutama solat dan
zakat.
5. Berdakwah secara bertahap.
Segala
sesuatu harus dilakukan secara bertahap, termasuk dakwah yang
disasarkan kepada golongan intelek. Rasulullah SAW mengajarkan Mu’az
agar mengajak manusia untuk memperhambakan diri dan beribadah kepada
Allah Taala terlebih dahulu, setelah itu menyeru agar menunaikan solat
dan setelah itu menyeru pula agar membayar zakat.
a.
Secara umumnya dai perlu memelihara tahap-tahap dakwah. Dakwah perlu
bermula dengan mengajak manusia kepada syahadah. Implikasi daripada
syahadah yang benar ialah perhambaan dan peribadatan yang total kepada
Allah Taala. Setelah itu menyeru kepada bentuk-bentuk ibadah yang khusus
– seperti solat dan zakat. Dari sudut urutan keutamaan, syahadah lebih
utama daripada solat, manakala solat lebih utama daripada zakat. Ini
kerana syahadah adalah rukun Islam yang pertama, solat rukun Islam yang
kedua dan zakat rukun Islam yang ketiga. Maka dai hendaklah memelihara dakwahnya dengan mendahulukan isi-isi dakwah mengikut keutamaan yang betul.
b.
Dari sudut orientasi isi dakwah juga perlu mengikut tahap. Syahadah
atau tauhid lebih berorientasikan amalan hati, solat lebih
berorientasikan amalan anggota fizikal dan zakat pula lebih
berorientasikan amalan berkaitan harta benda. Maka dai hendaklah
menjaga dakwahnya dengan hal-hal berkaitan hati terlebih dahulu,
kemudian hal-hal berkaitan anggota fizikal dan kemudian hal-hal
berkaitan harta benda.
c.
Dari sudut kecenderungan dan kemudahan sasaran dakwah untuk menerima
dakwah juga perlu mengambilkira tahap-tahapnya. Ajakan kepada syahadah
atau tauhid lebih bersifat memahami konsep, tasawwur atau teori. Ajakan
kepada solat lebih bersifat amalan fizikal yang melibatkan anggota tubuh
badan dan ajakan kepada menunaikan zakat lebih bersifat pengorbanan
harta benda. Lazimnya manusia lebih cenderung dan mudah menerima sesuatu
secara teori, sebelum melaksanakannya dengan anggota tubuh badan.
Begitu juga, lazimnya manusia lebih mudah melaksanakan sesuatu dengan
anggota tubuh badannya, sebelum bersedia mengorbankan harta benda. Maka
dai hendaklah menjaga dakwahnya dengan mendahulukan hal-hal yang mudah
diterima oleh sasaran dakwahnya. Setelah sasaran dakwah dapat memahami
konsep-konsep yang penting, dan beriman pula dengannya, maka dai
mengemukakan kewajipan-kewajipan yang menuntut kerja-kerja fizikal dan
pengorbanan harta benda.
6. Mengelak penolakan dakwah.
Pesanan terakhir Rasulullah SAW kepada Mu’az: Maka
beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada
mereka zakat yang diambil daripada orang-orang kaya di antara mereka dan
dikembalikan kepada orang-orang miskin di antara mereka. Apabila mereka
telah menaatinya, maka ambillah zakat daripada mereka dan hindarilah
harta benda yang paling dicintai oleh mereka.
Pesanan
ini sangat penting agar dai menghindarkan diri daripada hal-hal yang
memungkinkan penolakan terhadap dakwah dan menghancurkan
keberhasilannya.
a.
Dai hendaklah berusaha menutup pintu tohmahan dan buruk sangka, yang
mungkin akan menimpanya, diakibatkan oleh salah faham terhadap isi
dakwahnya. Berdasarkan pesanan Rasulullah SAW, dapat difahami bahawa zakat
yang diwajibkan itu bukanlah bertujuan untuk memperkayakan para dai
atau pegawai-pegawai di pusat pemerintahan, tetapi bertujuan untuk
membela orang-orang miskin. Sekaligus memelihara keamanan masyarakat,
menghapuskan kedengkian dan melindung harta kekayaan orang-orang kaya
daripada sasaran kecurian dan perompakan yang mungkin akan dilakukan
oleh orang-orang miskin dan kelaparan.
b.
Dai hendaklah menghindarkan diri daripada tindakan-tindakan yang
menyakitkan hati dan perasaan sasaran dakwah setelah ia menerima dakwah
dengan baik. Kerana itu Rasulullah SAW berpesan: Apabila mereka telah mentaatinya, maka ambillah zakat daripada mereka dan hindarilah harta benda yang paling dicintai mereka.
Ini kerana mengambil harta yang paling dicintai seseorang akan
menyakitkan hati pemiliknya. Hal ini boleh menjadi benih-benih awal
penolakan dan penentangan terhadap dakwah.
7. Memetik hasil dakwah kepada golongan intelek
Dengan
taufik daripada Allah Taala, usaha yang maksima dan metod yang tepat,
menjadikan dai berhasil dalam dakwahnya. Itulah yang berlaku terhadap
projek dakwah yang digagaskan oleh Rasulullah SAW dan dilaksanakan oleh
Mu’az bin Jabal di negeri Yaman. Kita dapati, keadaan di Yaman setelah
berjalannya kerja-kerja dakwah Mu’az bin Jabal, berubah menjadi negeri
akhlak, negeri iman dan negeri hikmah.
Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):
"Telah
datang kepadamu penduduk Yaman. Mereka adalah orang-orang yang paling
lembut hatinya dan paling peka nuraninya. Iman adalah iman ahli Yaman,
hikmah adalah hikmah ahli Yaman." (Hadits Riwayat Bukhari)
Suntingan oleh: Abu Taqiyuddin Hussein
Rujukan utama:
Syarah Lengkap Arba'in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani
Sumber: HALUAN Malaysi
Syarah Lengkap Arba'in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani
No comments:
Post a Comment