Monday, September 3, 2012

Tuan Ibrahim beri cara selesaikan projek bahaya




(Selamatkan negara...Tuan Ibrahim memegang salah satu banner dalam tulisan Cina)
RAUB: Di Himpunan Hijau Raub, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan cara penyelesaian kepada rakyat untuk menyelesaikan kontroversi projek-projek berbahaya yang kini melanda negara kita.

“Untuk hentikan sianida, Lynas – satu saja caranya, kita kena hentikan BN,” demikian kata beliau di himpunan petang tadi yang dihadiri hampir 10,000 rakyat.


(Tuan Ibrahim berucap di perhimpunan)
Petang tadi, Himpunan Hijau Raub terhadap penggunaan sianida di lombong emas telah menghantar satu mesej yang jelas kepada kerajaan supaya berhenti menganggap negeri kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pusat kerosakan alam sekitar dan kesihatan.

Dalam suasana seperti berpesta dan bersemangat tinggi di padang kompleks sukan Raub, para hadirin yang berpakaian hijau menyatakan bantahan mereka terhadap syarikat perlombangan Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd yang terletak di kawasan penempatan manusia menggunakan bahan kimia berbahaya sianida yang menjejaskan kesihatan manusia.

Bantahan terhadap kilang Lynas di Gebeng, Kuantan turut kelihatan.

Mangsa utama dalam kontroversi sianida di Raub ialah penduduk Kampung Baru Bukit Koman yang mengadu pelbagai masalah kesihatan akan tetapi rintihan dan bantahan mereka sejak 2007, melalui pelbagai cara termasuk mahkamah ditolak kerajaan dan juga pengendali lombong emas tersebut.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata himpunan ini bermatlamatkan agenda untuk menyelamatkan para penduduk Pahang daripada terus dianiayai akibat kecuaian kerajaan dalam meluluskan projek berbahaya tanpa memikirkan kesan kepada penduduk dan alam sekitar.

Beliau menegaskan himpunan kali ini diketuai NGO-NGO dan tidak berasaskan kaum mahupun politik.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan ahli parlimen Raub Datuk Seri Ng Yen Yen yang turut dijemput ke himpunan ini tidak menghadirkan diri. (gambar kerusi untuk kedua-dua mereka)

Adnan sebelum ini menyifatkan isu penggunaan bahan kimia sianida di lombong emas di Bukit Koman, Raub, Pahang yang didakwa sebagai punca penyakit kulit kepada penduduk hanya merupakan propaganda pembangkang.

Beliau berkata perkara itu mempunyai kaitan dengan pihak tertentu yang gagal mendapatkan projek tersebut dan parti pembangkang iaitu DAP turut mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkifli Omar sementara itu berkata himpunan kali ini adalah untuk menunjukkan solidariti bersama penduduk Kampung Baru Bukit Koman.

Kata beliau, sepatutnya projek lombong emas tidak boleh diadakan di kawasan tempat kediaman.

“Ini kena diletakkan di kawasan industri berat. Aduan penduduk sekian lama tidak dilayan, ini adalah antara sebab perhimpunan diadakan,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Pahang, katanya, telah menjadi pusat kerosakan alam sekitar dan kesihatan dengan adanya kilang Lynas yang mengeluarkan sisa-sisa radioaktif dan Australia Gold Mining dengan penggunaan sianida.

“Ini ditambah pula dengan kematian Tasik Chini,” kata beliau, sambil menambah kesan teruk pada alam sekitar adalah faktor kebangkitan rakyat menentang kerajaan.

(Zulkifli bersama Maria Chin)
Bahan kimia sianida, kata Zulkifli sudahpun diharamkan penggunaannya di beberapa negera seperti German, Eropah, Montana, Czech Republic, Belanda dan sebagainya.

Kes bencana ekologi Baia Mare pada 2000 di Romania telah mendedahkan bagaimana sianida telah mencemari air minuman 3 juta penduduk.

Zulkifli berkata kerajaan harus berhati-hati menarik pelaburan, dan memastikan kilang-kilang berbahaya ini terletak jauh daripada kawasan kediaman dan di kawasan yang dikhaskan untuk industri berat.

“Sianida ini cepat larut. Kilang mesti menggunakan bahan kimia alternatif untuk memproses emas,” katanya.


(Antara tetamu utama yang hadir)
Selain Tuan Ibrahim dan Zulkifli, antara pemimpin Pakatan Rakyat yang turut hadir ialah Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Adun Sekinchan Ng Suee Lim, ahli parlimen Bakri Er Tech Hwa dan aktivis Bersih Maria Chin Abdullah dan Hishamuddin Rais.
Kegagalan Raub Australia Gold Mining untuk menghantar wakil seperti yang dijanjikan untuk menerima nota bantahan amat dikesali.
Akhirnya, penganjur (Jawatankuasa Bantah Sianida yang diketuai Wong Kin Hoong) menyerahkan salinan dokmen itu kepada Ketua Polis Daerah Raub Wan Mohd Samsudin Wan Osman dan mendesaknya memastikan salinan itu sampai ke meja presiden syarikat itu.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/12851-tuan-ibrahim-beri-cara-selesaikan-projek-bahaya

No comments:

Post a Comment