Monday, March 26, 2012

Sinar salah lapor kenyataan Nasrudin

Harakahdaily, 26 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 26 Mac: Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan kesal kerana akhbar Sinar Harian memotong sebahagian kenyataannya sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan pembaca berkaitan dengan Yahudi.

"Yang saya maksudkan adalah Yahudi di Israel yang terlibat menyokong rampasan kuasa dan pembunuhan di Palestin, tanpa mengira apa fahaman mereka, haram berurus niaga dengan mereka ini," jelas Nasrudin kepada Harakahdaily.

Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan di muka depan kenyataan Nasrudin yang telah dibuat beliau 19 Mac lalu dan disiarkan dalam Harakahdaily.

Namun, yang dilaporkan Sinar tidak lengkap seolah-olah beliau menyatakan berniaga dengan Yahudi tetap haram walaupun apa fahaman sekalipun.

Dalam tulisan asalnya Nasrudin menulis:

"Berurus niaga [muamalat] dengan individu Yahudi atau mana-mana pihak Yahudi yang terhad pada individu atau syarikat Sdn Bhd mereka, seperti Yahudi dari negara Eropah dan lainnya, maka pada hukum asalnya adalah harus justeru Rasulullah saw pernah berurus niaga dgn bangsa Yahudi.

"Namun urus niaga dengan Yahudi Israel hari ini, Yahudi yang membunuh Ummat Islam Palestine lalu merampas tanah Palestine dan menubuhkan negara haram Israel atas penderitaan dan kesengsaraan ummat Islam Palestine, Yahudi yang mencari dan mengaut keuntungan lalu membina kekayaan mengukuhkan kuasa dan penjajahan mereka keatas ummat Islam Palestine malah membunuh sewenangnya Ummat Islam Palestine, maka haram berurus niaga dengan mereka walau apa fahaman yang mereka anut termasuk zionis," tulis Nasrudin sebelum ini.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, tidak salah berhubung dengan Yahudi kerana ia hanya satu bangsa.

Yang salah adalah Yahudi berfahaman zionis sebagaimana yang ada di Israel sekarang ini.

Kenyataan beliau disokong oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis.

"Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi," tulis Nik Aziz.

"Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.

"Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

"Menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel," jelas MB Kelantan itu.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/9085-sinar-salah-lapor-kenyataan-nasrudin

No comments:

Post a Comment