Friday, March 23, 2012

Panah Pahang: Internet jadi media penentu ???



Fokus Panah-UBAH Pahang yang panelnya terdiri daripada pimpinan tertinggi PAS Pahang akan berbicara setiap dua minggu sekali khusus mengenai suasana dan isu-isu semasa politik negeri Pahang Darul Makmur.

Ahli-ahli panel terdiri daripada:

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan PJ Pahang 1, Ustaz Yusof Embong
Timbalan PJ Pahang 2, Ustaz Hamzah Jaafar
Timbalan PJ Pahang 3, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan kepada ahli-ahli panel kita, sila emailkan kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini mereka berbicara mengenai topik berikut:

Adakah rakyat Pahang sudah bersedia berubah pada pandangan anda? Beza mood perubahan di kawasan berinternet dengan tidak berinternet dan cara nak tingkatkan mood perubahan rakyat Pahang.

Ustaz Tuan Ibrahim:

Secara umumnya rakyat Pahang dilihat tidak ghairah untuk membuat perubahan, khususnya di kawasan luar bandar dan di kalangan golongan tua. Mereka dilihat masih kekal dengan sokongan kepada UMNO-BN, tetapi keadaan ini agak berbeza di kalangan masyarakat bandar dan pinggir bandar dan di kalangan generasi muda di kawasan Felda dan luar bandar.

Keghairahan untuk berubah dari tinjauan umum adalah daripada kalangan golongan bermaklumat, khususnya orang bukan Melayu dan mereka yang ada membaca dan menganalisa berita daripada sumber alternatif dan yang bersifat intelektual.

Rakyat Pahang umumnya berhadapan dengan isu utama iaitu isu Lynas di kalangan masyarakat intelek dan isu penyenaraian Felda bagi kawasan Felda. Kedua-dua isu ini besar tapi agak teknikal jika dibandingkan dengan isu lembu National Feedlot Corporation.

Namun, secara keseluruhannya pandangan agak berbeza ini dipengaruhi oleh media baru atau media alternatif. Persoalan utama ialah fokus perubahan kepada pengundi sasaran iaitu generasi 40an ke bawah yang membentuk 52 peratus pengundi Malaysia.

Seandainya mood perubahan di kalangan generasi muda dapat ditingkat 7-10 peratus dari pencapaian PRU yang lalu, maka InsyaAllah perubahan akan turut berlaku di Pahang dalam PRU akan datang.

Ustaz Yusof Embong:

Saya yakin pasti akan berlaku perubahan di Pahang terutamanya di kawasan Felda. Isu-isu hangat yang menjejaskan nasib dan masa depan peneroka seperti isu penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH), tuntutan harga perah sawit yang kini ada kes di mahkamah dan kawasan tanah yang diberi kurang daripada 10 ekar seperti yang berlaku di Panching Selatan.

Masyarakat di pinggir bandar dan bandar mempunyai mood perubahan yang tinggi kerana mereka terdedah kepada konsep good governance yang dicanangkan PAS dan PR. Golongan ini mempunyai akses internet dan boleh membuat perbandingan sendiri antara pentadbiran BN and PR di negeri yang dikuasai masing-masing.

Disebabkan itu, masyarakat di bandar, pinggir bandar terutamanya Kuantan dilihat lebih memihak kepada PR.

Bagi kawasan yang tidak mempunyai internet, PAS perlu tingkatkan usaha untuk menyebarkan maklumat melalui risalah dan ceramah kepada golongan ini kerana mereka hanya bergantung kepada suratkhabar dan TV yang dikuasai media perdana sebagai sumber maklumat.


Ustaz Hamzah Jaafar:


Rakyat Pahang sememangnya mempunyai tahap kesediaan yang tinggi untuk berubah. Keinginan untuk berubah ini pada pandangan saya lebih didorong oleh beberapa faktor :

1. Perasaan meluat dengan korupsi pemimpin UMNO yang didedahkan sendiri oleh agensi kerajaan seperti laporan audit dan diperjelaskan lagi tahap seriusnya korupsi itu oleh pihak pembangkang.

2. Selain daripada itu, penyelewengan dan korupsi pemimpin dan juak-juak UMNO di peringkat bawahan juga turut dapat disaksikan sendiri oleh rakyat di kampung-kampung.

3. Sikap ingin membuat perubahan juga didorong oleh tawaran PAS dan Pakatan Rakyat terutamanya tawaran menurunkan harga minyak dan menyediakan tapak rumah serta penempatan generasi kedua dan ketiga felda.

Manakala pengaruh internet atau sebaliknya memberi kesan yang berbeza. Di tempat yang ada kemudahan internet sudah tentu mereka mendapat maklumat yang cepat dan tepat. Justeru itu, sokongan mereka yang tinggal di tempat yang ada kemudahan internet kepada PAS / PR lebih tinggi jika dibandingkan dengan tempat yang tidak terdedah dengan kemudahan internet.

Pun begitu, anak-anak muda yang bermaklumat turut mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memberi saham dalam melakukan perubahan politik khususnya dalam PRU ke 13 nanti dengan mempengaruhi keluarga mereka yang berada di luar bandar.


Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi:


Perubahan adalah suatu yang positif. Justeru itu tiada siapa yang enggan melakukan perubahan jika perubahan itu adalah ke arah kebaikan atau ke arah yang lebih baik. Namun gerakan perubahan asasnya bermula dari sebuah kesedaran dan keinsafan.

Perubahan mesti digerakkan kemudian dipimpin ke arah yang betul. Malah perubahan menjadi suatu tuntutan mendesak tatkala berdepan dengan kemungkaran, penindasan dan kezaliman.

Negeri Pahang adalah sebuah negeri yang luas dan saya bahagikan kepada tiga kategori kawasan. Pertama ialah kawasan bandar, kedua kawasan kampung tradisi dan ketiga ialah kawasan tanah rancangan Felda. Sebahagian besarnya adalah kawasan tanah rancangan Felda.

Keupayaan dan kesedian rakyat Pahang untuk berubah banyak bergantung kepada maklumat yang berkesan dan berkemampuan untuk membangkitkan kesedaran politik dan keinsafan terhadap masa depan rakyat yang kabur diurus oleh sebuah kerajaan yang korup, tiris dan boros.

Pakatan Rakyat sering dibatasi dari segenap arah. Tidak mudah untuk maklumat disampaikan kepada rakyat. Banner di conteng, poster dikoyak, ceramah diganggu, aktivis dipukul dan 1001 lagi halangan dan sekatan. Maklumat Pakatan Rakyat banyak bergantung kepada akhbar yang menjadi lidah rasmi parti seperti Harakah, Suara Keadilan dan Rocket.

Memanfaatkan teknologi terkini, Pakatan Rakyat menguasai alam cyber untuk menjadikannya medan saluran maklumat alternatif kepada rakyat. Namun pastinya ia terhad kepada rakyat yang memiliki keupayaan akses internet.

Justeru itu, saya sangat yakin bahawa individu dan masyarakat atau rakyat keseluruhannya yang memiliki upaya untuk akses internet mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan bersedia untuk melakukan perubahan. Lantaran mereka mempunyai maklumat kedua atau ketiga berbanding hanya bergantung kepada media arus perdana yang menyalurkan maklumat sebelah pihak.

Mewujudkan mood perubahan menyeluruh dari kalangan rakyat negeri Pahang ini memerlukan kerja gigih semua peringkat petugas parti samaada pimpinan ataupun anggota biasa melalui gandingan pelbagai kemahiran yang dimiliki untuk memastikan maklumat dan risalah atau mesej perjuangan sampai kepada setiap pintu rumah dan pintu hati rakyat.

Gabungkan kaedah tradisi seperti ceramah umum, ceramah kelompok dan edaran risalah dengan kaedah kontemporary melalui facebook, twitter, vilog, filem pendek dan sebagainya. Asasnya kita perlukan kreativiti yang tinggi untuk mencipta mood perubahan disamping memiliki kegigihan dan sentuhan berkesan dalam pendekatan.

Saya sangat tidak bersetuju menggunakan pendekatan caci maki dalam ceramah dan cela nista dalam ucapan serta fitnah dan tohmah dalam kenyataan sekalipun terhadap lawan politik kita. Justeru elemen terpenting dalam perjuangan ini ialah kebenaran dan keberkatan.


Ustaz Suhaimi Saad:


Pada dasarnya, saya melihat rakyat Pahang sudah bersedia untuk berubah. Dalam Himpunan Hijau 2.0 baru-baru ini, kita boleh melihat mood perubahan rakyat Pahang itu dengan jelas.

Mendapat maklumat mengenai kepincangan kerajaan dalam pengurusan kewangan dan laporan audit yang menyatakan prestasi Pahang tidak memuaskan juga membantu menyemarakkan lagi semangat berubah rakyat Pahang.

Mood perubahan juga diamati lebih tinggi di kawasan bandar dan pinggir bandar. Di kawasan kampung pula, penghalang kepada gelombang mood perubahan ialah kepayahan untuk maklumat sampai ke kumpulan sasaran, kampung tradisi dan kawasan Felda.

Orang Islam-Melayu di kampung sememangnya bersifat baik, namun malangnya mereka ditipu kerana hanya mempunyai satu saluran infomasi ialah TV media kerajaan.

Di kawasan-kawasan ini, rangkaian internet pula kurang, rangkaian 3G untuk kegunaan smartphone untuk mendapat maklumat tinggi pun tiada. Ini ditambah pula dengan budaya orang-orang generasi tua yang lebih suka berbicara di kedai kopi dan tidak ingin mendekati kemudahan internet.

PAS perlu giatkan lagi penerangan kepada orang muda dan generasi kedua dan ketiga Felda yang pemikiran mereka lebih terbuka kerana terdedah kepada teknologi maklumat yang canggih.

Bagi generasi yang tua, PAS berdepan dengan cabaran yang rumit kerana mereka terasa terhutang budi kepada kerajaan kerana merasakan kehidupan mereka sekarang dah dikira baik jika dibandingkan dengan masa mereka susah dahulu ketika mula-mula menjadi peneroka. Namun begitu, saya yakin dengan penerangan dan maklumat yang cukup, golongan ini turut akan dijangkit mood perubahan demi masa depan generasi kedua dan ketiga mereka yang lebih baik.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9018--panah-pahang-internet-jadi-media-penentu

No comments:

Post a Comment