Saturday, March 31, 2012

Pas kemuka bukti, FGVH rugi RM27 juta pada 2010

Salahuddin Ayub
KUALA LUMPUR - Pas mengemukakan bukti berhubung dakwaan pelaburan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di luar negara mengalami kerugian.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, apa yang dibentangkan di Parlimen oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan masih tidak telus.
“Datuk Ahmad Maslan kata semuanya untung, tak ada rugi. Kami sudah kata yang kita ada dokumen mengenai kerugian yang dihadapi FGVH dan hari ini kita akan dedahkan salah satu daripadanya, yang FGVH mengalami kerugian yang banyak hasil pelaburan di luar negara,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut meminta Ahmad memberi penjelasan berhubung kemerosotan tunai Felda daripada RM4.5 bilion pada 2001 kepada RM1.2 bilion pada 2005.
Pas membuat pendedahan kerugian FGVH hasil laporan audit oleh Pricewaterhousecoopers mengenai laporan penyata kewangan Felda Global Ventures North America Sdn Bhd (FGVNA) sehingga 31 Disember 2010.
Penasihat Ekonomi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Dr Rosli Yaakop berkata, syarikat pegangan pelaburan FGVNA mencatat kerugian sebanyak RM27,576,023 pada 31 Disember 2010 berbanding keuntungan sebanyak RM44,832,558 pada 31 Disember 2009.
Katanya, kerugian itu dikena pasti akibat anak-anak syarikat di Amerika Utara belum membayar balik pinjaman yang diberikan sebanyak RM48,173,488 yang tertunggak lebih setahun.
“Felda melabur melebihi RM1 bilion dalam Twin Rivers Technologies Holdings Inc dan anak-anak syarikatnya di Amerika dan Kanada sejak Oktober 2007.
“Berdasarkan dua pengukur prestasi iaitu syarikat rugi dan pinjaman yang diberikan kepada anak-anak syarikat gagal dibayar balik mengikut terma yang dipersetujui dan ini membayangkan prestasi syarikat bermasalah,” katanya.
Menurutnya, susulan krisis yang dihadapi FGVNA tidak mengisytiharkan dividen dalam tahun 2009 dan 2010.
Rosli juga mempersoal tujuan FGVNA membeli saham TRTH sebanyak 80,000 unit saham biasa kelas B pada harga yang mahal iaitu RM1,567.50 sesaham.
“Pembelian saham itu melibatkan jumlah yang besar iaitu sebanyak RM125,400,000. Persoalannya kenapa Felda memilih untuk membeli 97 peratus milikan dalam TRTH walhal ia adalah pemain baru dalam bidang oleochemicals yang ditubuhkan pada 1994 dan TRTH bukannya ‘market leader’ dalam bidang ini?” soalnya.
Selain itu katanya, pelaburan yang dibuat FGVNA di Amerika Utara iaitu Amerika syarikat dan Kanada juga amat besar iaitu berjumlah RM1,255,263,942.
“Apakah pulangan tahun yang diharapkan daripada pelaburan ini? Apakah manfaat kepada peneroka-peneroka Felda daripada pelaburan ini?” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan.
Katanya, Pas mempunyai beberapa lagi bukti kerugian FGVH di luar negara termasuk di India dan Kalimantan, Indonesia.

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/pas-kemuka-bukti-fgvh-rugi-rm27-juta-pada-2010-1.35291

No comments:

Post a Comment