Saturday, March 24, 2012

40 ahli Umno sertai PAS di Kg Masjid

Harakahdaily, 23 Mac 2012
SUNGAI PETANI, 23 Mac: 40 bekas ahli dan penyokong Umno di Kampung Masjid, Tikam Batu, Sungai Petani meninggalkan parti mereka dan menyertai PAS.


(Mohamad Sabu menerima borang permohonan menjadi ahli PAS)


Mereka menyerahkan borang keahlian PAS kepada Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu di Unit Peti Undi (UPU) Bukit Meriam dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Pantai Merdeka sebelum
beliau berceramah di situ baru-baru ini.

Salah seorang dari mereka adalah bekas penyokong tegar Umno, Mohd Noor Tayed 58. Di era tahun 70 - 80 an dahulu merupakan kemuncak penglibatan dirinya dengan Umno. Selepas itu beliau mengambil sikap pandang dan lihat.

Dahulu, di mana sahaja jentera Umno bertugas terutamanya di Parlimen Sungai Petani mesti kelibatnya ada untuk membantu jentera berhadapan dengan PAS yang dianggap musuh yang perlu di singkirkan.

Namun, hari ini sudah berbeza. Beliau tidak lagi mahu memberikan undi dan sokongan pada Umno dan BN.


(Mohd Noor [kiri] dan Che Ani)

"Dulu saya tidak tahu menilai malahan bertindak berdasarkan arahan ketua jentera yang saya ditugaskan tetapi hari ini saya telah sedar dan bertekad melawan parti yang saya pernah puja selama ini, " katanya.

Seorang lagi rakanya, Che Ani Mansor 72 berkata, apa yang beliau dapat selama menyokong Umno dan BN melainkan terus mengayuh basikal tuanya sahaja.

Masalah banjir kilat yang melanda kawasan rumah pun tambahnya, Umno dan BN ketika berkuasa hanya pandang sahaja tidak bertindak membantu mengatasi dengan membina longkang baru di kampung berkenaan.

"Bila hujan sahaja hati saya bimbang kerana rumah saya dan beberapa buah rumah jiran akan tengelam separas buku lali.

"Bukan baru tapi sudah lama walaupun ada beberapa orang kepimpinan Umno datang menjengguk," katanya yang sudah bosan dengan janji BN.

Beliau mengucapkan terima kasih pada Majlis Ketua Kampung (MKK) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPk) kerana bertindak segera setelah membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat dengan membina longkang bagi menghindarkan banjir kilat berkenaan.

Dekati ahli baru

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Sungai Petani, Ustaz Mazlan Osman (gambar) meminta semua ahli PAS yang berada lama dalam perjuangan ini supaya mendampingi setiap ahli baru yang telah sedar untuk bersama membina kekuatan meruntuhkan empayar Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ujarnya, jangan sekali-kali membiarkan mereka dengan haluan sendiri sedangkan banyak kepakaran yang mereka ada yang membolehkan ahli PAS lama mempelajari.

"Anggaplah ahli baru PAS sebagai rakan yang akrab jangan persiakan kesedaran mereka kerana mereka juga ada kepakaran yang mungkin tiada pada kita. Kita sebagai ahli PAS yang lama wajar menunjukan contoh terbaik supaya mereka bersama membina kekuatan meruntuhkan Umno dan BN," tegasnya ketika ditemui di pejabat Tahfiz Al Barakah, Tikam Batu bersama beberapa orang bekas penyokong Umno di Kampung Masjid, Tikam Batu, Sungai Petani semalam.

Tugas ahli dan pemimpin PAS bukan berdakwah pada bukan Islam sahaja sambungnya, malahan kepada mereka yang telah jinak dengan perjuangan agar mereka mendekati majlis ilmu dan masjid supaya kekuatan boleh dibina apatah lag dunia sekarang dunia meterial.


Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9048-40-ahli-umno-sertai-pas-di-kg-masjid

No comments:

Post a Comment