Monday, March 5, 2012

Kedah: Keputusan terbaik PAS Pusat



KUALA LUMPUR, 5 Mac: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) memberitahu pertemuan yang diadakan pada peringkat awal di Alor Setar berlangsung secara profesional tanpa ada sebarang ketegangan pendapat.

Menurut beliau yang ditanggungjawabkan oleh PAS Pusat dalam perbincangan awal di Kedah malam semalam berkata, tugasnya adalah untuk mempertemukan kedua-dua pemimpin tersebut.

"Pertemuaan yang diadakan berlaku secara aman dan profesional, semua pihak memberi kerjasama yang baik.

"Akhirnya semua bersetuju untuk menyerahkan isu ini kepada PAS Pusat," jelasnya.

Tambahnya, keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat adalah yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

"Tidak ada apa-apa masalah yang merumitkan keadaan malah keputusan telah kita capai, ini merupakan keputusan terbaik dari PAS Pusat.

"Malah semua pihak bersetuju untuk menerima keputusan tersebut," sambungnya.

Malam kelamrin, pertemuan khas bagi mencari penyelesaian isu Kedah itu berlangsung lebih lima jam bermula sekitar jam 9.30 malam sehingga jam 3 pagi tadi di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Alor Setar.



Ianya berhubung isu Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang enggan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah yang dilihat tidak selari dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ust Azizan Abdul Razak.



Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri I dan II manakala Azizan adalah Pesuruhjaya PAS Negeri.



Difahamkan pertemuan itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu pertama pertemuan empat mata antara Salahudin dengan Phahrolrazi, kemudian dengan Ustaz Azizan.

Ia kemudiannya disusuli dengan pertemuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan Badan Perhubungan PAS Negeri yang dipengerusikan presiden parti sendiri.

Ketika menjawab pertanyaan wartawan terhadap reaksi kedua-dua exco tersebut semasa keputusan dibuat, Salahuddin berkata ia tidak melihat kepada riak muka.

"Dalam kes ini kita tidak main melihat riak-riak muka atau reaksi kedua-dua mereka sebab itu bukan jawapan kepada keputusan tersebut," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.

Jelas beliau, setelah itu kedua-dua mereka bersetuju untuk mematuhi keputusan peringkat pusat setelah pertemuan diadakan.

"Dalam hal ini tidak timbul ketidakpuashatian kerana kedua-dua mereka telah bersetuju untuk patuh kepada keputusan PAS Pusat," jelas beliau.


Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8560-kedah-keputusan-terbaik-pas-pusat

No comments:

Post a Comment