Thursday, March 1, 2012

PAS: Hanya Muslim akan pegang jawatan tertinggi parti


Oleh Mohd Farhan Darwis
March 01, 2012
Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib
KUALA LUMPUR, 1 Mac — PAS menegaskan hanya akan melantik mereka yang beragama Islam bagi memegang jawatan tertinggi dalam parti Islam berkenaan dan cadangan pelantikan bukan Islam mengisi jawatan tertinggi parti berkenaan mustahil untuk dilakukan.

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib dipetik Sinar Online berkata pelantikan bukan Islam bagi mengisi jawatan tertinggi dalam parti memerlukan pindaan perlembagaan dan persetujuan sepenuhnya daripada muktamar.

“Jika Dr Dzulkefly Ahmad mengesyorkan untuk membuka pintu membolehkan bukan Islam dilantik ke jawatan timbalan presiden, saya rasa itu hanya pandangan peribadinya dan tiada kaitan dengan dasar parti. Ia bukan keputusan PAS.

“PAS tidak pernah berbincang mengenainya. Ia bukan perkara mudah kerana memerlukan suara majoriti dan mereka perlu bersetuju serta menerima keputusan untuk membuka jawatan itu kepada bukan Islam,” katanya.

Menurut beliau, individu bukan Muslim harus memeluk Islam dan menjadi ahli PAS sebelum diberi jawatan berkenaan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menjelaskan kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu hanya sekadar teori dan sukar dilaksanakan pada masa sekarang.

“Saya kira PAS patut kekalkan sahaja apa yang ada sekarang,” katanya.

Kekangan perlembagaan jelasnya menjadi halangan bagi melaksanakan syor berkenaan, tetapi tidak boleh meramalkan apa yang boleh berlaku pada masa hadapan.

“Kalau tanya saya sekarang, ia tidak boleh. Jika bukan Islam berminat dengan PAS, mereka disyorkan menganggotai Dewan Himpunan Penyokong PAS, tetapi tetap tidak boleh memegang jawatan timbalan presiden,” katanya.

Dr Dzulkefly dalam wacana Sinar Harian bertajuk ‘'Mengapa Undi Melayu Pecah?’' kelmarin menyatakan PAS bersedia menerima timbalan naib presiden PAS daripada kalangan bukan Islam sekiranya keadaan memerlukan.

Source: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-hanya-muslim-akan-pegang-jawatan-tertinggi-parti/

No comments:

Post a Comment