Saturday, December 8, 2012

Saling fahami budaya, hilangkan ketakutan 13 Mei




KLANG: PAS hari ini mengadakan Seminar Antara Budaya Masyarakat Malaysia yang berlangsung di Hotel Goldcourse di sini.

Ianya adalah satu inisiatif Lajnah Penerangan PAS Pusat untuk memberi kefahaman mengenai kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini agar saling memahami antara satu sama lain.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata seminar ini juga penting bagi menangkis tomahan dan taktik pihak tidak bertanggungjawab yang suka melaga-lagakan antara kaum untuk kepentingan politik.

“Seminar ini adalah bertujuan untuk menghilangkan ketakutan pada 13 Mei. Ianya medan untuk berterus-terang dan memahami budaya pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia,” kata Tuan Ibrahim dalam ucapan pembukaan majlis pagi ini.

Turut bersama dalam seminar ini ialah Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hu Pang Chow dan timbalan Bala Subramaniam, AJK DHPP negeri-negeri dan wilayah, semua ketua penerangan PAS kawasan, ketua Lajnah Perpaduan Nasional negeri dan kawasan.

Program yang bermula dari jam 8 pagi hingga 2.30 petang ini itu disertai lebih 200 peserta setakat ini.

Beberapa kertas kerja juga akan dibentangkan dalam program ini hari ini.

Antara pembentang utama pagi ini Prof Dr Sufian Husein dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang akan membentangkan tajuk “Memahami budaya masyarakat Melayu Islam dalam konteks pemikiran politik di Malaysia.”

Kertas kerja kedua pula bertajuk “Peranan penerangan dalam konteks mendekati Melayu dan bukan Melayu dalam PRU” yang akan dibentangkan oleh tiga wakil kaum iaitu Tuan Ibrahim sendiri, bekas editor Merdeka Review Lim Hong Siang dan Kaunselor Berdaftar UPM A Rajaretinam.

Exco pendidikan Selangor Dr Halimah Ali dijangka memberikan ucapan penutup petang ini.


No comments:

Post a Comment