Thursday, December 6, 2012

Nik Aziz: 'Apa untung serang ceramah Pakatan'

Nik Aziz
Nik Aziz
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa insiden serangan ketika ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak, Selangor malam tadi membuktikan akan timbul huru hara apabila ada pihak tidak boleh menerima kekalahan jika Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu soal beliau, apakah faedah diperoleh oleh musuh politik dengan menyerang ceramah-ceramah anjuran PR.

"Sudah jelas dan nyata siapa yang akan buat huru hara apabila kalah pada PRU13 nanti. Ada keuntungankah menyerang ceramah Pakatan Rakyat?" kata beliau mesej dipaparkan pada laman sosial Facebooknya petang ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, "moga ALLAH berbuat apa yang sepatutnya sama ada memberi hidayah ataupun turunkan bala setimpal apa yang telah dilakukan mereka beserta dengan sekutu-sekutu mereka."
Dalam pada itu, Bernama melaporkan polis akan memanggil saksi bagi mendapatkan keterangan berhubung pergaduhan penyokong dua parti politik semasa ceramah umum pemimpin pembangkang di tanah lapang di Batu 8 1/2, Gombak malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosly Hassan berkata polis mempunyai rakaman video berhubung kejadian itu yang berlaku pada pukul 9.30 malam yang menyebabkan dua lelaki berusia 37 tahun cedera di dahi dan bahu dipercayai akibat terkena objek yang dibaling seperti batu dan botol air.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata bahaya dalam rusuhan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, kekecohan dikatakan berlaku apabila kira-kira 250 lelaki tidak berpuas hati kerana ceramah yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di kawasan berhampiran kediaman mereka.
"Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur sebagai pesakit luar dan polis telah merakamkan keterangan kedua-dua mangsa bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media hari ini.
Mengenai notis untuk mengadakan ceramah, Rosly berkata pihak penganjur gagal mematuhi Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman yang mensyaratkan notis diberi dalam tempoh 10 hari kepada polis dan bukan hanya lapan hari.
Sementara itu Pemuda Umno Gombak menafikan mereka memulakan provokasi sehingga menyebabkan kedua-dua pihak saling membaling objek seperti botol dan batu ke arah satu sama lain.
Ketua Pemudanya Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, penduduk membantah secara aman ceramah itu kerana ia diadakan di kawasan mereka, tanpa berniat mencetuskan pergaduhan.
Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika dihubungi melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu dan mengalu-alukan siasatan polis.

No comments:

Post a Comment