PAS berpendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan
istilah ‘God’ dengan Tuhan dan bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar
daripada teks asal.
Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks
asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud Allah, kerana
terjemahan tepat ialah Tuhan. Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud
asal. Manakala menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut
Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh
mengelirukan orang Islam.
PAS melihat isu penggunaan nama Allah di dalam terjemahan
Bible dalam Bahasa Malaysia tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal
serta mengelirukan pelbagai pihak.
Bahkan cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di
kalangan orang Islam dan penganut Kristian.
Harus diingat, bagi umat Islam, nama Allah merupakan nama yang khusus yang mesti dipelihara kesuciannya. Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk.
Sehubungan itu, permintaan untuk menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada God samada dalam pertuturan, penulisan atau filem. Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’.
Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli kitab (Yahudi dan Nasara), tetapi keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik.
Ada perkataan yang sensitif bagi sesetengah agama, seperti
kalimah Dua Shahadah dan Allah, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya
dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan
ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan
situasi negara masa kini.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
26 Disember 2012
No comments:
Post a Comment