Ketua Umno Bahagian Pandan dihukum penjara lapan tahun dan didenda RM977,560 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM193,512 antara Mei 2006 hingga Mac 2007.
    
Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Abd Ghani Ismail, 46, di akhir kes pembelaan.
    
Dalam penghakimannya, beliau berkata keterangan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata serta satu pembelaan yang berbentuk “difikirkan kemudian".
    
"Penjelasan tertuduh semasa pembelaannya adalah tidak konsisten, ia direka bagi menyesuaikan keterangan saksi pendakwaan," katanya.
    
Rozilah turut tidak membenarkan Abd Ghani untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
    
Mahkamah mengambil kira bantahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Roziza Sidek yang berhujah bahawa tiada sebarang alasan yang membolehkan mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara berikutan ia bukan sesuatu keadaan yang istimewa.
    
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta denda RM120,945 terhadap tertuduh yang didakwa secara rasuah memperoleh satu suapan daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) sebanyak RM24,189.
    
Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada
MPAJ.
    
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan di sini pada 9 malam, 4 Ogos 2006.
    
Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM120,945 bagi kesalahan menerima rasuah daripada Abdul Rahman berjumlah RM24,189.
    
Rozilah turut menjatuhkan hukuman lima tahun penjara serta denda berjumlah RM725,670 bagi enam lagi pertuduhan lain yang dikenakan terhadap Abd Ghani bagi kesalahan sama iaitu menerima rasuah sebanyak RM145,134 daripada Abdul Rahman.
    
Bagi pertuduhan kedua hingga kesembilan itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di ibunegara, antara 20 Oktober 2006 hingga 31 Mac 2007.
    
Bagaimanapun mahkamah membenarkan hukuman penjara bagi sembilan pertuduhan tersebut berjalan serentak iaitu lima tahun.
    
Sementara itu bagi pertuduhan ke-10 Abd Ghani dihukum penjara tiga tahun serta denda RM10,000 bagi kesalahan memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai sub-kontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang mana dia mempunyai kepentingan dalam Syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.
    
Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.
    
Bagi kesemua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) dan Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.
    
Terdahulu ketika penghakiman dibacakan, Abd Ghani yang diwakili peguam Md Yunos Shariff,  pitam di kandang tertuduh secara tiba-tiba sehingga prosiding terpaksa ditangguhkan selama lima belas minit sebelum diteruskan semula.

Bernama