Bab 6: Isu Amanat - UMNO Menjolok Sarang Tebuan

“Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Krtistian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”

I
su risalah yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai ‘Amanat Haji Hadi’ telah dianggap selesai pada suatu ketika apabila Majlis Agama Islam Kebangsaan memutuskan tiada apa-apa kesalahan dari segi agama kepada petikan ucapan Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong, Manir pada awal 80-an lalu. Tok Guru sendiri selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan ucapan berkenaan telah berkali-kali mempertahankan kebenaran ucapannya.

Malah, beliau pernah dicabar oleh Tan Sri Wan Mokhtar (ketika itu MB Terengganu) dalam salah satu sidang DUN lebih sedekad lalu untuk memberikan penjelasan. Tok Guru telah mempertahankan ucapannya itu dan menjelaskan ia dibuat berdasarkan kepada kandungan Kitab Mastika Hadith Rasulullah s.a.w. Jilid 1, yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Tajuk yang dikupas itu ialah mengenai bab ‘Wajib Menjaga dan Memelihara Jangan Rosaknya Iman dan Islam’. Ia bukannya soal kafir-mengkafir, sebagaimana yang disalahtafsirkan oleh sesetengah golongan.

Kitab berkenaan telah mula dicetak pada tahun 1973, dan telah diulang cetak sebanyak tujuh kali. Cetakan terakhir yang terdapat di pasaran ialah yang dibuat pada tahun 2000 lalu. Kitab jawi itu mencatatkan bahawa ia telah diusahakan bersama oleh tiga ulama terkemuka, iaitu Sahibul Fadilah Dato’ Haji Mohamad Nor bin Haji Ibrahim, Al-Fadhil Tuan Haji Ismail bin Haji Yusof dan Sheikh Abdullah bin Mohamed Basmeh.

Bagi sesiapa yang benar-benar mementingkan kesahihan bukti pertelingkahan isu ‘Amanat’ ini, kita sarankan supaya mendapatkan kitab tersebut dan mencari ruang menelitinya sendiri. Di sana akan jelaslah bahawa terdapat berbagai contoh yang dikemukakan, yang disifatkan oleh pengarang kitab itu sebagai boleh membatalkan keimanan dan keislaman seseorang.

Kebetulan pula, ucapan-ucapan dalam nada serupa sering disebut oleh para pemimpin yang berpengaruh dalam negara ini dan ia pula diikuti oleh imam-imam di kampung-kampung.

“Akibatnya, orang PAS merasa segan untuk bersembahyang di belakang imam-imam berkenaan di beberapa buah masjid di negeri Terengganu. Ucapan-ucapan sedemikianlah sebenarnya yang menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat umat Islam”, kata Tok Guru.

Sebab itu, beliau dengan tegas mengatakan di dalam ceramahnya pada tahun 1982 itu: “Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Krtistian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”

Jahatnya Umno, ialah apabila memutarbelitkan ucapan selama sejam bagi melahirkan hanya tiga perenggan ‘Amanat’. Bayangkan betapa luas dan pelbagainya hujah dan pandangan yang Tok Guru perkatakan selama sejam ucapan beliau itu.

Masakan boleh diambil sekerat dan dipadankan sebegitu rupa bagi menunjukkan seolah-olah Tok Guru secara jelas cuba mengkafirkan Umno? Sebab itu apabila Tok Guru mengatakan, “percayalah saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad, dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam”, perkataan ‘puak-puak ini’ di dalam ucapannya itu tidak boleh semudah-mudah ditafsirkan sebagai Umno. 

Adalah tidak adil, semata-mata kerana di perenggan awalnya Tok Guru ada menyebut Umno, maka perenggan berikutnya (yang entah berapa perenggan lagi tidak dirakamkan di tengah-tengah keduanya itu) bererti Tok Guru juga merujuk kepada Umno.

“Saudara-saudara sekalian, percayalah! Kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno, kita menentang Barisan Nasional, bukan kerana nama Barisan Nasional. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka.”

Malangnya, Umno semacam tidak bersedia menerima penjelasan-penjelasan di atas. Barangkali, Umno ada guilty conscious kerana sifat-sifat dan perbuatan yang dinyatakan itu kebetulan ada pada Umno.

Malah, para pemimpinnya terus-terusan membangkitkan isu ‘Amanat’ ini, dan secara jelas pula meletakkan bahawa ia telah menyimpang daripada akidah Islam. Suara-suara menuntut Tok Guru diambil tindakan undang-undang menyebabkan orang-orang PAS merasa sangat terganggu maruah dan imej mereka.

Sejenis serangga bernama tebuan sememangnya bersifat menyengat mangsanya. Tetapi, dalam keadaan biasa dan tidak diganggu, tebuan tidak akan menyengat tak ketahuan punca. Dia akan hanya menyerang dan menyengat mangsanya bila ketenangan dan keselesaannya diganggu-gugat.

PAS pun lebih-kurang macam tu lah juga. Bukan kerja orang-orang PAS untuk sengaja nak cari kesalahan dan kesilapan orang lain. Melainkan orang itu adalah pemimpin negara atau negeri, yang sememangnya menjadi kewajipan setiap diri sebagai rakyat memperbetulkan apa jua kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Tetapi, dalam keadaan diserang bertalu-talu pemimpin dalam isu ‘Amanat’ ini, orang PAS tidak wajar lagi berdiam diri.

Perbuatan Umno sengaja mengungkitkan kembali isu yang telah hampir terpadam dalam masyarakat itu adalah ibarat menjolok sarang tebuan. Kerana, ekoran tindakan itu, satu demi satu ucapan, amanat dan ‘fatwa’ para pemimpin Umno, terutama yang membabitkan hukum-hakam Islam, terpaksa dikemukakan semula untuk tatapan dan nilaian umum. Nilailah sendiri beberapa petikan yang diperturunkan di bawah ini. Kemudian tanyalah hati anda, siapakah yang sebenarnya sesat dan menyimpang dari ajaran Islam?

Pertama: Menolak Hukum Hudud
“Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja.”
-          Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada media massa pada 14 Julai 1992.

“Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.
-          Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad di Papar, Sabah pada 2 Mei 1992.

“Saya tak tahu siapakah di antara ahli-ahli PAS yang sanggup memotong tangan orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan? Barangkali Nik Aziz (Tuan Guru Menteri Besar Kelantan) akan melakukannya. Jika benar, kita nak tengok apa yang berlaku selepas hukum itu (dilaksanakan) nanti.”
-          Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada Ketua-ketua Bahagian Umno di Johor pada 30 April 1992.

“Daripada kajian yang telah dibuat amatlah jelas bahawa undang-undang PAS Kelantan adalah tidak menepati sepenuhnya undang-undang, semangat dan sifat-sifat yang ada pada agama Islam. Ia tidak mengasaskan sepenuhnya kepadamaqasid syariah. Undang-undang PAS bukan sahaja tidak boleh diterima, tetapi setakat ini hendaklah ditolak.

“Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apapun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam? Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?

“Hukum rejam kepada penzina adalah primitif.”
-          Ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Bahasa Arab Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.

“Saya memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud.”
-          Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada para wartawan selepas satu mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada tahun 1994.

“Hendak jaga kepentingan orang Islam ini bukan dengan cara maki orang. Tetapi menjaga umat Islam dengan mengukuh kepentingan Islam supaya mereka lebih bijak, lebih kaya, lebih pandai. Tetapi orang pandai ini hendak Islam potong tangan orang. Kita nak tengok semua orang Islam kudung. Di Sudan, mereka potong tangan di sebelah kanan, kaki sebelah kiri. Kita sudah hilang satu tenaga. Islam bukan suruh laksana begitu. Islam ada timbang rasa, tapi kita hendak buat hukum Islam secara buta-tuli.”
-          Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Turut hadir Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam. 

“Negara akan menjadi huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan.”
-          Kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada media massa pada 20 April 1993.

“Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu. Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud. Bahkan, ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu.”
-          Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada wartawan pada 20 April 1992.

- BERSAMBUNG
Sumber _ http://www.padredeumares.blogspot.com/2001/07/isu-amanat-umno-menjolok-sarang-tebuan.html

(Artikel ini adalah Bab 6 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)