SERANGAN ke
atas Presiden Pas khususnya berhubung Amanat Haji Hadi dilakukan
semata-mata kerana ada ura-ura nama beliau disenaraikan sebagai calon
PM.
Sedangkan
sebelumnya beliau jarang diserang sebegini hebat. Di Malaysia, jawatan
Perdana Menteri seolah-olah hak Umno. Sesiapa sahaja yang disebut-sebut
akan mengambil alih jawatan ini akan diserang habis-habisan.
Mungkin
ramai yang masih ingat bagaimana Pertubuhan Al-Arqam mengeluarkan
sebuah buku yang menggambarkan Ashaari Mohammad sebagai bakal Perdana
Menteri. Selepas itu, Al-Arqam terus diserang habis-habisan sehingga
segala perniagaan, program dan perkumpulannya dipantau; bahkan galakan
poligami turut diserang.
Sedangkan
asal bantahan hanya kepada amalan Aurad Muhammadiah. Begitulah nasib
sesiapa yang disenarai sebagai Perdana Menteri. Walaupun kita mengakui
ada beberapa amalan dan keyakinan bertentangan dengan syarak, tetapi
antara sebab hebatnya serangan adalah kerana ada cita-cita untuk menjadi
Perdana Menteri.
Sudah
tentu, rakyat masih ingat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang
kerana namanya disenarai sebagai Perdana Menteri. Kini Datuk Seri Abdul
Hadi Awang pula diserang sedangkan namanya hanya disebut oleh perwakilan
dalam Muktamar Pas bagi menolak tohmahan Umno bahawa kalau Pakatan
Rakyat menang, DAP akan jadi Perdana Menteri.
Itulah
yang diwar-war di kalangan pengundi Melayu di kampung-kampung. Kini
terbukti apa yang dicanang bahawa DAP akan menjadi Perdana Menteri itu
berjaya ditolak dengan munculnya cadangan ini.
Hasilnya,
kini muncung senapang Umno mula dihalakan kepada Presiden Pas pula.
Kita yakin selepas ini pelbagai tohmahan, tuduhan, fitnah akan dibuat ke
atas beliau kerana di Malaysia sesiapa yang dicadangkan sebagai Perdana
Menteri akan menjadi sasaran serangan media BN.
Rakyat
mempunyai satu peluang cerah untuk menyedarkan Umno supaya jangan lagi
berfikiran bahawa seolah-olah jawatan Perdana Menteri itu hak eksklusif
Umno sahaja di PRU13 dengan menyokong Pakatan Rakyat sebagai kerajaan
persekutuan yang baru.
* Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Pas Pusat
No comments:
Post a Comment