Harakahdaily,09 Dis 2012

(Orang ramai mula memenuhi Dataran Kerdau untuk menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pahang)

TEMERLOH: Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang bermula dengan meriah petang ini di  Kerdau dengan kira-kira 2,000 hadirin telah mula membanjiri Dataran Kerdau.

Pengarah program yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar berkata PAS Pahang terasa teruja dengan kehadiran yang memberangsangkan.

“Konvoi bermotor anak muda bersama Pakatan Rakyat, kami jangka hanya 500, tapi kehadiran melebihi 1000,” kata beliau.

(Nasrudin di atas pentas HKR Pahang)


Kunjungan konvoi bermotosikal disambut oleh Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pada 3.30 petang tadi.

Nasrudin dalam ucapannya menyeru rakyat Pahang berubah dan menawan negeri Pahang sebagaimana yang berlaku di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor termasuk Perak yang kembali ke pangkuan BN.

“Jom kita ubah demi selamatkan Pahang,” katanya sambil disambut dengan laungan ‘Insha-Allah.’

(Pengarah dan Pesurjaya diiring masuk ke pentas utama)

Kemuncak program malam ini, kata Dr Hamzah adalah pengisytiharan dua tawaran untuk warga Pahang.

“Satu pengisytiharan oleh Pakatan Rakyat peringkat Pahang dan satu pengisytiharan Pakatan Rakyat Pusat untuk rakyat Pahang apabila kita menawan Pahang nanti,” kata Dr Hamzah.

Dr Hamzah juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Unit Amal yang bertugas siang malam untuk menjaga keamanan dan lalu lintas untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Pahang.

Dataran Kerdau yang kini diisi dengan batu-bata disiapkan hasil sumbangan orang ramai.

Menurut Dr Hamzah, jumlah RM25,000 berjaya dikumpulkan dalam masa 5 hari.

(Persembahan silat juga diberikan sempena perhimpunan)

Program petang Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang dimulakan dengan program santai bersama Muslimat PAS.

Ia diikuti dengan konvoi motosikal dan tarian singa dan persembahan silat yang disaksikan oleh barisan pimpinan Pakatan Rakyat Pahang yang diketuai Pesuruhjaya PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


(Tarian Singa juga memeriahkan suasana)