Tuesday, September 23, 2008

NAFAS BARU DI RAMADHAN.....ROKOK HARAM???

Sahabat-sahabat yang dihormati.

Kita teruskan puasa. Puasa dah masuk fasa ketiga. Moga fasa ketiga ini kita bertambah baik. Riba kita tinggalkan. Makan harta anak yatim kita jauhi. Apatah lagi makan rasuah.

Bagaimana pula rokok? Bukan rukuk. Rukuk sujud memanglah wajib.

Sambil tengok2 email saya terbaca satu artikel dalam laptop. So saya panjangkannya dalam blog ini untuk renungan, tatapan dan tindakan oleh yang "RUKUK" tetapi "meROKOK".

Fatwa semasa mengenai hukum merokok menjurus kepada haram .....

Diperhatikan masih ramai lagi ahli jemaah masjid atau surau di merata tempat yang masih lagi tidak boleh membuang tabiat menghisap rokok. Ada yang sembahyang dengan berbekalkan kotak rokok dan `lighter` di kocek menggantikan tasbih. Sepatutnya lidah yang sering berzikir dan berdoa sudah lama meninggalkan tabiat buruk ini. Mulut berdoa jauhkan dari azab api neraka tapi mulut itu juga yang memasukkan api dan asap rokok kedalam mulut. Sia-sia doa seumpama ini.


Oleh itu kita menyeru kepada ahli jemaah masjid/surau yang sebenarnya, jauhilah tabiat buruk ini dengan iman dan ilmu yang yakin bahawa apa yang dibuat itu adalah HARAM. ( MAKNANYA JIKA HISAP ROKOK JUGA ADALAH SALAH DAN DAPAT DOSA. APA ITU HARAM, APA ITU DOSA ... KENA BELAJAR DAN FAHAM SUNGGUH. )

Di sini diperturunkan hujah dan kenyataan berdasarkan 'Fatwa Semasa Mengenai Hukum Merokok' yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti sebuah negeri.

1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.

2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.

3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lujnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram atau makruh adalah pendapat yang kuat.

4. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.

6. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.

7. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.

8. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.

9. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.

10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.

Sehubungan itu kita menyeru agar penghisap rokok menghentikan tabiat buruk itu . Kepada penanam tembakau, marilah kita bersama-sama menukar kepada tanaman lain untuk mendapat keberkatan Ilahi.


#sahabat-sahabat yang punya dokumen rasmi mengenai fatwa oleh negeri-negeri sila emailkan pada saya, yusofembong@yahoo.com



No comments:

Post a Comment