Saturday, October 11, 2008

KENDALI DUNIA DENGAN PANTANG LARANG ....setelah puasa

Assalamu'alaikum shabat-sahabat.

Nampaknya setelah selesai puasa dah tak ada lagi pantang larang. Semuanya main hentam aje, ikut sedap hawa nafsu.
......Makan dah tak ada pantang larang,
......Berpakaian dah tak ada pantang larang.
......Hiburan dah tak ada pantang larang.

Adakah pantang larang hanya ada di bulan puasa/ramadhan?
Bulan Ramadhan tutup aurat, solat tak tinggal bahkan berjamaah lagi kat masjid, TV tak tengok, pakaian siap berjubah berserban. Habis puasa Ramadhan.....pantang jumpa, hentam.

Nasihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz
Dari Anas ra berkata ia, bahawa RasuluLlah saw bersabda yang bermaksud:
[ Ketahuilah bahawa dunia ini mal’unah -ملعونة (dilaknat) kecuali zikruLlah dan orang yang berilmu serta mereka yang mempelajari ilmu].

Demikianlah nasihat RasuluLlah saw tentang dunia, sesungguhnya ia bukanlah sesuatu yang berharga bagi ALlah SWT, justeru dunia dikutuk sekiranya semata-mata dunia yang tiada hubung kait dengan matlamat akhirat. Dunia yang diraih tanpa mengingati ALlah SWT akan menyebabkan manusia menjadi hamba dunia, KECUALI apabila dunia itu ditadbir dengan zikruLlah iaitu dengan mengingati ALlah.

ZikruLlah dengan hati dan lidah, yang sentiasa ingat dan takut akan ALlah, serta zikruLlah dengan amalan iaitu sentiasa perihatin terhadap kegiatan duniawi yang dibatasi dengan halal, haram, makruh dan sunat seperti yang termaktub di dalam syariat. Dunia diraih melalui cara yang halal, untuk tujuan yang halal lagi murni. Maka dunia yang seumpama itu adalah dunia yang dikenderai dan dipacu menurut selayaknya.


Andainya dunia tidak mempunyai pantang larang, halal dan haram tidak dibezakan. Misalnya riba yang ALlah dan RasulNya perangi habis-habisan, sayangnya mereka jadikan satu sistem mu’amalah yang diagungkan, malah jika tanpanya dianggap dunia tidak akan maju. Jelaslah dunia yang seperti itu dilaknat oleh ALlah.


Dunia yang tiada pantang larang itu juga disifatkan sebagai bangkai, sementara pemburunya diibaratkan anjing-anjing rakus. Sememangnya haiwan anjing itu tidak peduli samada yang dibahamnya bangkai atau daging yang halal, baginya antara keduanya sama saja. Di kalangan manusia terdapat sifat-sifat rakus seperti haiwan najis itu.


Manusia sekadar singgah sebentar di dunia, justeru itu dia harus merenung jauh dan mengingat kembali peranannya di dunia ini. Jika dia seorang usahawan, sudahkah dia berfikir untuk berusaha dengan modal yang bersih, perdagangan yang tidak syubhat? Apakah dia berlaku jujur dalam sukatan dan timbangan? Jika dia seorang pekerja, apakah dia memikirkan pekerjaan yang dilakukan itu diredhai ALlah?Semua pertanyaan seumpama itu adalah untuk mengingatkan diri agar tidak lalai dan cuai.


RasuluLlah saw menasihati agar manusia pandai mengendalikan dunia, sebab itulah antara golongan yang dianggap paling mengerti mentadbir dan mengurus dunia mengikut peraturan ALlah ialah di kalangan orang ‘alim ( علماء ) ,mereka yang bijak bestari dalam ilmu agama, sehingga setiap gerak-gerinya sentiasa dalam lingkungan dan kawalan aqidah.


Golongan ulama adalah mereka yang hatinya sentiasa gementar terhadap ALlah. Mereka tiadak leka dengan dunia, sebaliknya dunia diurus dengan mengambil kira segala pantang larang yang dikehendaki oleh ALlah. Apapun yang hendak dilakukan di dunia ini mereka akan merujuk kepada hukum ALlah.


Jika seorang itu sebagai saudagar, biarlah saudagar yang alim dan bertaqwa agar perniagaannya di bawah kawalan agama. Jika dia seorang pegawai, sewajarnya dia seorang pegawai yang alim soleh, supaya dia amanah terhadap tanggungjawab yang dipikulnya. Apapun lapangan yang diceburinya hendaklah sebagai seorang alim yang mukmin, kerana ilmu ibarat obor, selama obor ada di tangan pasti tidak akan berjalan meraba-raba di dalam gelap, sementara iman dan ketaqwaan adalah pembimbing ke jalan yang lurus.


Selain orang alim maka golongan yang sentiasa mendalami ilmu (muta’allim) adalah mereka yang terkecuali daripada terjebak dengan dunia yang dilaknat itu. Sifat seorang pencari ilmu sentiasa mengkaji perkara-perkara yang memberi manfaat, bukan sekadar untuk kehidupan di dunia yang sementara, malah apa yang utama ialah kehidupan akhirat yang abadi.

Uye21.10.99 (nota lama)


No comments:

Post a Comment