Bab 6: Isu Amanat - UMNO Menjolok Sarang Tebuan
“Kita
tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Krtistian, kita tidak
payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi
kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”
- BERSAMBUNG
su
risalah yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai ‘Amanat Haji Hadi’
telah dianggap selesai pada suatu ketika apabila Majlis Agama Islam
Kebangsaan memutuskan tiada apa-apa kesalahan dari segi agama kepada
petikan ucapan Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Banggol
Peradong, Manir pada awal 80-an lalu. Tok Guru sendiri selaku pihak yang
bertanggungjawab mengeluarkan ucapan berkenaan telah berkali-kali
mempertahankan kebenaran ucapannya.
Malah,
beliau pernah dicabar oleh Tan Sri Wan Mokhtar (ketika itu MB
Terengganu) dalam salah satu sidang DUN lebih sedekad lalu untuk
memberikan penjelasan. Tok Guru telah mempertahankan ucapannya itu dan
menjelaskan ia dibuat berdasarkan kepada kandungan Kitab Mastika Hadith Rasulullah s.a.w. Jilid 1, yang
diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Tajuk yang dikupas itu ialah mengenai bab ‘Wajib Menjaga dan Memelihara
Jangan Rosaknya Iman dan Islam’. Ia bukannya soal kafir-mengkafir,
sebagaimana yang disalahtafsirkan oleh sesetengah golongan.
Kitab
berkenaan telah mula dicetak pada tahun 1973, dan telah diulang cetak
sebanyak tujuh kali. Cetakan terakhir yang terdapat di pasaran ialah
yang dibuat pada tahun 2000 lalu. Kitab jawi itu mencatatkan bahawa ia
telah diusahakan bersama oleh tiga ulama terkemuka, iaitu Sahibul
Fadilah Dato’ Haji Mohamad Nor bin Haji Ibrahim, Al-Fadhil Tuan Haji
Ismail bin Haji Yusof dan Sheikh Abdullah bin Mohamed Basmeh.
Bagi
sesiapa yang benar-benar mementingkan kesahihan bukti pertelingkahan
isu ‘Amanat’ ini, kita sarankan supaya mendapatkan kitab tersebut dan
mencari ruang menelitinya sendiri. Di sana akan jelaslah bahawa terdapat
berbagai contoh yang dikemukakan, yang disifatkan oleh pengarang kitab
itu sebagai boleh membatalkan keimanan dan keislaman seseorang.
Kebetulan
pula, ucapan-ucapan dalam nada serupa sering disebut oleh para pemimpin
yang berpengaruh dalam negara ini dan ia pula diikuti oleh imam-imam di
kampung-kampung.
“Akibatnya,
orang PAS merasa segan untuk bersembahyang di belakang imam-imam
berkenaan di beberapa buah masjid di negeri Terengganu. Ucapan-ucapan
sedemikianlah sebenarnya yang menimbulkan perpecahan di kalangan
masyarakat umat Islam”, kata Tok Guru.
Sebab
itu, beliau dengan tegas mengatakan di dalam ceramahnya pada tahun 1982
itu: “Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Krtistian,
kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita
menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”
Jahatnya
Umno, ialah apabila memutarbelitkan ucapan selama sejam bagi melahirkan
hanya tiga perenggan ‘Amanat’. Bayangkan betapa luas dan pelbagainya
hujah dan pandangan yang Tok Guru perkatakan selama sejam ucapan beliau
itu.
Masakan
boleh diambil sekerat dan dipadankan sebegitu rupa bagi menunjukkan
seolah-olah Tok Guru secara jelas cuba mengkafirkan Umno? Sebab itu
apabila Tok Guru mengatakan, “percayalah saudara, perjuangan kita adalah
jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad, dan kerana
kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini,
mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam”, perkataan
‘puak-puak ini’ di dalam ucapannya itu tidak boleh semudah-mudah
ditafsirkan sebagai Umno.
Adalah
tidak adil, semata-mata kerana di perenggan awalnya Tok Guru ada
menyebut Umno, maka perenggan berikutnya (yang entah berapa perenggan
lagi tidak dirakamkan di tengah-tengah keduanya itu) bererti Tok Guru
juga merujuk kepada Umno.
“Saudara-saudara
sekalian, percayalah! Kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno,
kita menentang Barisan Nasional, bukan kerana nama Barisan Nasional.
Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah,
mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh
kerana itulah kita berjuang melawan mereka.”
Malangnya, Umno semacam tidak bersedia menerima penjelasan-penjelasan di atas. Barangkali, Umno ada guilty conscious kerana sifat-sifat dan perbuatan yang dinyatakan itu kebetulan ada pada Umno.
Malah,
para pemimpinnya terus-terusan membangkitkan isu ‘Amanat’ ini, dan
secara jelas pula meletakkan bahawa ia telah menyimpang daripada akidah
Islam. Suara-suara menuntut Tok Guru diambil tindakan undang-undang
menyebabkan orang-orang PAS merasa sangat terganggu maruah dan imej
mereka.
Sejenis
serangga bernama tebuan sememangnya bersifat menyengat mangsanya.
Tetapi, dalam keadaan biasa dan tidak diganggu, tebuan tidak akan
menyengat tak ketahuan punca. Dia akan hanya menyerang dan menyengat
mangsanya bila ketenangan dan keselesaannya diganggu-gugat.
PAS
pun lebih-kurang macam tu lah juga. Bukan kerja orang-orang PAS untuk
sengaja nak cari kesalahan dan kesilapan orang lain. Melainkan orang itu
adalah pemimpin negara atau negeri, yang sememangnya menjadi kewajipan
setiap diri sebagai rakyat memperbetulkan apa jua kesilapan yang
dilakukan oleh pemimpin mereka. Tetapi, dalam keadaan diserang
bertalu-talu pemimpin dalam isu ‘Amanat’ ini, orang PAS tidak wajar lagi
berdiam diri.
Perbuatan
Umno sengaja mengungkitkan kembali isu yang telah hampir terpadam dalam
masyarakat itu adalah ibarat menjolok sarang tebuan. Kerana, ekoran
tindakan itu, satu demi satu ucapan, amanat dan ‘fatwa’ para pemimpin
Umno, terutama yang membabitkan hukum-hakam Islam, terpaksa dikemukakan
semula untuk tatapan dan nilaian umum. Nilailah sendiri beberapa petikan
yang diperturunkan di bawah ini. Kemudian tanyalah hati anda, siapakah
yang sebenarnya sesat dan menyimpang dari ajaran Islam?
Pertama: Menolak Hukum Hudud
“Apabila
hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada
pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini
sangat memalukan umat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna
sifatnya dan boleh meneruskan kerja.”
- Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada media massa pada 14 Julai 1992.
“Bagaimana
kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki?
Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya
sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini
yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.
- Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad di Papar, Sabah pada 2 Mei 1992.
“Saya
tak tahu siapakah di antara ahli-ahli PAS yang sanggup memotong tangan
orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan? Barangkali Nik Aziz (Tuan
Guru Menteri Besar Kelantan) akan melakukannya. Jika benar, kita nak
tengok apa yang berlaku selepas hukum itu (dilaksanakan) nanti.”
- Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada Ketua-ketua Bahagian Umno di Johor pada 30 April 1992.
“Daripada
kajian yang telah dibuat amatlah jelas bahawa undang-undang PAS
Kelantan adalah tidak menepati sepenuhnya undang-undang, semangat dan
sifat-sifat yang ada pada agama Islam. Ia tidak mengasaskan sepenuhnya
kepadamaqasid syariah. Undang-undang PAS bukan sahaja tidak boleh diterima, tetapi setakat ini hendaklah ditolak.
“Apakah
hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apapun keadaan sehingga
mendatangkan mudarat kepada orang Islam? Apakah dalam keadaan Islam
sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti
dilaksanakan?
“Hukum rejam kepada penzina adalah primitif.”
- Ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Bahasa Arab Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.
“Saya memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud.”
- Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada para wartawan selepas satu mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada tahun 1994.
“Hendak
jaga kepentingan orang Islam ini bukan dengan cara maki orang. Tetapi
menjaga umat Islam dengan mengukuh kepentingan Islam supaya mereka lebih
bijak, lebih kaya, lebih pandai. Tetapi orang pandai ini hendak Islam
potong tangan orang. Kita nak tengok semua orang Islam kudung. Di Sudan,
mereka potong tangan di sebelah kanan, kaki sebelah kiri. Kita sudah
hilang satu tenaga. Islam bukan suruh laksana begitu. Islam ada timbang
rasa, tapi kita hendak buat hukum Islam secara buta-tuli.”
- Ucapan
Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup
dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Turut hadir
Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan
Ketua Pengarah Pusat Islam.
“Negara akan menjadi huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan.”
- Kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada media massa pada 20 April 1993.
“Kerajaan
Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara,
ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan
kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.
Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau
menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak
semua negara Islam mengamalkan hukum hudud. Bahkan, ada negara Islam
lebih makmur tanpa hukum itu.”
- Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada wartawan pada 20 April 1992.
Sumber _ http://www.padredeumares.blogspot.com/2001/07/isu-amanat-umno-menjolok-sarang-tebuan.html
(Artikel
ini adalah Bab 6 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul:
Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh
Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)