(500 pasukan bermotor tiba di Dataran Kerdau)

“Hari ini kalau (Tun) Daim Zainuddin ada di sini, beliau pun tak akan berani ramalkan Pahang (bersama Johor dan Melaka) akan kekal di bawah BN,” kata seorang yang hadir semasa ceramah Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP) di Kerdau malam tadi.

Ketika itu jam menunjukkan kira-kira pukul 10.30 malam, tetapi segenap sudut di tapak Kompleks PAS Pahang seluas 8 ekar itu sudah padat diisi lebih hampir 40,000 manusia.

Di pentas utama, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim secara bersahaja mengatakan, perhimpunan yang diadakan secara susah payah ini merupakan yang terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU).

“Lepas ini, insyaallah kita bertemu dalam suasana seperti ini di Stadium Darul makmur pula,” katanya sambil diiringi laungan takbir dan pekikan semangat oleh pelbagai kaum yang hadir.
Tuan Ibrahim memulakan ucapan dengan melahirkan rasa bimbangnya kalau-kalau program HKRP yang dirancang itu tidak mendapat sambutan kerana Perhimpunan Agung Umno (Pau) baru sahaja berlalu dan ‘mood’ belum dapat dibaca akibat propaganda media Umno.

“Tambahan pula sekarang musim hujan dan secara kebetulan malam ini perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Thailand (Piala Suzuki AFF). Tetapi Pakatan Rakyat (PR) melakar sejarah hari ini. Rakyat tetap datang yang dikira paling ramai dalam sejarah. Ini membuktikan rakyat negeri ini mahukan perubahan,” ujarnya.

Memang hujan turun pada sebelah petang, tetapi berhenti sebelum maghrib.

(Pemimpin utama Pakatan yang hadir)

Program HKRP anjuran PR Pahang bermula seawal jam 12 tengahari lagi diisi dengan slot forum dan dialog anjuran Dewan Muslimat PAS Pahang.
Sekitar pukul 3 petang konvoi 500 penunggang motosikal dan kereta yang bertolak dari R&R Temerloh, sampai di tapak perhimpunan.

Konvoi disambut dengan pertunjukan tarian naga dan seni silat abjad oleh anak-anak muda. Turut menyambut ribuan anak muda ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nasruddin Hassan dan pimpinan PR Pahang.

“Count down PRU 13 berada dalam tempoh 100 hari saja lagi. Kepada anak-anak muda, jadilah petugas rasmi perubahan iaitu menyampaikan maklumat tepat. Kerana kita tahu kemenangan BN selama ini ialah akibat maklumat berat sebelah yang terpaksa diterima rakyat,” pesan Nasruddin.

Beliau turut membayangkan masa depan cerah untuk PR di Pahang. Kerana katanya, penganalisis melihat kemenangan dalam PRU akan datang ialah kecenderungan majoriti anak-anak muda ke arah mana. Kerana golongan muda mewakili 53 peratus pengundi.

Citarasa anak-anak muda yang hadir tidak dipinggirkan apabila mereka berpeluang menikmati hiburan dengan persembahan santai artis-artis Bob Lokman, ALI XPDC dan Dayangku Intan.

Ada satu pembaharuan dalam pengedalian ceramah kerana ia dipengerusikan oleh tiga orang dari tiga parti PR Pahang.

Pengerusi-pengerusi majlis dari bangsa Melayu (PAS), Cina (PKR) dan India (DAP) itu berucap dalam bahasa masing-masing. Ceramah pula dimulakan dengan semua yang hadir menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.
Pengerusi majlis daripada PAS iaitu Suhaimi Saad berkata, beliau melihat program HKRP paling teratur bebanding negeri-negeri lain kerana semua penceramah menepati masa program dapat ditamatkan tepat jam 12.

Dr Hamzah Jaafar selaku pengarah program diberi keistimewaan memulakan ucapan. Diikuti bekas Pengerusi syarikat media negara, Media Prima, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang baru menyertai PAS di Johor kelmarin.

Bekas menteri Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir yang 30 tahun berada dalam kabinet BN dan 26 tahun menjadi ahli MKT Umno yang berucap selepas itu, banyak mendedahkan kepincangan dalam Umno.

“Umno sekarang sudah dikuasai penjenayah, perompak dan pencuri. Wang rakyat sekarang tidak lagi dicuri ribu-ribu tetapi sudah juta-juta dan bilion. Itulah sebabnya saya ‘blah’ dari parti yang saya sayangi dulu,” katanya.

Tiga orang pemimpin tiga parti dari Pahang kemudian menyampaikan pidato masing-masing selama 10 minit seorang dimulai Leong Ngah Ngah, kemudian Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Tuan Ibrahim.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu memulakan ucapan dengan menunjukkan muka depan naskah akhbar Makkal Osai yang  memuatkan gambar Ahli Parlimen Jerantut Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar meninggalkan Umno.
 
(Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang)

Akhirnya seperti yang dinanti-nantikan oleh rakyat Pahang, Tuan Ibrahim, Fauzi dan Leong mengisytiharkan tawaran Kerajaan PR Pahang untuk rakyat negeri ini iaitu pertama, menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun.

Kedua, menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

Ketiga, mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar ianya tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Keempat, memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan.

Kelima, menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil hutan dan maneral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan.

Akhirnya, sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi semua hasil utama negeri sebagaimana yang dilaksanakan di negeri-negeri PR.

“Perisytiharan ini adalah sangat istimewa bagi kami rakyat Pahang kerana melibatkan keperluan dan tuntutan hidup yang tidak pernah diselesaikan oleh Kerajaan BN sejak 55 tahun lalu,” kata Sharif Idris, 52, yang turut muncul di tengah-tengah ribuan yang hadir.

Mohamed Sabu selaku Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat, berucap selepas itu. Diikuti dengan Pengerusi DAP Lim Kit Siang dan diakhiri oleh Ketua Pembangkang di parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, cerita-cerita kononnya ada pihak yang akan melakukan provokasi dan mengganggu program HKRP, tidak menjadi kenyataan.

(Orang ramai yang memenuhi Dataran Kerdau)

Yang ada ialah penyebaran risalah fitnah dan baner-baner berbentuk hasutan yang digantung di lokasi tertentu.

“Pada mulanya memang kami dapat maklumat akan berlaku provokasi, sebab itu kami betul-betul bersedia,” kata ketua bahagian keselamatan Ramli Abdul Rahman.

Penduduk tempatan, Mohd Amin yang  ditanyakan pendapatnya tentang program HKRP, berkata beliau dapat merasakan terjalin perpaduan kaum yang erat antara Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Jadi saya tak faham bagaimana ada pihak yang kata jika PR menang akan berlaku huru-hara seperti tragedi 13 Mei. Barangkala ada pihak yang kalah akan mencetuskan ketegangan,” ujarnya.

Apa-apapun, HKRP semalam tetap dianggap sebagai suntikan semangat baru bagi pendokong dan penyokong PR bagi menghadapi PRU. Terutama pandangan Daim yang mengatakan Pahang tetap sebagai ‘deposit’ BN. Juga cabaran Datuk Seri Adnan Yaakob yang sanggup dipotong telinganya jika PR menang di kawasannya, Bentong.