Wednesday, November 4, 2009

PRA SYARAT KEJAYAAN JAMAAH ISLAM @GERAKAN ISLAM Siri 5

Sahabat-sahabat seperjuangan yang dikasihi,

Menarik sekali kupasan kelayakan jamaah Islam oleh Abu A'la al-Maududi. Moga kita terus membina keperibadian/sakhsiyyah masing-masing dan jamaah yang kita dokongi. Moga dengan "sakhsiyah solehah" pemimpin dan ahli Jamaah maka ALlah akan memberi pertolongan dan sekaligus memenangkan Islam.

3. Tatatertib (disiplin).
Kelayakan yang ketiga ialah adanya tatatertib yang berpanjangan, kerjasama yang baik dan semangat suka bertindak secara jama’ah (team spirit). Walaupun sesuatu gerakan itu memiliki banyak unsur-unsur kebaikan, tetapi ia menemui kegagalan kerana ia tidak dapat melaksanakan segala apa yang ia rancangkan. Ini adalah kerana tiadanya tatatertib dan kerjasama di dalam pertubuhan tersebut.
Golongan Jahat-Mungkar boleh mencapai tujuan mereka kerana usaha yang tekun dan bertatatertib (disiplin). Untuk itu jama'ah Islam hendaklah menjalankan usaha yang bertatatertib. Seluruh jentera gerakan Islam bertindak menurut peraturan yang telah ditetapkan oleh gerakan itu sendiri.

Mereka yang diberi kuasa hendaklah betul-betul menjalankan tanggungjawab mereka di dalam ruang lingkup kuasa mereka tadi menurut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Tiap-tiap ahli patut sedar akan tanggungjawab masing-masing dan mereka hendaklah berusaha sedaya upaya mereka untuk menjalankan tanggungjawab tadi tanpa lengah-lengah. Setiap tenaga penggerak yang terlibat di dalam sesuatu tugas itu perlulah mempunyai kerjasama yang erat di antara satu sama lain. Jentera gerakan itu perlulah disusun demikian sehingga kesemua anggotanya mula bergeraK sebaik saja keputusan telah diambil berkenaan sesuatu perencanaan kerja.

Harakah atau partai gerakan Islam yang sebegini saja yang mampu membuat sesuatu rancangan itu berjaya. Gerakan yang berbentuk lain dari yang ini tidak akan berjaya untuk menyelaraskan serta melicinkan perjalanan seluruh jentera pentadbiran dan perlaksanaannya dengan baik.

4. Teguran-teguran yang membina (muhasabah).
Kelayakan yang terakhir ialah sesuatu gerakan itu mempunyai suasana yang membenarkan teguran-teguran yang membina diberikan. Cara-cara untuk menyuarakan teguran-teguran ini perlulah diketahui.

Sesuatu gerakan Islam yang mempunyai pak turut-pak turut (orang yang menurut saja tanpa berfikir panjang atau meneliti, yakni membuta tuli) saja akan mendapati usahanya diresapi kesilapan-kesilapan walaupun mereka sedang melalui jalan yang benar. Ini adalah kerana tiada siapa pun yang menegur kesilapan-kesilapan tadi dan juga kerana anggapan bahawa teguran-teguran yang diberi itu sebagai satu perlakuan yang tidak beradab atau bersopan.

Dengan demikian kesilapan-kesilapan tadi terus mendapat perlindungan daripada tindakan yang sewajarnya. Oleh kerana kurangnya perhatian yang diberi untuk mengatasi kesilapan tadi dan juga disebabkan tiadanya anggota untuk memberi teguran, kesilapan-kesilapan itu pun kian membiak.

Tiada perkara lain yang lebih merosakkan keutuhan sesebuah gerakan Islam melainkan tiada semangat tegur-menegur (nasihat-menasihati) di dalamnya. Adalah sesuatu perkara yang sangat buruk bagi sesebuah gerakan jika ia berusaha menekan dan menutupi peluang-peluang untuk menyuarakan sebarang teguran (kritik).

Teguran yang membina ialah alat yang terpenting untuk mengesan segala kesilapan dengan cepat. Dengan demikian usaha untuk mengatasinya pun dapat dilaksanakan secepat mungkin (tanpa berlengah, membazir masa). Kita harus ingat bahawa syarat terpenting bagi sesuatu teguran itu ialah ianya diberi bukan dengan tujuan hendak mencungkil kesilapan semata-mata. Sesuatu teguran itu hendaklah dikemukakan dengan tujuan untuk membawa pembaharuan (perubahan ke arah kebaikan).

Satu lagi syarat yang sama pentingnya ialah bahawa setiap orang yang ingin menegur (mengkritik) hendaklah sedar akan cara-cara (adab-adab) yang sewajarnya untuk menyuarakan teguran. Seseorang itu yang bertujuan baik dalam memberi tegurannya boleh mendatangkan bahaya serupa dengan bahaya yang dibawa oleh anasir-anasir jahat yang semata-mata ingin mencungkil kesilapan-kesilapan gerakannya seolah-olah gerakan itu tidak kena caranya atau tidak kena pada tempatnya yakni tegurannya yang tidak mematuhi peraturan di dalam memberi sesuatu teguran. - bersambung insyaALLAH

No comments:

Post a Comment