Monday, November 2, 2009

PRA SYARAT KEJAYAAN JAMAAH ISLAM @GERAKAN ISLAM Siri 4

Salam sahabat-sahabat sekalian,

Kalau sebelum ini kita meneliti kelayakan individu penggerak Islam, sekarang kita melihat pula apakah kelayakan-kelayakan jamaah atau gerakan Islam itu sendiri.

ALlah Yang Maha Berkuasa boleh kemenangan kepada Islam pada bila-bila masa walaupun golongan Islam lemah, malas, tak ada kualiti dan sebagainya. Tetapi ini tidak mungkin berlaku kerana menyalahi sunnah perjuangan dan tabiat kerja-kerja dakwah. Untuk itu sebuah jamaah dan Gerakan Islam hendaklah memenuhi ciri-ciri kelayakan sebagaimana di bawah.

Antaranya adalah seperti berikut:
1. Ikatan persaudaraan Islam (ukhuwwah) dan sifat kasih sayang
2. Bermusyawarah (syura) dalam mengatur kerja dan tindakan
3. Tatatertib (disiplin)
4. Teguran-teguran yang membina (muhasabah)


1. Ikatan persaudaraan Islam (ukhuwwah Islamiyyah) dan sifat kasih sayang.
Dalam gerakan tersebut, perlulah ada suatu bentuk ikatan kasih sayang sejati di antara ahli-ahlinya. Sudah semestinya mereka ini mempunyai semangat untuk berkorban sesama mereka. Sudah sepatutnyalah mereka ini menjadi seumpama sebuah bangunan di mana kekuatannya terletak pada bentuk susunan batu-bata yang dilekatkan oleh simen.

Suatu jama’ah gerakan Islam itu akan menjadi kuat hanya setelah adanya pertautan hati
di kalangan ahli-ahlinya.

Perkara-perkara yang membawa kepada pertautan (ikatan) hati ini ialah sifat kasihsayang yang suci, sifat bertimbang rasa (simpati) yang murni, sifat baik sangka sesama mereka dan juga semangat ingin berkorban sesama mereka. Hati yang dipenuhi kebencian tidak akan bersatu. Persatuan-persatuan (pertubuhan-pertubuhan) yang dipenuhi pura-pura tidak mampu menghasilkan perpaduan yang sebenarnya (hakiki).

Persahabatan yang berasaskan sifat tamak akan melahirkan pertelingkahan. Sesuatu persatuan yang hanya mementingkan tujuan-tujuan perniagaan sahaja tidak berupaya untuk melahirkan sifat timbangrasa (simpati). Keperluan duniawi mungkin dapat mempersatukan segala ciri-ciri yang berlainan ini, tetapi ciri-ciri ini mudah sangat untuk berpecah belah. Berikutan dari itu kita tidak mendapat hasil yang betul berkesan, bahkan ciri-ciri itu sendiri menerima kehancuran.
Sebuah jama’ah (harakah atau gerakan) yang kuat dapat tertegak apabila ahli-ahlinya berfikir dengan ikhlas dan mereka mencintai matlamat yang hendak mereka tujui itu. Sifat kesungguhan dalam mengejar matlamat dan sifat keikhlasan dalam berfikir yang ada pada mereka dapat menyemai rasa kasih sayang dan amanah di kalangan mereka. Jama’ah begini adalah seumpama acuan keluli di mana syaitan tidak dapat mencari satu lubang pun untuk mencelah masuk dan melakukan kerosakan. Walaupun syaitan datang dengan bala tentera yang banyak untuk menyerang dari luar, tetapi usahanya ini gagal.

2. Bermusyawarah (syura) dalam mengatur kerja dan tindakan.

Satu lagi kelayakan yang perlu ada pada sesuatu jama’ah (gerakan) ialah segala kerja dijalankan setelah melalui musyawarah. Sesuatu gerakan itu sepatutnya sentiasa mematuhi peraturan-peraturan musyawarah itu sendiri. Sesebuah gerakan yang terdiri daripada orang-orang yang degil (keras kepala) yang bertindak mengikut pendapat masing-masing, tidaklah boleh dipanggil sebagai sebuah gerakan yang sebenarnya. Ia hanya merupakan satu kumpulan gotong-royong sahaja dan tidak mampu menghasilkan kerja yang benar-benar berkesan.

Sesebuah gerakan akan menemui nasib yang sama jika seseorang ahli atau beberapa orang ahli yang berpengaruh telah menggabungkan diri mereka ke dalam suatu kumpulan kecil dan mengarah orang lain menjalankan perintah mereka. Sesuatu kerja yang berkesan hanya dapat dicapai melalui musyawarah sahaja. Dengan cara ini banyaklah orang tumpang berfikir dengan bijaksana akan segala kelebihan dan keburukan (kelemahan) sesuatu perkara yang sedang dihadapi, keputusan yang lebih baik dapat dicapai dengan cara begini. Di samping itu, ada dua faedah lagi yang diperolehi.

Pertama ialah, andainya pendapat kesemua orang dipertimbangkan secara langsung atau sesuatu rumusan pendapat-pendapat tadi diambil, seluruh jentera gerakan tadi melaksanakan segala keputusan dengan bersungguh-sungguh. Tiada seorang pun akan berfikir bahawa dia telah dibebankan.

Satu lagi kelebihan cara begini ialah ia membuka peluang agar berbagai sudut (aspek) yang terdapat pada sesuatu masalah itu dikaji. Setiap ahli akan benar-benar mengambil berat akan segala rencana kerja pertubuhannya. Setiap ahli akan melaksanakan tanggungjawab yang berikutan daripada sesuatu keputusan mesyuarat dengan begitu cepat sekali (yakni tanpa lengah-lengah). Perlulah diingat bahawa kelicinan begini boleh dicapai jika peraturan-peraturan sendiri tidak diabaikan.

Di antara peraturan-peraturan musyawarah ialah setiap orang sepatutnya memberi pendapatnya dengan ikhlas. Janganlah hendaknya dia menyembunyikan apa-apa, di dalam dirinya. Tidak perlu timbul di dalam dirinya sifat kedegilan. Dia perlu menjauhkan dirinya daripada kesilapan-kesilapan. Apabila sesuatu keputusan telah diambil, sesiapa saja yang mempunyai pendapat yang bertentangan hendaklah menerima keputusan tadi dengan hati yang terbuka. Tak sepatutnyalah mereka terus mendesak supaya pendapat mereka diterima walaupun mereka masih berpegang pada pendapat mereka itu. Seterusnya mereka akan bertindak menurut keputusan yang telah diambil oleh gerakan mereka.

Musyawarah yang tidak mempunyai ketiga-tiga peraturan tadi adalah sia-sia saja kerana
ia akan lebih merupakan sumber pertelingkahan di dalam sesuatu gerakan itu.

kita sambung perbahasan dalam siri ke 5 nanti insyaALLAH.

No comments:

Post a Comment