Wednesday, November 18, 2009

IBADAT KORBAN(UDHIYYAH) الأضحية SIRI 1

Takrif
Korban ertinya dekat. Pada istilah ialah mendekatkan diri kepada Allah dengan menyembelih binatang tertentu, dengan niat tertentu dan dalam waktu yang tertentu.

Hukumnya
Sunat Muakkad. ( Sunnah Wajibah)

Hikmahnya
1· Mendekatkan diri (atTaqarrub) kepada Allah melalui korban. Firman Allah,
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ -
“ Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”
) قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَal- An’am 162)

2· Menghidupkan sunnah Imam al-Muwahhidin Ibrahim al-Khalil, tatkala Allah merintahkannya menyembelih anaknya Ismail, lalu digantikan dengan Kibash.

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَابُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَاأَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنْ الصَّابِرِينَ(102
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ - ( الصافات 107 )
“Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”

3 · Memperluaskan sedekah pada Hari Raya Korban kepada fakir miskin dan mempereratkan kasih sayang.
4 · Bersyukur kepada Allah kerana Dia telah menundukkan binatang-binatang ternakan untuk kita. Sebagaimana firman Allah,
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“……. makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu menguasainya dan menyembelihnya supaya kamu bersyukur. (alHajj : 36 )

Sejarah Korban
Perintah berkorban adalah perintah suci, iaitu mengikut pergorbanan Nabi Allah Ibrahim as yang telah melakukan korban terhadap anaknya yang sangat dicintai, Nabi Ismail as.

Nabi Ibrahim as adalah manusia pertama yang melakukan syariat sembelihan korban . Firman Allah,
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الأَنْعَامِ فَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشِّرْ الْمُخْبِتِينَ
Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat - alHajj : 34

Sabda Nabi saw, يا أيها الناسُ إنّ على كلِ أهلِ بيتٍ فى كل عامٍ أُضحِيَةٌ
Maksudnya,” Hai manusia sesungguhnya atas tiap-tiap ahli rumah pada setiap tahun berkorban.” - Riwayat Abu Dawud

Waktu Berkorban
Tarikh berkorban ialah pada hari 10 Zulhijjah(Hari raya Haji) apabila naik matahari hingga 13 Zulhijjjah (Hari Tasyriq) sebelum terbenam matahari pada tiap-tiap tahun.

Binatang Korban
i- Mestilah binatang al-An’am (ternakan) seperti kambing, lembu dan unta.
ii- Binatang yang tidak cacat.


Korban adalah amal yang suci untuk mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Suci, Maha Sempurna dan Maha Bersih MAKA tidaklah sah berkorban binatang yang cacat.

Sabda RasuluLlah saw, dari Ali ra , “ Kami telah diperintahkan oleh Nabi saw supaya kami memuliakan mata dan tua telingaDan kami tidak boleh berkorban dengan binatang yang buta dan tidak pula yang sumbing pinggir telingannya, dan tidak pula yang rusak pangkal telinganya dan tidak pula yang robek telinganya sebelah bawah dan tidak pula yang belah telinganya sebelah atas.” - Abu Dawud

Yang lebih utama ialah berkorban binatang yang gemuk dan yang paling disayanginya. Allah berfirman,
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. {Surah Aali Imran : 92}

iii- Binatang yang cukup umur.
- BERSAMBUNG

No comments:

Post a Comment