Thursday, June 4, 2009

KELAYAKAN YANG MESTI ADA SEBELUM MENANG.....anda mestilah melayakkan diri! Siri 3

Sahabat-sahabat seperjuangan yang disayangi,

Jalan dakwah yang kita lalui ini tidaklah mudah, ianya penuh ranjau duri dan tempoh perjalanannya panjang. Marilah kita memahami dua lagi kelayakan yang mesti ada kepada pejuang-pejuang Islam sebelum menang.

3)Watak peribadi (syakhsiyyah fardiyyah)
Kelayakan yang ketiga ialah tindakan seseorang itu mencerminkan apa yang ia pertuturkan. Dia akan terus mengamalkan apa yang dianggap betul (benar) dan menjauhi apa saja yang difikirkan sebagai salah. Kehidupan dan tingkah lakunya mengambarkan kefahaman yang ada padanya. Dia akan melaksanakan apa saja yang dia serukan kepada dunia. Dia tidak perlu kepada tekanan luar untuk mematuhi peraturan Islam. Dia juga tidak perlu kepada tekanan luar untuk menjauhi larangan-larangan yang ditetapkan Islam.

Baginya kenyataan bahawa setiap amalan itu perlu mendapat keredhaan Allah adalah alasan yang cukup untuk membuatnya menjalankan sesuatu tindakan dengan penuh keazaman dan penumpuan. Dengan mengetahui bahawa sesuatu perbuatan itu tidak disukai Allah sudah cukup untuk membuatnya menjauhi perbuatan tersebut.

4)Mengambil Islam sebagai matlamat hidup
Mereka hendaklah meletakkan perjuangan menegakkan Islam sebagai matlamat (tujuan) hidup mereka dan bukannya sebagai suatu cita-cita sahaja. Ada manusia yang mempunyai ilmu Islam, meyakini ilmu itu dan mengamalkannya, tetapi matlamat hidup mereka bukanlah untuk menegakkan peraturan Islam itu sendiri. Mereka asyik dengan urusan duniawi mereka di samping amalan-amalan baik dan benar yang mereka lakukan. Sudah tentu mereka ini adalah orang baik-baik dan mereka kelak akan menjadi rakyat negara Islam yang baik jika negara tersebut tertegak. Namun di dalam suasana di mana unsur jahiliyyah tersebar luas ke dalam seluruh peraturan hidup manusia dan usaha menggantikannya dengan peraturan hidup Islam perlu dilaksanakan, mereka ini tidaklah berguna sangat.

Dalam keadaan begini, manusia yang paling sesuai ialah mereka yang meletakkan perjuangan menggantikan peraturan jahiliyyah itu sebagai tujuan (matlamat) hidup mereka. Mereka mungkin terlibat di dalam kegiatan-kegiatan lain untuk faedah penyatuan (kesihatan) ruhani dan jasmani mereka, tetapi tujuan hidup mereka tetap merupakan perjuangan tadi. Mereka hendaklah bersungguh-sungguh di dalam hal ini. Bahkan hati mereka pun sepatutnya ghairah dengan tugas tersebut. Semestinyalah mereka mempunyai ketegasan dan keazaman yang kuat untuk mencapai tujuan tadi. Untuk tugas ini, mereka sepatutnya bersedia untuk mengorbankan masa, harta, jasad dan hatta jiwa mereka sekalipun. Mereka mesti bersedia untuk mempergunakan seluruh kemampuan akal fikiran mereka ke arah pencapaian matlamat tadi. Mereka tidak patut teragak-agak untuk lenyap dari muka bumi ini andainya perjuangan tadi memerlukan pengorbanan yang sedemikian.

Orang-orang beginilah sahaja yang mampu menebas belukar jahiliyyah dan menyediakan tapak untuk menegakkan peraturan Islam. Sekian. tk..
- bersambung dengan siri 4(kelayakan bagi sebuah Gerakan Islam itu sendiri).

2 comments:

  1. Salam Ustaz,

    Terima Kasih kerana sudi ke surau Menara 2 Faber Tower untuk memberikan sedikit pengajian ilmu kepada kami.

    Jika sudi lawatlah laman blog kami di www.surau2faber.blogspot.com

    Sekian, Terima Kasih

    ReplyDelete
  2. tk. moga blog surau2fiber terus subur. tk

    ReplyDelete