Bagaimana Nak Melenyapkan Marah.
Latihan diri itu perlu juga dijaga untuk menghapuskan keganasan marah itu; iaitu dengan jalan perjuangan/mujahadah dan memaksa diri dengan sifat penyantun dan penanggungan seketika waktu, sehingga semua sifat-sifat itu menjadi kebiasaan dan kelakuan yang kekal dalam diri.
•Dengan latihan-latihan di atas itu saja tidak boleh sama sekali menghapuskan kemarahan hati. Maka antara caranya ialah dengan mematahkan gejolaknya dan melemahkannya, sehingga api kemarahan itu tidak menyala-nyala di dalam batinnya. Perbuatan itu diteruskan sehingga kesan-kesannya tiada lagi kelihatan di wajah.
•Adakalanya kemarahan seseorang itu dapat dilenyapkan dengan mengalihkan pemikirannya kepada pentauhidan Zat Allah Ta’ala, ataupun mengingatkan dirinya bahwa Allah s.w.t. menginginkannya supaya dia tidak marah. Mungkin pengaruh cintanya kepada Allah Ta’ala itu dapat menolong memadamkan api kemarahannya, ataupun mengalihkan perhatian hati kepada perkara yang lebih penting daripada kemarahan itu.
Sebab-Sebab Kemarahan
•Sebab-sebab yang membangkitkan kemarahan itu, ialah meninggi diri,ujub dan bangga, senda gurau, omong kosong, mengejek-ejek, mencela, berbantah-bantah, berlawan-lawan, berkhianat, kemahuan yang tak terbatas pada mencari wang dan menuntut kedudukan.
•Sementara itu punca utama yang menimbulkan sifat marah pada golongan orang yang bodoh dan jahil itu, ialah anggapan mereka bahwa sifat marah itu adalah semacam keberanian, ketangkasan dan kemuliaan diri.
Bagaimana mengubati kemarahan yang sedang bergejolak
•Pertama: Hendaklah anda cuba mengingatkan kembali segala anjuran-anjuran yang ditunjuk oleh syariat dalam keutamaan dan kelebihan sifat-sifat menahan marah, pemaaf, penyantun dan menanggung perilaku buruk. .
•Kedua: Hendaklah anda ingat tentang ancaman Allah Ta’ala dan siksaanNya, andaikata diteruskan juga sifat marah anda itu. Anda harus merenung pula, apakah anda boleh terselamat dari kemurkaan Allah Ta’ala pada Hari Kiamat kelak, meskipun ketika itu anda sangat memerlukan kepada pengampunan dan kemaafan Allah Ta’ala.
•Ketiga: Hendaklah anda ingat akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam lawan anda, kelak sudah barang tentu ia akan berusaha untuk menceroboh kehormatan diri anda.
•Keempat: Hendaklah anda gambarkan bertapa buruknya rupa anda kelak bila anda marah, iaitu dengan mengingat rupa orang lain ketika dalam dalam kemarahan.
•Kelima: Hendaklah anda fikirkan apa sebabnya anda ingin membalas dendam? Dan apa pula sebabnya anda tidak dapat menahan diri dari kemarahan itu? Mungkin juga syaitan membisikkan di telinga anda, bahwa sikap itu akan menunjukkan kelemahan dan kehinaan diri, dan anda akan kelihatan rendah di mata orang ramai. Ketika itu hendakkah anda menjawabnya dengan berkata: Wahai nafsu! Aneh sekali engkau ini. Engkau tak sanggup menahan penghinaan sekarang. Apakah engkau lebih sanggup menahan penghinaan di Hari Kiamat kelak? Apakah engkau tidak bimbang, kelak di sana engkau akan dihinadinakan di hadapan Allah, para Malaikat dan pada NabiNya?
•Apabila kemarahan itu muncul ketika anda sedang berdiri, maka hendaklah anda segera duduk: jika sedang duduk, maka hendaklah anda baring. Orang yang sedang dalam kemarahan, sunnat baginya mengambil wudhu’ (air sembahyang) dengan air yang dingin, kerana kemarahan itu berpunca dari api, manakala api itu pula tidak boleh dipadamkan melainkan dengan air.
No comments:
Post a Comment