Tuesday, March 12, 2013

Seorang lagi jeneral sertai Pakatan


Roketkini.com,11 Mac 2013
SHAH ALAM: Walaupun konflik berdarah di Lahad Datu terus dimanipulasi media kawalan UMNO-Barisan Nasional (BN) mengaitkannya dengan pimpinan Pakatan Rakyat (PR), tetapi semakin ramai pula mantan jeneral tentera menyertai PR.

(Anwar bersalam dengan Jen (B) Tan Sri Md Hashim Hussein yang mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan)
 
Terkini ialah penyertaan Ketua Turus Angkatan Tentera Darat, Jen (B) Tan Sri Md Hashim Hussein bersama PKR pada 6 Mac lalu.

Sebelum ini Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Al-Khatab, Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid dan Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad secara terbuka mengisytiharkan sokongan mereka kepada PR.

Fenomena ini sudah tentu memberi gambaran jelas wujudnya krisis keyakinan yang parah terhadap pentadbiran BN berhubung isu pertahanan dan keselamatan negara.

“Siapa dua tahun lalu terfikir bahawa lima orang Jeneral (tentera) termasuk yang berpangkat tertinggi memilih untuk menyokong Pakatan Rakyat? Siapa dua tahun lalu yang terfikir Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin, pendakwa kes saya pada 1998 dan ketua pendakwa kes pada 2008 sekarang menjadi peguambela saya?

“Siapa yang menjangka bapa Saiful (Azlan Lazim) tiap hari keluar masuk mahkamah sekarang memohon maaf kepada saya, Azizah dan keluarga, dengan menyatakan ada konspirasi yang melibatkan pegawai pejabat Perdana Menteri dalam kes Liwat II. Semua ini tidak akan berlaku tanpa iringan doa dari rakyat,” ujar Anwar.

Mengulas isu pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumpahan darah boleh dielak jika kerajaan bertindak segera menghantar pasukan tentera.

“Mana boleh kita biarkan (pencerobohan), ini soal maruah dan kedaulatan rakyat dan negara yang kita kena pertahankan,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Sambutan 5 Tahun Kerajaan Negeri Selangor, malam tadi.

Menurut Anwar, seperti yang dijelaskan kepadanya oleh seorang daripada bekas jeneral angkatan tentera, kerajaan lewat menghantar pasukan tentera sehingga menyebabkan pertumpahan darah.

Sehubungan itu, Anwar kecewa apabila isu keselamatan negara terus dijadikan mainan politik media kawalan UMNO-BN dengan memberi gambaran buruk sehingga lagu “Tanya sama Najib” yang sering dinyanyikan beliau di majlis PR dikaitkan dengan pencerobohan gerombolan bersenjata ‘Sultan Sulu’ di Lahad Datu.

“Dalam lagu itu, saya maksudkan rakyat Sabah nak tolak BN pada pilihan raya dan bukannya nak bagi Sabah kepada kumpulan penceroboh. Itupun (lagu) ditayangkan tidak habis,” jelas beliau di hadapan lebih 5,000 orang.

Justeru itu pada 8 Mac baru-baru ini, beliau memfailkan saman berjumlah RM100 juta terhadap Utusan Melayu Bhd dan TV3 berikutan laporan fitnah yang mengaitkannya dengan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.

Hadir sama dan turut berucap ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul khalid Ibrahim, Yang Dipertua PAS Selangor, Dr Abdul Rani dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.


No comments:

Post a Comment