Harakahdaily,11 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri bersedia mendedahkan surat menyurat antara Kerajaan Negeri dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sebagai tatapan kepada semua rakyat di Selangor.

Selangorku melaporkan, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan melakukan perkara terbabit dengan tertib dan bertanggungjawab melalui iklan di surat khabar.

Katanya, perkara itu akan dilakukan tidak lama lagi selepas Peter dikatakan berdolak dalik dalam isu penstrukturan semula industri air di negeri itu.

Peter sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sepatutnya mendapatkan persetujuan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) terlebih dahulu dalam membuat tawaran mengambil alih empat syarikat konsesi.

Peter berkata tindakan KDEB yang tidak berbincang terlebih dahulu dengan PAAB sebelum mengaitkan PAAB dalam tawaran itu adalah tidak munasabah.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata dalam surat maklum balas yang dihantar oleh Menteri (Peter) itu memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan mengalu-alukan usaha KDEB untuk membuat tawaran pengambilalihan itu.

“Saya harap Peter tidak berdolak dalik kerana kita sudah tulis surat kepada beliau dan memberitahu proses ini perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

“Kalau beliau tidak jawab maknanya beliau bersedia untuk beri kelulusan itu dan jika beliau tidak beri kelulusan, saya akan bawa rakyat Selangor berjumpa dengan beliau serta soalkan kepada beliau kenapa kelulusan tidak boleh diberi.

“Beliau seorang peguam, tidak boleh berdolak dalik dalam percakapan beliau, saya malu bagi pihak beliau kerana beliau bukan orang Selangor, beliau orang Sarawak, jangan malukan orang Sarawak..bahawa ada orang Sarawak yang tidak mahu membantu dalam usaha pembangunan rakyat. Boleh jadi di Sarawak buat macam itu tetapi di Selangor tidak boleh.

“Saya akan keluarkan surat-surat itu dan saya akan lakukan dengan penuh tertib dan bertanggungjawab. Saya akan beli iklan di surat khabar sebab saya tahu surat khabar tidak akan tulis perkara ini, lebih baik saya beli iklan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Perangsang Bersama Rakyat di Dataran Jaya Setia, semalam.

Pada 20 Februari tahun ini, KDEB membuat tawaran berjumlah RM9.65 bilion untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga (M)Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).
Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/17323-air-sgor-khalid-sedia-dedah-surat-peter-chin