KUALA LUMPUR: Sesuatu
yang amat memalukan buat negeri kelahiran Perdana Menteri yang masih
bergelumang dengan isu gangguan bekalan air sehingga ke hari ini.
Setiausaha
Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang, Huzir Sulaiman
berkata, kerajaan negeri mengambil sikap mendiamkan diri walaupun
Solidariti Hijau dan PAS negeri mengambil sikap terbuka untuk
bekerjasama demi kebaikan rakyat di Negeri Pahang merupakan satu sikap
yang amat mengecewakan.
Oleh kerana itu, ujarnya tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak Umno BN di dalam PRU13 ini.
“Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada ‘telinga’ untuk mentadbir negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikut kenyataan beliau berhubung masalah tersebut.
Selepas
Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS
Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh Andansura Rabu melahirkan
kekecewaan beliau terhadap kegagalan pengurusan air di negeri itu pada
bulan Ogos tahun lalu akibat kekerapan gangguan bekalan air setiap kali
tibanya Ramadhan dan Syawal, 80 NGO dari seluruh negara yang berpayung
di bawah Solidariti Hijau dan dipimpin oleh Zulkefly Mohamad Omar
bersama-sama kepimpinan PAS negeri menyerahkan pula memorandum kepada
Menteri Besar Pahang pada bulan Disember tahun lalu menuntut satu
reformasi segera dilakukan terhadap tahap kualiti perkhidmatan yang
mengecewakan dari Syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (P.A.I.P)
walaupun telah diswastakan beberapa tahun yang lalu.
Beberapa
siri gangguan bekalan air di seluruh negeri Pahang sepanjang 2 tahun
yang lalu telah pun disenaraikan di dalam memorandum yang diserahkan itu
termasuklah potensi gangguan bekalan air kepada penduduk Kuantan dari
operasi kilang Lynas yang dikatakan akan menggunakan 500 meter padu
sejam bekalan air untuk operasi harian mereka.
Selepas
penduduk Kuantan dihantui gangguan bekalan air sebelum ini akibat
kerosakan teknikal di Loji Air di Empangan Kobat, paip yang kerap pecah
di Felda Bukit Kuantan serta kerosakan sistem bekalan air ketika
sambutan perayaan, penulis dikejutkan dengan rungutan beberapa penduduk
dari Taman Bukit Pelindung dan Taman Alor Akar Kuantan semalam yang
mengeluh dengan kekerapan gangguan bekalan air yang sudah berlanjutan
selama beberapa minggu ini lebih-lebih lagi selepas Lynas memulakan
operasinya.
Lebih
100 penduduk mengambil keputusan untuk melahirkan kekecewaan mereka
secara terbuka kepada P.A.I.P petang semalam di Bukit Pelindung Kuantan,
menuntut P.A.I.P untuk mengambil tindakan segera memastikan bekalan air
yang stabil kepada kediaman mereka dalam tempoh 2 minggu dari sekarang
sebelum satu tindakan susulan diambil terhadap P.A.I.P.
Malah
mereka juga menuntut penjelasan P.A.I.P sama ada gangguan bekalan air
yang sedang berlaku mempunyai kaitan secara langsung dengan penggunaan
bekalan air yang tinggi dari kilang Lynas sehingga bekalan air dilihat
seolah-olah dicatu oleh P.A.I.P untuk memastikan bekalan air yang
mencukupi disalurkan kepada kilang itu.
Penduduk
juga tidak boleh dipersalahkan kerana mempunyai beberapa andaian punca
gangguan bekalan air kerana sehingga hari ini, sebahagian dari mereka
masih tidak dimaklumkan oleh pihak yang berkenaan. Ramai yang
tertanya-tanya, apakah puncanya? Dan sampai bilakah masalah gangguan
bekalan air ini akan dapat diselesaikan?
Penulis
selaku Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS)
PAS negeri ingin mendesak maklum balas segera dari pihak Kerajaan Negeri
Pahang dan P.A.I.P terhadap memorandum yang diserahkan pada bulan
Disember tahun lalu kerana sehingga hari ini, tiada satu pun maklum
balas yang diterima oleh Solidariti Hijau dan PAS Negeri seolah-olah ia
dibakulsampahkan oleh mereka walaupun cadangan penambahbaikan yang telah
banyak disenaraikan dalam memorandum itu adalah untuk kebaikan seluruh
rakyat di negeri ini.
Mengambil
sikap mendiamkan diri walaupun Solidariti Hijau dan PAS negeri
mengambil sikap terbuka untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat di Negeri
Pahang merupakan satu sikap yang amat mengecewakan.
Oleh kerana itu, tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak Umno BN di dalam PRU13 ini.
Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada ‘telinga’ untuk
mentadbir negeri ini. Sesuatu yang amat memalukan buat negeri kelahiran
Perdana Menteri yang masih bergelumang dengan isu gangguan bekalan air
sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment